Thursday, November 30, 2006

Antara Gerakan Tajdid, Salafiyyah dan Reformis Agama (Siri1)

Sering juga kita membaca artikel atau mendengar pandangan yang menyamakan gerakan Tajdid dengan reformis agama. Yang terkini pandangan Mufti Perlis yang baru tentang gerakan Salafiyyah yang dikategorikan sebagai tercetus daripada kebekuan berfikir dalam agama seperti yang berlaku dalam agama Kristian semasa zaman pertengahan. Semasa diwawancara oleh wartawan Malaysiakini beliau menyebut bahawa kebekuan agama yang disebabkan oleh golongan conservative Islam telah menyebabkan golongan muda bangkit sebagaimana yang berlaku terhadap gereja Katholik semasa Zaman Kegelapan Eropah. Antara gerakan yang bangkit dari kebekuan tersebut ialah Gerakan Salafiyyah yang bertujuan mengembalikan semula ketulenan Islam kepada pegangannya yang asal (Malaysiakini, “Mufti: Religious Leaders Can Be Challenged”, 27 November 2006).

Sememangnya ramai ilmuan Islam yang terpengaruh dengan gagasan Barat tentang kebekuan agama sehingga menuntut kepada berlakunya gerakan pembaharuan untuk keluar dari kebekuan tersebut. Begitu ramai juga tokoh-tokoh yang muncul membawa gagasan untuk membebaskan umat Islam daripada fenomena tersebut yang antaranya berpunca daripada kebekuan berfikir dan kongkongan golongan ulama jumud. Kadang-kadang kesemua mereka ini digolongkan dalam kategori yang sama iaitu golongan reformis Islam. Method pengkelasan sebegini sememangnya sering digunakan oleh para pengkaji Barat yang menulis tentang reformasi dalam masyarakat Muslim sehingga sukar dibezakan golongan Islah, golongan tajdid dan golongan reformis. Malangnya ramai pula para ilmuan Islam yang bertaklid dengan methodology seperti ini.

Sesungguhnya menjadi satu kesilapan besar sekiranya seseorang mengambil sejarah refomasi dalam agama Kristian sebagai titik tolak berlakunya gerakan Islah dan gerakan Tajdid dalam agama Islam. Betapa lagi dikaitkan pula dengan gerakan Salafiyyah yang bertujuan untuk kembali kepada manhaj Salaf al-Soleh. Hakikat ini disedari oleh para pengkaji Barat sendiri sehingga mereka sudah membezakan antara Theology dan Religious Studies (Kajian Agama). Malah menurut Carl Ernst tidak lagi sesuai menggunakan istilah-istilah yang sinonim dengan sejarah perkembangan agama Kristian untuk dibandingkan dengan agama-agama lain yang mempunyai akar-umbi sejarah yang berbeza. Setiap agama mempunyai akar-umbi sejarah yang berbeza dan setiap istilah yang lahir daripadanya mempunyai konotasi yang berbeza pula.

Sejarah kebekuan agama Kristian semasa Zaman Pertengahan yang dikenali dengan Zaman Kegelapan Eropah adalah satu peristiwa khusus untuk agama Kristian. Kebekuan ini bukan hanya disebabkan oleh kejumudan golongan eklesiastik tetapi kesahihan kandungan ajaran Kristian Katholik itu sendiri. Kejumudan golongan eklesiastik ini berkait rapat dengan politik kerajaan Romawi dan kedudukan Vatican sebagai kuasa autoriti yang bersifat kudus. Manakala kandungan ajaran Kristian pula telah begitu banyak bercampur-baur dengan falsafah Yunani sehingga sukar dibezakan antara ajaran Kristian dengan doktrin falsafah Yunani. Persoalannya adakah fenomena tersebut wujud dalam agama Islam sehingga adanya golongan yang memegang kuasa autoriti yang kudus dan kesahihan ajaran Islam sudah tiada ketulenannya lagi?

Thursday, November 23, 2006

Empat Purnama Berlalu Tanpa Kalam

Hampir empat bulan berlalu, kesibukan telah meragut kesempatan masa mencoretkan nukilan hikmah dalam blog ini. Dalam tempoh empat bulan tersebut pelbagai pengalaman sebagai pengembara ilmu telah ditelusuri. Kesempatan bermusafir hampir dua minggu di tanah besar Eropah telah menjadi satu memori penting dalam kamus kehidupan. Bermula dengan negara Perancis, kemudian turun sehingga ke Geneva, kemudian menyeberang ke Barat Jerman, melintasi Luxembourg dan Belgium sebelum kembali semula ke Perancis. Begitu banyak iktibar yang boleh dipelajari. Sekiranya diizinkan ALlah swt, catatan perjalanan itu akan dinukilkan untuk tatapan.

Dua minggu selepas kembali dari Eropah, bermusafir pula ke Scotland sehingga ke Edinburgh yang selalu di sebut sebagai antara bandar terindah di Eropah. Kali ini dengan tujuan untuk membentangkan kertas kerja dalam sebuah persidangan di Edinburgh University. Namun hambatan masa mendorong tidak begitu lama di Edinburgh kerana ada komitmen bersama sahabat-sahabat pengembara di Derby, England. Meninggalkan kota Edinburgh dengan tekad untuk mengunjunginya semula sekiranya ada kesempatan di lain masa.

Menjelang Ramadhan memasuki kembali ke bulan tarbiyah, serentak dengan melangkah semula ke medan ilmu bagi memperlengkapkan dan menggali hikmah yang semakin pudar. Kali ini benar-benar terasa menyahut seruan Rasulullah saw untuk menuntut ilmu sepanjang hayat. Kadang-kadang dapat merasai kerendahan hati al-Ghazali untuk terus menuntut ilmu walaupun beliau telah begitu dikenali sebagai ilmuan yang agung. Hampir sepanjang hari mula diluangkan untuk menyegarkan semula kamar ilmu yang telah lama tidak berpenghuni. Benarlah kata al-Syafie semakin banyak kita mempelajari ilmu terasa semakin banyak yang tidak kita ketahui.

Sepanjang Ramadhan kegiatan tidak terbatas dalam lingkungan ruang yang sempit. Sekali lagi bermusafir ke sebuah lagi negara Eropah yang agak terpencil di Barat sekali iaitu Republik Ireland. Sebuah pulau dan sebuah bangsa yang telah terbahagi dua. Demikianlah politik yang telah mencorakkan rupabentuk Geografi global dan bangsa-bangsa dalam dunia. Pada pengamatan yang singkat, bumi Ireland memang agak terpinggir tetapi ikatan 'keEropahan' semakin hari menenggelamkan konsep negara bangsa yang telah dirintis oleh Rousseau.

Setelah syawal berlalu, sedar tidak sedar hampir empat bulan tanpa kalam. Begitu banyak peristiwa yang tiada komentarnya. Dalam tempoh itu juga dua orang kenalan telah kembali menemui ALlah swt. Semoga Saudara Mazlan Ibrahim dan Ustazah Hayati Hassan ditempatkan ruhnya bersama para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solehin. Terasa masih berhutang kepada mereka sekiranya tiada coretan kenangan dinukilkan untuk mereka. Semoga selepas ini kalam pengembara kembali bertinta.