Tuesday, April 24, 2007

Pandangan Islam Terhadap Liberalisasi Perdagangan (Siri 2)

Wacana Islam Masih Relevan

Dunia Islam masa kini sebenarnya sangat terhutang budi dengan dua orang tokoh gerakan Islam iaitu Sayyid Qutb dan al-Maududi yang telah memberi respons yang sempurna terhadap pertembungan dua ideologi moden yang dominan iaitu Liberalisme dan Sosialisme. Kedua mereka telah mengemukakan wacana Islam tentang ideologi-ideologi tersebut seraya mengemukakan perspektif Islam tentang perekonomian dan perdagangan. Sayyid Qutb telah mengemukakan mauqif Islam terhadap ideologi-ideologi tersebut manakala al-Maududi telah merumuskan sistem perekonomian dan perdagangan menurut perspektif Islam. Selain daripada kedua mereka terdapat ramai lagi tokoh gerakan Islam yang telah tampil mengemukakan pendirian Islam terhadap ideologi-ideologi tersebut.

Maka tidak ada sebab para pendukung harakah Islamiah mencari perspektif lain dalam menetapkan pendirian terhadap ideologi-ideologi tersebut khususnya perspektif Liberalisme seperti yang dikemukakan oleh WSWJ. Pertembungan kedua-dua ideologi Liberalisme dan Sosialisme sukar dilihat penghujungnya. Teori The End of Ideology yang dikemukakan oleh Daniel Bell yang pernah menarik perhatian ramai pada dekad 1960-an kelihatan menjadi kenyataan khususnya selepas keruntuhan negara-negara blok timur pada penghujung dekad 1980-an. Tetapi idelogi Sosialisme terus berdiri dalam bentuk yang lain malah mula mendapat tempat di negara-negara Amerika Latin. Sosialisme dalam bentuk yang lebih lunak seperti sosial-demokratik terus mendapat tempat termasuk di negara-negara Barat sendiri. Situasi ini memperlihatkan bukan sahaja teori The End of Ideology tidak tepat malah teori gantiannya The End of an Ideology juga tidak menepati ramalannya.

Mereka yang cenderung kepada kedua-dua ideologi Liberalisme dan Sosialisme ini akan terus berwacana untuk menegakkan fahaman masing-masing sebagai contohnya dalam isu ‘Leberalisasi Perdagangan’ dan isu ‘Globalisasi’. Wacana seperti ini dilihat akan berterusan sehingga masing-masing berusaha untuk merebut kuasa politik bagi melaksanakan fahaman masing-masing. Teori The End of History oleh Francis Fukuyama yang menyatakan akan zahir hanya satu kuasa tunggal (Liberalisme/ Demokrasi) menentukan halatuju global kelihatan tepat pada awalnya, tetapi sekali lagi ia tinggal sebagai salah satu teori sains sosial yang pernah muncul dalam wacana akademik. Oleh sebab itu, tiada petanda perdebatan antara penegak kedua-dua ideologi ini akan berakhir, sekaligus menamatkan falsafah sejarah yang dikemukakan oleh Karl Marx seperti yang disindir oleh Fukuyama.

Menyedari hakikat tersebut, artikel WSWJ “Penghapusan Sekatan Perdagangan Satu Kewajipan”, “Globalisasi Membawa Kemakmuran” dan beberapa artikel yang dipaparkan dalam laman sesawang Malaysia Thinktank London sekadar memutarkan ‘tali tape lama’ (meminjam perumpamaan Hj Wan Mutalib Embong) dalam meneruskan perdebatan kedua-dua ideologi tersebut. Para pembaca boleh melihat pandangan balas terhadap isu-isu yang dibangkitkan dalam artikel-artikel tersebut paling mudah dengan melihat buku-buku dan artikel-artikel Dr Chandra Muzaffar. Saya sempat menelaah buku-buku dan artikel-artikel Dr Chandra ketika saya diminta mengambil alih salah satu kursus Sarjana Dialog Peradaban yang dikendalikannya serta menyudahkan dua bab yang ditulis dalam buku Teks Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) selepas kontrak beliau sebagai Professor ditamatkan. Pandangan Dr Chandra tentang isu liberalisasi perdagangan dan globalisasi lebih mantap daripada artikel-artikel yang disajikan dalam laman sesawang Malaysia Thinktank London.

Kalaupun tidak mengemukakan pendirian Islam tentang isu-isu terkini liberalisasi perdagangan dan globalisasi, pada peringkat awal saya begitu mengharapkan sekurang-kurangnya daripada laman sesawang tersebut saya boleh menelaah ‘skrip baru’ liberalisme atau neo-liberalisme bagi menangani jurang kemiskinan global, pembasmian ‘kasino matawang’, penghapusan penghomogenan (homogenisation) budaya, penyelesaian krisis alam sekitar global atau paling kurang penyekatan proses penyahindustri (deindustrialisation) yang hanya menguntungkan pemodal. Mungkin juga telah muncul lagi tokoh seumpama Thomas Hill Green atau John Maynard Keynes untuk meluruskan pendukung liberalisme. Malangnya, artikel-artikel yang dipaparkan seperti mengulangi slogan Joseph Rudyard Kipling bagi menghalalkan penjajahan Barat ke atas dunia lain.

Persoalannya mengapa bukan perspektif Islam yang dikemukakan dalam membicarakan isu liberalisasi perdagangan dan globalisasi. Kalaupun pandangan Sayyid Qutb dan al-Maududi selalu dianggap begitu keras, maka sekurang-kurangnya pandangan alternatif seperti Malik Bennabi atau lain-lainnya. Pada hari ini dunia Barat sendiri telah ‘celik mata’ untuk memahami perspektif agama Timur tentang perekonomian dan perdagangan seperti gagasan ekonomi Buddha ‘Small is Beautiful’ dan gagasan ekonomi Hindu ‘Village Economy’. Maka sebagai pendukung harakah Islamiah seharusnya ditonjolkan perspektif Islam yang lebih kamil dan mutakamil sekurang-kurangnya untuk dilaksanakan di sebuah negara yang dikuasai oleh orang Islam seperti Malaysia.

No comments: