Wednesday, November 28, 2007

Empat Noktah Tentang HINDRAF

Noktah 1.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa rakyat Malaysia adalah mangsa kepada penyonsangan sejarah sehingga impaknya semakin dirasai oleh mereka pada hari ini. Sebenarnya sejarah kita dibina oleh negara, bukannya sejarah yang membina negara kita. Dalam Falsafah Sejarah, salah satu persoalan besar yang mengundang perbahasan panjang lebar ialah sama ada ‘sejarah membentuk negara atau negara membentuk sejarah’. Secara normalnya sejarah yang membentuk negara kerana akar-umbi sosial dan budaya sesebuah masyarakat itulah yang sepatutnya dijadikan sebagai asas kepada pembentukan negara. Meminjam pandangan Baharuddin Ahmad, pakar Falsafah Sejarah di ISTAC, sejarah berasal dari bahasa Arab ‘syajarah’ yang bermakna pokok (pokok-pangkal) bukan seperti bahasa Inggeris ‘History’ bermakna pengkesahan (his + strory). Konotasi dari perkataan ini menerangkan bahawa sejarah menerangkan tentang akar-umbi dan pokok-pangkal sesuatu perkara.

Sepertimana yang selalu disebut, sejarah dipelajari untuk kita mengambil iktibar daripadanya. Sebenarnya lebih daripada itu, sejarah dipelajari supaya akar-umbi dan pokok-pangkal sesuatu itulah sepatutnya dijadikan asas untuk kita membina kehidupan di masa akan datang. Sejarahlah yang telah membentuk Kepulauan Melayu didiami oleh etnik Melayu seterusnya menjadi wilayah yang didiami oleh penganut Islam antara yang paling besar di dunia. Kedua-dua faktor Melayu dan Islam inilah yang telah mencorakkan pula sosial dan budaya masyarakat rantau ini selama berkurun-kurun sehingga menjadi sesuatu yang telah sebati. Kaum Cina dan India telah datang ke rantau ini lebih awal daripada migrasi yang dirancang oleh British, tetapi kesemua mereka berasimilasi dengan sosial dan budaya masyarakat rantau ini sehingga sukar dibezakan mereka dengan masyarakat tempatan. Lihat sahaja masyarakat Baba dan Nyonya yang merupakan hasil asimilasi migrasi dari China dengan sosial dan budaya tempatan.

Kedatangan Migrasi daripada China dan India pada kurun ke-20 seperti yang ditaja oleh British tidak mempedulikan akar-umbi dan pokok pangkal masyarakat di Kepulauan Melayu ini. Kaum Cina dan India dipisahkan daripada diasimilasikan dengan sosial dan budaya tempatan, malah British sedaya mungkin cuba menghakis akar-umbi dan pokok-pangkal tersebut. Situasi ini berterusan sehingga British berura-ura memberi kemerdekaan kepada Malaya. Pembentukan negara Malaya pada ketika itu berasaskan kepada sosial dan budaya yang ditaja oleh British seperti politik perkauman dan budaya carcamerba. Sejarah (akar-umbi dan pokok-pangkal) rantau ini tidak menjadi asas terpenting kepada pembinaan negara. Dengan perkataan lain, masyarakat kita sebenarnya dibina menyosang sejarah.

Kedua-dua kaum Cina dan India semenjak zaman British sama ada dirancang atau tidak dirancang, dihalang daripada berasimilasi dengan faktor Melayu dan Islam yang menjadi akar-umbi dan pokok-pangkal masyarakat rantau ini. Halangan itu berterusan sehingga selepas kemerdekaan seperti tiada kemahuan untuk merubahnya. Merubahnya mungkin tidak menguntungkan pada sesetengah pihak. Berbeza dengan masyarakat Cina dan India di beberapa buah Negeri seperti Kelantan dan Terengganu, mereka lebih terdorong berasimilasi dengan faktor Melayu dan Islam. Masalah perkauman tidak begitu kronik bagi kolompok-kelompok yang tidak terhalang seperti itu. Menyedari perkara tersebut, tuntutan HINDRAF ini adalah sebahagian daripada impak wujudnya halangan asimilasi tersebut disebabkan kemahuan yang kurang untuk menjadikan ‘akar-umbi dan pokok-pangkal’ sejarah sebagai asas membina negara.


Noktah 2

Lazimnya di Malaysia, apabila timbul sahaja isu-isu berbau perkauman maka akan terdengarlah semula gagasan tentang ‘kontrak sosial’ (social contract). Skrip yang sama akan diulang-ulangkan seumpama, “semua pihak perlu menghormati kontrak sosial semasa negara memperolehi kemerdekaan daripada British”. Malang sekali ramai yang tidak memahami tentang apakah sebenarnya yang dimaksudkan kontrak sosial atau mungkin mereka akan berhujah seperti yang selalu diucapkan, “kita mempunyai kontrak sosial cara kita”. Sekiranya inilah skrip dan hujah yang digunakan, lebih baiklah kita menggunakan perkataan lain seperti ‘perjanjian bersama’ atau sebagainya. Kontrak Sosial seperti yang wujud dalam falsafah kenegaraan yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh Barat seumpama John Locke dan Jacques Rousseau memberi makna yang perlu diperhalusi supaya konsep itu sesuai untuk digunapakai dalam konteks Malaysia.

Kontrak sosial seperti yang dikemukakan oleh mereka memberi penekanan kepada kepentingan bersama sebagai dasar kepada pembinaan sesebuah negara bangsa. Secara semulajadi setiap manusia mempunyai kebebasan untuk melakukan apa sahaja sehingga dilihat sebagai hak perseorangan. Tetapi apabila mereka mahu hidup dalam sebuah masyarakat atau bangsa bernegara, maka hak perseorangan itu disempadani dengan had batasan sehingga tidak mencerobohi hak orang lain dengan meletakkan kepentingan bersama sebagai terasnya. Semangat daripada kontrak sosial ini ialah mendaulatkan hak-hak perseorangan selama mana tidak mencerobohi hak orang lain dan mengutamakan kepentingan bersama bila wujud pertembungan hak. Di sinilah timbul persoalan iaitu sejauh mana kontrak sosial yang menjadi teras pembinaan negara Malaysia semasa kemerdekaan dahulu memenuhi konsep tesebut.

Dalam kontrak sosial tersebut, dimanakah letaknya hak-hak orang Islam untuk beramal dengan keseluruhan ajaran Islam dalam negara ini, betapa pula faktor Islam menjadi faktor terpenting mencorakkan kondisi masyarakat seperti itu. Pelaksanaan Islam dalam negara Malaysia tidak menyeluruh, sedangkan hak untuk melaksanakannya tidak mencerobohi hak-hak kaum yang lain. Sebagai contoh hak untuk melaksanakan hukum-hukum Islam seperti hukum Hudud, Qisas dan Taazir, merupakan hak yang tidak mencerobohi hak-hak kaum lain sebagaimana yang digubal oleh Kerajaan Kelantan dan Terengganu sebelum ini. Namun demikian, hak-hak untuk melaksanakannya tidak dijamin oleh kontrak sosial yang termaktub semasa mencapai kemerdekaan. Sebaliknya hak-hak yang telah diberikan seperti polisi kawalan moral pula telah dicabar oleh beberapa NGOs sebelum ini.

Demikian juga berapa banyak hak-hak orang Islam dicerobohi oleh kepentingan-kepentingan sebelah pihak seperti pembinaan pusat perjudian, pusat-pusat hiburan dan lain-lain. Tidakkah perlaksanaan semua ini mencerobohi hak-hak orang Islam disebabkan ajaran Islam melarang kegiatan-kegiatan seumpama ini. Malangnya kontrak sosial yang dimeterai semasa kemerdekaan ini tidak mengambil kira perkara-perkara teras seperti ini. Maka kontrak sosial tersebut sebenarnya lebih banyak merugikan orang-orang Islam sedangkan seperti yang disebut dalam noktah pertama sebelum ini, faktor Melayu dan Islam seharusnya menjadi asas kepada pembinaan negara bukannya diketepikan. Kandungan kontrak sosial tersebut lebih kepada kepentingan bersama untuk ‘mengisi perut’ atau bahasa akademiknya religious-free. Agama yang sepatutnya menjadi teras kehidupan manusia terpenting diremehkan, dengan pengertian lain kontrak sosial tersebut berwajahkan sekular. Sekiranya tuntutan HINDRAF itu disifatkan sebagai hak untuk memprotes setelah kontrak sosial itu menjurus kepada penindasan sebagaimana pandangan Locke, maka sudah sampai masanya kontrak sosial yang dimeterai itu disemak semula.

Noktah 3

Selepas Negara Malaysia merdeka, sememangnya pembangunan banyak bermatlamatkan kepada aspek material. Jarang sekali pembangunan ditumpukan kepada matlamat sosial dengan menjadikan material sebagai wasilahnya. Ada satu ketika iaitu pada zaman Tun Razak, pembangunan ditumpukan kepada matlamat sosial melalui pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Dalam DEB ini, matlamat pembangunan lebih ditumpukan pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Matlamat seperti ini tidaklah begitu popular seperti Wawasan 2020, Selangor Maju 2005, Kedah Gemilang 2010 dan lain-lain. Namun demikian, DEB ini merupakan satu pembangunan sebenar untuk manusia kerana mengambil kira faktor-faktor kemanusiaan sebagai matlamatnya.

Malangnya DEB ini telah disalahgunakan sebagai pembangunan untuk Bumiputera atau secara khususnya untuk UMNOputera. Sedangkan dalam matlamat DEB secara jelas menunjukkan matlamatnya merentasi kaum. Kemudian semasa zaman Dr Mahathir, matlamat sosial ini dijadikan matlamat kelas kedua, manakala matlamat material yang bertopengkan DEB dijadikan matlamat kelas pertama. Meskipun Dr Mahathir melakukan inisiatif tertentu khususnya untuk memenuhi strategi DEB bagi menempatkan kaum Melayu dalam sektor-sektor berdaya maju seperti industri otomobil, tumpuan kepada DEB itu telah berubah daripada sosial kepada material. Apabila tumpuan diberikan kepada material maka situasi sosial masyarakat tidak begitu dipentingkan apatah lagi kepada kaum minoriti.

Selepas zaman Tun Razak khususnya tiada tempat yang utama kepada matlamat sosial. Malah dalam bidang pendidikan matlamat sosial secara rasmi telah dipinggirkan dengan tumpuan 60% aliran Sains dan 40% Sains Sosial. Masyarakat yang membangun dengan pembangunan material tetapi pembangunan sosialnya tempang akan menghadapi masalah. Masalah yang dihadapi oleh kaum India di Malaysia ini adalah penyakit yang disebabkan oleh gejala ketempangan ini. Dari segi perangkaan, kaum India lebih terkehadapan berbanding kaum Melayu, namun apakah gambaran material itu menggambarkan situasi sosial yang sebenarnya. Oleh sebab itu, Hindraf telah memberi signal penting kepada keperluan melakukan 'reengineering' sosial dalam masyarakat Malaysia.

Noktah 4


Bersambung....

Wednesday, November 14, 2007

Kebebasan Akademik Yang Hilang

Sememangnya umum mengetahui bahawa demokrasi di Malaysia semakin pincang. Bagi ahli-ahli akademik yang jujur dan luhur boleh melihat sendiri perjalanan demokrasi di Malaysia mutakhir ini bermula daripada kebebasan media sehingga kepada amalan pilihanraya, sedang menuju kepada autokrasi. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sendiri mengakui secara terbuka tentang hakikat ini, lalu beliau menggambarkan Malaysia seumpama sebuah Negara Polis. Di peringkat antarabangsa negara Malaysia telah dikategorikan sebagai Negara Demokrasi Pincang berdasarkan Indeks Demokrasi yang dikeluarkan oleh majalah The Economist’s. Daripada 167 buah negara, Malaysia berada ditangga 81 lebih rendah daripada India (35), Mongolia (56) dan Bangladesh (75). Malah Nepal yang bangsanya disebut sebagai ‘Gurkha’ lebih baik pencapaiannya dalam konteks amalan demokrasi.

Menyedari hakikat tersebut, hasrat untuk mengembalikan amalan demokrasi yang adil merupakan kehendak seluruh rakyat Malaysia tidak kira parti pemerintah (sebagaimana yang disuarakan oleh penyokong-penyokong bekas Perdana Menteri), parti pembangkang, NGOs dan mereka yang tidak berpihak (non-partisan). Pilihan yang lain ialah kita terus mengekalkan status-quo amalan demokrasi kita sehingga akhirnya negara kita akan terjerumus dalam konflik yang kronik sebagaimana yang berlaku di negara-negara yang mengamalkan despotisme. Tepat sekali pandangan yang dikemukakan oleh Robert D. Crane bekas Penasihat Presiden Amerika Syarikat Richard Nixon: Extremisme bukan lahir disebabkan hasrat untuk berkuasa tetapi lahir dari rasa takut disebabkan cengkaman sehingga mendorong kepada pemikiran totalitarian yang membawa kepada terrorisme. Oleh sebab itu perjuangan untuk mengembalikan amalan demokrasi yang adil merupakan satu usaha yang patriotik oleh rakyat yang cintakan negara.

Perhimpunan aman yang dianjurkan oleh Bersih pada 10 November 2007 yang lalu merupakan satu usaha ke arah mengembalikan amalan demokrasi yang adil. Sepatutnya semua pihak yang mempunyai semangat patriotik akan turut bersama mendukung hasrat tersebut termasuklah dari kalangan parti pemerintah. Namun demikian, berbagai usaha telah dilakukan untuk menggagalkan tuntutan tersebut termasuklah amaran daripada pihak pentadbiran di universiti-universiti awam, mengugut ahli-ahli akademik dan mahasiswa supaya tidak hadir “walaupun sebagai pemerhati”. Larangan itu dikeluarkan di saat The Times Higher Educations Supplement menyenaraikan 200 universiti terbaik dunia, yang menyaksikan tiada sebuahpun universiti di Malaysia yang tersenarai.

Siapapun tidak boleh menjangkakan apakah impak perhimpunan aman yang dianjurkan oleh Bersih ini. Mungkinkah perhimpunan aman tersebut akan membawa natijah yang positif sehingga mengembalikan amalan demokrasi yang adil? Tidak mustahil sekiranya dengan ramainya rakyat yang berhimpun menyebabkan amalan pilihanraya di Malaysia akan berubah sebagai contoh beralih kepada sistem Proportional Representative. Sekiranya perubahan-perubahan ini berlaku sehingga membawa perubahan besar kepada amalan demokrasi negara atau setidak-tidaknya melahirkan rakyat yang berjiwa merdeka, maka perhimpunan aman ini akan dikenang sepanjang zaman sebagai ‘turning point’nya. Jika telahan ini berlaku maka berebut-rebutlah ahli-ahli akademik pada masa mendatang membuat kajian tentang perhimpunan aman ini dari pelbagai sudut. Tidak mustahil cecair kimia yang digunakan oleh Meriam Pancutan air pihak Polis turut menjadi bahan kajian.

Tidakkah dunia akademik kerugian besar apabila larangan seumpama ini dikeluarkan. Kajian yang dilakukan oleh ahli-ahli akademik selepas peritiwa ini berlaku sudah pasti kurang wibawanya berbanding dengan ahli-ahli akademik yang berada sendiri ditempat kejadian, melakukan pemerhatian secara langsung terhadap peristiwa ini. Oleh kerana itu, larangan kepada ahli-ahli akademik berada di tempat kejadian walaupun sebagai pemerhati merupakan langkah seribu tapak ke belakang menyekat kebebasan dunia akademik. Sekiranya larangan itu menyebut dilarang menyertai perhimpunan maka dapatlah dilihat rasionalnya, tetapi “sehingga menjadi pemerhati”pun tidak dibenarkan, apa lagi yang tinggal pada kebebasan dunia akademik. Lupakanlah hasrat menjadi universiti bertaraf dunia kalau minda ahli akademiknya dikongkong sebegitu rupa.