Thursday, August 14, 2008

Patriotisme Menurut Perspektif Islam dan Barat (Siri 2)

Patriotisme Buta (Blind Patriotism)

Bekas pemimpin Perancis, Charles De Gaulle pernah menyatakan bahawa “patriotisme ialah mengutamakan kecintaan kepada negara lebih dahulu manakala nasionalisme mengutamakan kebencian kepada negara lain lebih dahulu”. Pandangan ini agak menarik kerana cuba menggambarkan wujudnya suatu semangat yang semacam patriotisme tetapi sebenarnya ‘patriotisme buta’. Tidak dapat dinafikan bahawa cintakan kepada negara adalah sesuatu yang positif tetapi sekiranya kita mendahulukan semangat bermusuh dengan orang lain maka ia merupakan sesuatu yang negatif. Sikap negatif yang seperti inilah yang selalu disebut ‘Patriotisme Buta’. Sepanjang sejarah Eropah kejadian konflik yang berpanjangan mempunyai hubungkait dengan kepimpinan yang selalu meniupkan semangat patriotisme buta.

Sekiranya kita menyorot kepada sejarah bangsa Eropah yang diakui sendiri oleh sejarawan mereka, sikap suka mendominasikan orang lain (jingoism) telah menjadi darah-daging mereka. Sikap inilah yang telah mencetuskan Perang Salib ke atas masyarakat Islam, penjajahan seluruh manusia yang bukan berkulit putih dan lain-lain. Bagaimanapun untuk membenarkan tindakan mereka, pemimpin-pemimpin bangsa Eropah meniupkan semangat memusuhi bangsa lain dan menganggap ini adalah sebagai patriotisme. Sebenarnya ini bukanlah hakikat patriotisme iaitu dengan menindas bangsa lain, mengenepikan keadilan, melakukan kezaliman sesama manusia, menolak kebenaran dan mengikis naluri kemanusiaan. Semangat dan sikap seperti ini adalah disebut patriotisme buta.

Patriotisme yang celik atau ‘celik sivik’ sebenarnya seperti apa yang dibangkitkan oleh Plato, ahli falsafah kenegaraan Yunani yang agung iaitu menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman sesama manusia. Perkara inilah yang menjadi intipati karya Plato yang terkenal dalam persoalan kenegaraan bertajuk ‘Republic’ iaitu buah tangannya yang ditulis kerana kecewa dengan hukuman mati yang dijatuhkan kepada gurunya Socrates. Menyedari hakikat tersebut, patriotisme yang sebenar adalah untuk mewujudkan keharmonian sesama manusia, melakukan keadilan dan menegah kezaliman. Semangat mencintai negara dan bangsa yang ditiupkan adalah untuk mengimbangi kecenderungan negatif yang mungkin terdapat pada negara dan bangsa lain bukannya untuk memulakan permusuhan.

Selain daripada itu, Patriotisme yang sebenar juga bukan bermaksud seseorang itu merelakan negara atau bangsanya mencabul dan menzalimi orang lain sebagaimana pernah disebut oleh warga Amerika dalam akhbar The Chronicle; “Sekiranya dengan tidak menyokong perang ke atas Iraq, membunuh orang awam dan memusnahkan harta mereka dianggap tidak patriotik, maka saya rela dikatakan sedemikian”. Secara kesimpulannya, boleh disebut bahawa patriotisme sebenar adalah bersifat positif dengan mengutamakan kebenaran, keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan, manakala patriotisme buta pula ialah bersifat negatif dengan mendahulukan kebatilan, kezaliman, diskriminasi dan penindasan.


Patriotisme dan Islam

Dalam konteks Islam patriotisme sebenarnya merujuk kepada semangat Jihad di jalan Allah. Bagaimanapun jihad bukanlah merujuk kepada satu kepentingan yang sempit tetapi meninggikan kalimah Allah yang kepentingannya lebih sejagat. Jihad dalam konteks ini adalah untuk menegakkan peradaban manusia seluruhnya yang diredhai Allah. Perjuangan yang seumpama ini memerlukan semangat kental yang ditanam dalam diri setiap anggota masyarakat. Selain daripada itu, setiap anggota masyarakat dipupuk untuk mendahulukan kepentingan masyarakat berbanding kepentingan diri sebagai manifestasi daripada semangat pengorbanan (tadhiyah) yang tinggi. Kesemua usaha yang dilakukan dalam membangunkan peradaban manusia seharusnya berterusan yang mungkin melibatkan silih berganti antara generasi.

Perkataan jihad berasal daripada perkataan 'jahada' dalam bahasa Arab yang bermaksud melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Dari segi pengertiannya yang sebenar di sisi Islam ialah usaha yang bersungguh-sungguh sehingga mengorbankan kepentingan peribadi demi untuk meninggikan kalimah Allah berlandaskan ketentuan syara'. Menurut al-Razi, jihad ialah penggembelingan tenaga oleh umat Islam bagi membantu menegakkan Islam, kestabilan kehidupan dan keutuhan masyarakat. Selain daripada kelima-lima Rukun Islam, jihad merupakan satu kefarduan yang sangat dituntut kerana melalui jihadlah umat Islam akan dipandang mulia dan terhormat. Sekiranya dilihat dari perspektif yang lebih luas, jihad merupakan asas kepada tertegaknya kehidupan berperadaban menurut Islam. Peradaban Islam sebenarnya merujuk kepada sesebuah masyarakat yang berjaya memasakkan mabadi' (prinsip) Islam dalam kehidupan serta melaksanakan manhaj (sistem) Islam sebagai cara hidup mereka.

Masyarakat yang seperti inilah yang telah dibina oleh Nabi Muhammad saw selepas baginda berhijrah ke Madinah. Kesemuanya ini memerlukan penggembelingan tenaga yang bersungguh-sungguh yang dinamakannya sebagai 'jihad'. Lebih daripada itu, jihad juga boleh dilihat sebagai daya ketahanan yang memastikan kelangsungan peradaban Islam. Masyarakat yang menghayati konsep jihad akan sentiasa memastikan faktor-faktor yang boleh memusnahkan peradaban seperti yang dikemukakan sebelum ini, tidak dibiarkan berleluasa di samping terus berusaha untuk memajukan kehidupan menurut ketentuan Islam. Setiap anggota masyarakat Islam akan saling pesan-memesan untuk keharmonian bersama. Segala aspek ini terangkum dalam konsep Jihad sekiranya dilihat dari perspektif Islam yang luas dan lengkap.

Para ilmuan Islam telah menghuraikan konsep Jihad seumpama ini dalam buku-buku mereka berteraskan kepada sumber al-Quran dan al-Sunnah. Salah seorang daripada mereka ialah Ibn Qayyim al-Jauziah yang telah membahagi Jihad kepada empat kategori:

a. Jihad melawan hawa nafsu, iaitu merujuk kepada usaha yang bersungguh-sungguh untuk membaiki peribadi dengan memupuk nilai-nilai terpuji seperti jujur, rajin berusaha, mencintai ilmu dan berani, serta menghindarkan nilai-nilai terkeji seperti khianat, malas, melakukan perkara lagho dan bacul.

b. Jihad melawan syaitan, iaitu merujuk kepada usaha yang bersungguh-sungguh untuk menghapuskan hasutan syaitan yang mendorong manusia melakukan perkara-perkara yang melampaui batas Allah (taghut).

c. Jihad melawan golongan munafik, iaitu merujuk kepada usaha yang bersungguh untuk menentang golongan ‘musuh dalam selimut’. Termasuk juga dalam kategori ini ialah usaha yang bersungguh-sungguh untuk menegakkan kebenaran dan menenggelamkan kebatilan, menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran serta menuntut keadilan dan mengenepikan kezaliman.

d. Jihad melawan tentera-tentera musuh, iaitu merujuk kepada jihad memikul senjata bagi menghadapi tentera-tentera musuh yang mengancam kestabilan yang secara langsung boleh memusnahkan sesebuah peradaban.

Keempat-empat kategori ini pada hakikatnya akan berlaku di sepanjang zaman meskipun dalam wajah dan bentuk yang berlainan. Menyedari hakikat tersebut, masyarakat yang berperadaban seharusnya dari masa ke semasa menanamkan semangat perjuangan dalam setiap peribadi supaya peradaban yang dibina akan sentiasa diperkukuh dan dipertahankan. Bagi mencapai perkara tersebut segala persediaan dalam bentuk keilmuan, perekonomian, pemuafakatan dan persenjataan seharusnya disempurnakan.

Konsep jihad yang diutarakan ini seharusnya dilihat dari kacamata yang positif, iaitu bertujuan untuk mewujudkan perdamaian dan keseimbangan bukannya perbalahan dan melampau. Melalui semangat perjuangan, pemujaan kepada nafsu, perkara-perkara yang melampaui batas agama, kekejaman atau penindasan, pencabulan hak dan serangan musuh dapat dipatahkan atau dilenyapkan. Sekiranya tiada penghayatan konsep perjuangan kesemua perkara negatif tersebut akan bermaharajalela kerana tiada lagi kuasa pengimbang seterusnya terhapuslah keharmonian dan kesaksamaan dalam kehidupan sejagat.

Friday, August 01, 2008

Patriotisme Menurut Perspektif Islam dan Barat (Siri 1)

Konsep Patriotisme

Secara umumnya bolehlah dikatakan bahawa asal-usul patriotisme adalah daripada budaya turun-temurun masyarakat Barat kerana perkataan patriotisme itu sendiri berasal daripada bahasa Yunani ‘Patria’ yang bermaksud tanahair (fatherland or homeland). Secara lebih lengkap maksud patriotisme ialah cintakan kepada tanahair dengan kesanggupan untuk menumpahkan hati-budi kepadanya. Disebabkan perkataan ini berasal daripada bahasa Yunani dan kemudian digunakan oleh bahasa Inggeris maka secara khusus perkataan ini mempunyai hubungkait dengan sejarah perkembangan budaya masyarakat Eropah daripada zaman Yunani sehingga zaman Barat Moden. Bagaimanapun ini tidaklah menafikan kewujudan nilai yang sama dalam masyarakat Timur dan masyarakat Islam.

Selalu disebut bahawa konsep patriotisme dalam masyarakat Eropah dan Barat telah berubah mengikut perkembangan zaman terutama menjelang kurun ke-18. Sekiranya pada zaman Yunani, patriotisme ini merujuk kepada ‘an attachment to the physical features of land’ (rasa kebersamaan dengan tanahair), konsepnya telah berubah selepas itu. Pada Zaman Pertengahan, iaitu sewaktu masyarakat Eropah didominasikan oleh pengaruh golongan eklesiastik (golongan gereja), konsep patriotisme merujuk kepada kecintaan terhadap agama Kristian yang menjadi pegangan Tamadun Rom. Selepas Zaman Renaisans (zaman kebangkitan Eropah), ketika Tamadun mula berpecah kepada kewujudan negara-negara bangsa, maka patriotisme merujuk kepada kecintaan kepada bangsa yang dikaitkan dengan nasionalisme. Pada zaman ini juga bermulanya era kolonialisme yang dilebarkan atas semangat patriotisme golongan penjajah.

Pada kurun ke-18, ketika kelahiran pelbagai ideologi seperti demokrasi, sosialisme dan komunisme yang menjadi anutan negara-negara tersebut, konsep patriotisme telah dikaitkan dengan pegangan yang kuat kepada ideologi tersebut sehingga rasa kebersamaan itu telah menggabungkan beberapa negara dalam sesebuah blok ideologi (seperti blok kapitalis dan blok komunis). Pada zaman ini, dalam suasana globalisasi yang begitu kuat selalu dipersoalkan adakah masih wujud rasa patriotisme dan nasionalisme? Yang jelasnya syarikat-syarikat transnasional atau multinasional selalu dipertikaikan semangat patriotisme dan nasionalisme yang ada pada mereka oleh golongan patriotis dan nasionalis. Dengan demikian, agak sukar memberi satu konsep yang tepat kerana konsep patriotisme seharusnya dilihat dari perspektif sejarah perkembangan tradisi, budaya dan politik manusia.


Hubungan Patriotisme dengan Ideologi Negara.

Bagaimanapun yang sangat jelas konsep patriotisme itu selalunya berkaitan rapat dengan ideologi yang menjadi teras kepada sesebuah negara, malah boleh dikatakan inilah yang menjadi ciri utama dalam perkembangan patriotisme di Barat. Ideologi sesebuah negara itu kemudiannya dipupuk dalam masyarakat dengan pelbagai cara sama ada melalui simbol, slogan, kempen dan lain-lain. Dalam konteks ini sudah pasti mereka yang menjadi penafsir yang utama kepada patriotisme ialah pemimpin utama sesebuah negara. Dalam sesebuah negara despotisme atau diktator, tafsiran mereka ini kemudiannya dipaksakan kepada masyarakat untuk diterima tanpa soal. Situasi yang seperti ini berlaku semasa kebangkitan negara-negara komunis sehingga rakyat dipaksa berkorban atas nama patriotisme.

Disebabkan konsep patriotisme tidak mempunyai suatu pengertian yang mutlak atau tuntas, maka ia seringkali tafsiran pemimpin tentang patriotisme dianggap sebagai tafsiran yang patut diterima. Pemimpin selalu melihat merekalah orang pertama yang mempertahankan ideologi negara maka merekalah yang saharusnya menentukan kehendak sebenar patriotisme. Bagi golongan pemimpin, patriotisme itu adalah mentaati kepimpinan yang secara tidak langsung merupakan ketaatan kepada ideologi negara. Mereka yang tidak bersetuju dengan pemimpin seringkali dianggap sebagai golongan yang tidak patriotik dan pengkhianat. Konsep patriotisme seperti ini telah menular kepada negara-negara yang dikatakan demokrasi dan liberal. Dalam perang yang dilancarkan oleh Amerika ke atas Iraq, George W. Bush telah menggunakan pendekatan yang sama dengan menganggap mereka yang menentang perang tersebut sebagai tidak patriotik.