Monday, April 19, 2010

Semoga Zaid Ibrahim Mencontohi Abu Mihjan (r.a.)

Kisah Abu Mihjan ini pertama kali saya dengar ketika mengikuti kuliah Dr Abd Aziz Hanafi yang mengupas Tafsir Fi Zilal al-Qur'an. Sebagai seorang ulama yang hebat, Dr Abd Aziz Hanafi mengambil masa yang agak lama sekadar untuk mengupas mukadimah kitab ini. Salah satu kupasan yang menarik apabila beliau menjelaskan tentang hadith: "sesungguhnya Allah menolong agama Islam ini dengan lelaki yang melakukan dosa". Dalam mengupas hadith ini, beliau menjelaskan tentang peristiwa seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang bernama Abu Mihjan r.a. yang merupakan peminum arak tegar.

Dalam peperangan al-Qadisiyyah melawan tentera Farsi yang dipimpin oleh panglima tenteranya yang terkenal Rostum, Abi Mihjan telah turut sama untuk mengejar shahid. Tentera Islam ketika itu dipimpin oleh Sa`ad bin Abi Waqqas r.a. Setelah berperang beberapa ketika, sewaktu tentera Islam berehat, Abu Mihjan telah mengambil kesempatan untuk minum arak. Lalu beliau ditangkap oleh tentera Islam dan dihadapkan kepada Sa`ad bin Abi Waqqas. Dengan merujuk kepada hukum hudud, Sa`ad telah menetapkan bahawa Abu Mihjan akan dijatuhkan hukuman sebat sejurus dia sedar daripada mabuknya.

Lalu Abu Mihjan telah dikurung sementara menanti hukuman, manakala tentera Islam pimpinan Sa`ad mara ke medan meneruskan peperangan. Peperangan yang meletus begitu hebat sehingga tentera Islam telah terkepung di tengah-tengah tentera Farsi. Apabila Abu Mihjan sedar daripada mabuknya, beliau menyedari tentera Islam telah mara ke Medan, lalu beliau meminta kepada isteri Sa`ad bin Abi Waqqas untuk dilepaskan agar boleh menyertai tentera Islam untuk meneruskan jihad. Pada awalnya isteri Sa`ad berat untuk melepaskannya, tetapi setelah Abu Mihjan berjanji akan kembali semula untuk menerima hukuman, beliaupun dilepaskan.

Di tengah-tengah kepungan tentera Farsi itu, tiba-tiba muncul seorang tentera berkuda yang menutup muka, merempuh kepungan tentera Farsi tersebut. Tentera itu sangat hebat dan pantas, sehingga berjaya memecahkan kepungan tentera Farsi tersebut. Setelah selesai pertempuran hari itu, tentera-tentera Islam yang kembali bercerita antara satu sama lain tentang kehebatan tentera berkuda tersebut. Lalu salah seorang daripada mereka menyebut kemungkinan Allah swt telah mendatangkan pertolongan dari kalangan tentera Malaikat. Apabila Sa`ad mendengar kata-kata tersebut, beliau menyatakan: "dia bukan tentera Malaikat kerana kuda yang ditunggangnya adalah kuda aku".

Sa`ad Ibn Waqqas seterusnya mengkhabarkan bahawa tentera berkuda itu adalah Abu Mihjan yang menanti hukuman hudud kerana meminum arak. Kisah ini dapat dibincangkan oleh para ulama berhubung dengan pelaksanaan hukum hudud semasa perang. Terdapat beberapa riwayat yang menyebut Abu Mihjan kemudiannya telah dilepaskan daripada hukuman itu, dan beliau telah bertaubat untuk tidak lagi meminum arak. Janji Abu Mihjan itu telah ditunaikan, apabila beliau tidak lagi meminum arak sehingga kematiannya. Semoga kisah ini dapat menjadi iktibar kepada kita semua, dan harapan kita Zaid Ibrahim akan mencontohi Abu Mahjan r.a.

Sunday, April 11, 2010

Bapaku Guruku (Hj Marzuki bin Ali 1937-2010)

Hari ini telah lima hari bapa kesayanganku meninggalkan dunia yang fana ini. Masih terngiang-ngiang panggilan telefon dari kakakku memberitahu dengan cemas, abah jatuh di luar bilik air selepas mengambil wudu' untuk mendirikan solat subuh. Ketika itu aku menyangkakan hanya tergelincir biasa. Lalu aku menghubungi ibuku di kampung. Ibuku dengan cemas menjawab, "Baliklah cepat, abah baru lepas jatuh. Bila dipanggil dia tidak lagi menjawab", sambil menangis teresak-esak. Aku terus bergegas menyuruh isteriku berkemas untuk pulang segera, meskipun anak-anakku telah bersiap untuk ke sekolah.

Dengan hati yang penuh berdoa supaya abah tidak mengalami kecederaan yang serius, aku terus memecut keretaku sehingga 160 km/sejam. Perjalanan yang mengambil masa sejam lebih, dan akhirnya aku sampai di halaman rumah. Aku lihat beberapa sahabat bapaku Cikgu Shafie, Pakcik Khalid (Tukang Gunting) dan lain-lain sedang mundar-mandir di hadapan rumah. Sesampaiku di depan pintu rumah anak-anak saudaraku yang belum lagi mengenal erti hidup keluar menyatakan Datuk mereka telah meninggal dunia. Seperti masih tidak mempercayai berita itu, lalu aku bertanya kepada ibuku. Ibuku menjawab, "abah sudah tiada".

Abah bukan sekadar bapaku tetapi juga guruku. Daripadanya aku mempelajari kewajipan yang terpenting bagi seseorang Muslim iaitu solat, sehinggalah kepada perkara-perkara remeh berkaitan kehidupan seharian. Beberapa minggu yang lalu, abahku telah menyuruh aku untuk menebang pokok Kulim yang dikatakan menghalang tumbesaran pokok durian di dusunku. Beliau mengajarku beberapa cara untuk menebang pokok iaitu melihat bahagian mana yang rimbun dan menakuk pokok secara bertentangan dengan paras yang berbeza sedikit. Paras yang lebih rendah hendaklah ke arah bahagian yang rimbun.

Lalu aku melaksanakan pemintaannya, dan memulakan penebangan setelah lebih 25 tahun tidak membuat kerja-kerja kampung seperti ini. Ketika itu beliau yang tidak boleh berjalan dengan sempurna disebabkan anggota kakinya yang telah lemah hanya duduk di dalam kereta. Ketika aku sedang bertungkus-lumus menakuk pokok Kulim itu, isteriku berada di samping beliau. Menurut isteriku, abah berkata, "dari bunyi tetakan yang aku lakukan, jelas sekali cara aku menakuk pokok itu salah". Bagaimanapun akhirnya pokok itu tumbang juga, dan hari itu kamipun berulamkan pucuk kulim. Bagiku itu juga satu ilmu yang diturunkan dari bapaku.

Bapaku dilahirkan dari sebuah keluarga yang susah, merantau dari daerah Bengkulu di Sumatera. Bapanya dan Ibunya dilahirkan di sana. Bapaku dilahirkan pada 30 Julai 1937 di Sungai Pagi, Sungai Selisek, Hulu Selangor. Sewaktu Perang Dunia Kedua, beliau dan keluarga di bawa berlindung oleh bapanya di sebuah kawasan hutan di Kelan, Behrang, Perak sehinggalah diisytiharkan darurat pada tahun 1948. Pada masa darurat, British telah mengarahkan supaya kawasan-kawasan seperti ini dikosongkan, lalu keluarga beliau kembali semula ke Sungai Pagi. Beliau memulakan persekolahan di Sekolah Melayu Sungai Selisek, Hulu Selangor.

Menjelang 1950, beliau menyambung pengajian di Pondok Gajah Mati, Pendang, Kedah. Pondok tersebut dipimpin oleh Tuan Guru Pak Cu Him (Tuan Guru Haji Ibrahim) yang berasal dari Petani. Beliau belajar di sana hampir lima tahun. Kemudian beliau menyambung pengajian di Madrasah al-Sa`diyah di Temoh, Perak, di bawah bimbingan Kiyai Haji Salleh Abdul Rahman sehingga memperolehi Rabi' Thanawi. Selepas itu beliau berkhidmat sebagai Guru Agama di Sekolah Kebangsaan di bawah Kementerian Pelajaran dengan ditempatkan di beberapa sekolah di daerah Hulu Selangor, antaranya Felda Gedangsa dan Kuala Kubu Baharu.

Kemudian beliau telah bertukar dari Kementerian Pelajaran untuk diserapkan sebagai Guru Agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor. Beliau berkhidmat di beberapa buah sekolah seperti di Sungai Selisek dan terakhirnya di Gesir Tengah. Selain daripada itu beliau turut mengajar di masjid-masjid dan surau-surau. Bagi mengenang sumbangan beliau, beliau telah dianugerahkan Tokoh Guru daerah Hulu Selangor pada tahun 2007. Pada subuh 7 April yang lalu, beliau telah kembali menemui Tuhan Rabb al-Jalil, meninggalkan Ibuku dan kami empat beradik (seorang lelaki dan tiga perempuan). Dialah bapaku dan guruku.

Wednesday, April 07, 2010

سنلتقى في الجنة انشاءالله

شعرت خزنا عميقا
وصلت خبرا مفاجئا
توفي ابي صبحا
بعد ثوضاء طهورا
سنلتقي في الجنة
انا و انت يا ابي

ابي اسمه مرزوقي بن علي الفليمباني
ولد في 30 يوليو 1937
دخل درسة الاولى في المدرسة الملايوية
ثم وصل درسته في المدرسة الدينية كاجه ماتي في قدح مليزيا
درس ثخت توان كورو فاء جو هيم لمدة اربع سنوات
ثم دخل المدرسة الدينية في تموه فيراق
حصل بالشهدة ربيع الثنوي
كان يستخدم معليما حتى 29 يوليو 1994