Adakah Bid'ah Menetapkan Amalan Pada Waktu Tertentu?
Selalu juga perkara-perkara yang berkaitan dengan menetapkan amalan pada waktu-waktu tertentu ini dijadikan sebagai alasan untuk membid'ah sesuatu amalan. Berhubung dengan perkara ini ada dua situasi yang perlu diambil perhatian:
1. Menentukan amalan pada hari-hari yang mempunyai kelebihan tertentu. Dalam Islam sememangnya amalan seseorang itu kadang-kadang Allah swt memberi ganjaran berbeza mengikut waktu yang berbeza. Sebagai contoh yang jelas solat berjamaah lebih afdhal dari solat bersendirian, puasa Sunat pada hari panas dan terik adalah lebih utama, bersedekah pada bulan Ramadhan ganjarannya lebih besar, berpuasa pada bulan haram lebih fadilatnya, hadir lebih awal ke masjid pada hari Jumaat lebih besar pahalanya, terdapat satu ketika pada hari Jumaat yang doa dimakbulkan ALlah dan lain-lain lagi. Kelebihan-kelebihan waktu tersebut telah thabit daripada Rasulullah saw. Sehubungan dengan itu ada dua kaedah beramal pada waktu-waktu yang telah thabit kelebihannya berbanding waktu-waktu yang lain:
a. Beramal bersandarkan kepada nas-nas yang khusus tentangnya seperti puasa pada hari kesepuluh Muharram, puasa pada hari Wukuf, solat tarawih pada bulan Ramadhan dan lain-lain. Maka bila kita melaksanakan puasa atau solat pada waktu-waktu tersebut perlulah diniatkan dengan niat khusus seperti Puasa 10 Muharram dan 9 Zulhijjah, solat tarawih dan lain-lain.
b. Beramal bersandarkan kepada nas-nas yang umum iaitu seperti solat sunat atau puasa sunat atau zikir atau membaca al-Quran. Kesemua amalan solat sunat, puasa sunat, zikir atau membaca al-Quran ini boleh didirikan pada bila-bila masa kecuali pada waktu-waktu yang diharamkan oleh ALlah swt seperti solat sunat selepas subuh, puasa sunat pada hari tasyrik, zikir secara lafaz dalam tandas dan membaca al-Quran sewaktu berhadas besar. Oleh itu sekiranya kita ingin melakukan ibadat-ibadat yang bersandarkan pada nas-nas umum seperti ini pada hari-hari yang tertentu seperti malam Nisfu Sya'ban dan lain-lain, maka tidak boleh diniatkan dengan niat khusus seumpama 'sahaja aku solat sunat Nisfu Sya'ban' sebaliknya niat 'sahaja aku solat sunat (mutlak) atau solat sunat khusus yang lain. Demikian juga jika kita membaca Yaasin sebanyak 3 kali maka niatkan sebagai membaca al-Quran secara mutlak bukan sempena Nisfu Sya'ban dengan harapan segala amalan tersebut dapat membersihkan dosa kita pada malam yang dijanjikan keampunan oleh ALlah swt. Sekiranya kita melipat-ganda amalan pada malam tersebut melebihi malam yang lain maka tiadalah dilarang. Seperti juga pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan iaitu antara malam Lailatul Qadar, maka kita berniat dengan niat membaca al-Quran, zikir atau solat yang tidak disandarkan pada Lailatu Qadar. Tidak boleh berniat 'sahaja aku solat sunat Lailatul Qadar', kerana tidak ada solat sunat seumpamanya, tetapi solat sunat (mutlak) atau solat-solat khusus seperti tahajud, witir dan lain-lain. Moga-moga amalan yang dilakukan pada waktu-waktu yang mustajab seperti Lailatul Qadar dan Nisfu Sya'ban itu pahalanya akan lebih berlipat-ganda daripada membaca al-Quran, zikir dan solat sunat pada waktu yang lain.
Maka jika kita beramal seperti kedua-dua cara di atas pada waktu-waktu yang tertentu berdasarkan nas khusus dan nas umum, tidak boleh disebut amalan-amalan tersebut bid'ah.
2. Menetapkan amalan untuk tujuan-tujuan yang baik seperti mendisiplinkan diri, memupuk ukhuwah dan lain-lain selama mana tidak menentukan niat khusus amalan dan balasan-balasan khusus tentang amalan tersebut, maka ia adalah harus. Contohnya jika seorang yang berhasrat untuk menghafaz al-Quran menentukan dia akan membaca surah-surah tertentu selepas solat. Demikian juga menentukan membaca juzuk pertama dalam solat-solatnya pada hari pertama setiap bulan kemudian membaca juzuk kedua dalam hari kedua berikutnya sehingga habis 30 juzuk setiap bulan dengan tujuan menjaga hafazannya, maka ia adalah diharuskan. Begitulah juga membaca Yaasin pada malam Jumaat dengan tujuan mendisiplin ahli-ahli Kariah dan memupuk ukhuwah selama mana tidak menthbitkannya dengan amalan khusus, maka tiada menjadi satu kesalahan.
Wallahu'alam