Monday, August 31, 2009

Pembinaan Kuil Seksyen 23: Antara Pluralisme dan Toleransi Beragama

Kali pertama saya menjejakkan kaki ke bumi Eropah ialah di Amsterdam, iaitu apabila mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Amsterdam di suatu subuh yang bening. Saya terus bergegas untuk mencari tempat solat, lalu ditunjukkan satu tempat bernama ‘prayer room’. Di bilik itu terdapat seorang nun sedang membaca senaskah bible dan dua orang Muslim sedang bersiap untuk mendirikan solat subuh. Kedua muslim tersebut dipercayai Shi`ah kerana mereka menyatakan dari Iran, tetapi tidak pula mereka memakai apa-apa batu sebagai alas sujud sebagaimana amalan biasa seseorang Shi`ah.

Saya terus mendirikan solat jamaah bersama kedua-dua Muslim tersebut, sementara nun itu meneruskan bacaan biblenya di satu sudut yang lain. Saya rasa inilah pengalaman pertama saya melihat fenomena plurisme agama yang melampau tetapi diterima normal oleh rata-rata penduduk Eropah. Terdetik dalam hati saya, kalaulah perkara ini berlaku di Malaysia, sayalah orang yang pertama bangun menentang cadangan seperti ini. Saya tidak boleh menerima pluralisme seperti ini, sebaliknya saya berpegang kepada toleransi beragama seperti yang disebut oleh Allah swt dalam Surah al-Kafirun.

Ketika saya berada di bumi United Kingdom dan Eropah lebih sedikit dari tiga tahun, pengalaman seperti ini semakin ketara dirasai. Di Camarthen Wales, yang penduduk Islamnya sekitar 50 keluarga, solat Jumaat didirikan di sebuah Chapel (seumpama prayer room) yang terletak di Hospital bandar ini. Bila tiba Ramadhan, untuk menganjurkan Iftar Jama`i dan solat Tarawih, komuniti Islam di sana menyewa sebuah dewan di bawah seliaan St. Mary Church yang terletak di pinggir bandar ini. Sekali lagi, saya berpendirian kalaulah ada pengurusan masjid membenarkan dewan di bawah seliaan mereka digunakan untuk upacara agama lain, sayalah orang yang pertama menentangnya.

Semasa di United Kingdom, saya pernah menimba pengalaman bekerja di pasaraya yang terletak betul-betul di belakang rumah. Pengurus pasaraya ini dipercayai seorang Kristian, tetapi tidak berpegang kuat kepada ajarannya. Saya pernah mendirikan solat, di celah-celah rak simpanan barang di dalam stor simpanan barangnya, dan kebetulan dia lalu di sisi. Selepas saya solat, dia menyatakan kalau saya hendak mendirikan solat boleh melakukannya di sebuah bilik yang lebih selesa dan lebih privacy. Kunci bilik itu boleh diperolehi di pejabatnya.

Ketika saya bermusafir menjelajah United Kingdom dan Eropah, saya seringkali mendirikan solat di kaki lima terbuka di perhentian rehat sebelahan lebuhraya. Sepanjang saya melakukan solat di kawasan ini, saya tidak pernah diganggu apalagi dihalang oleh sesiapapun. Malah di satu kawasan perhentian di lebuhraya M6, berhampiran Birmingham pihak berkuasa United Kingdom telah mendirikan surau untuk kegunaan pengguna lebuhraya Muslim. Saya juga dimaklumkan ada surau-surau yang seumpamanya di lebuhraya-lebuhraya yang lain.

Kesemua pengalaman di atas sebenarnya sangat berharga supaya boleh menunjuki sempadan-sempadan yang jelas antara pluralisme beragama dan toleransi beragama. Pluralisme beragama tidak dapat diterima oleh Islam kerana cuba mengenengahkan konsep semua agama itu benar. Manakala toleransi beragama pula bermaksud, kita tidak memaksa golongan bukan Islam menganut Islam, sebaliknya memberi hak kepada mereka untuk menyempurnakan tuntutan agama mereka. Termasuk dalam toleransi beragama itu ialah mengizinkan mereka mendirikan rumah penyembahan mereka.

Thursday, August 27, 2009

Isu Kartika: Dakwah Didahulukan, Shari`ah Didaulatkan.

Sememangnya isu hukuman sebatan ke atas model Kartika Sari sekali lagi mengundang polemik di kalangan masyarakat Malaysia khususnya antara golongan pendakwah Islam dan golongan liberal. Keruncingan polemik ini bertambah dengan tindakan YB Dr Hassan Ali untuk memberi kuasa kepada pegawai-pegawai masjid di Negeri Selangor bagi menguatkuasakan enakmen-enakmen yang berkaitan dengan bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor. Seperti biasa, NGOs yang cenderung kepada idealisme liberal seperti Sister in Islam (SIS) dan Majlis Peguam Malaysia (Bar Council) akan bersuara.

Tidak dapat dinafikan bahawa golongan ini kadang-kadang bertindak disebabkan kejahilan mereka terhadap hukum-hukum Islam, malah berkemungkinan juga mempunyai agenda lain yang tersirat. Bagaimanapun, terdapat juga pandangan-pandangan mereka yang perlu dihargai oleh kita sebagai golongan pendakwah yang berjiwa besar. Karya peninggalan Sheikh Hasan al-Hudaibi, ‘Du`at La Quda’’ sewajarnya diterokai semula sebagai memberi panduan kepada PAS khususnya dalam berhadapan dengan isu-isu seumpama ini, betapa pula PAS telah diberi peranan penting di beberapa buah negeri.

Sebagai reaksi kepada hukuman sebat yang dikenakan kepada Kartika Sari, SIS telah mengeluarkan kenyataan seperti berikut:

“"SIS percaya bahwa Islam adalah agama yang penuh kasih sayang yang memanggil manusia ke jalan Tuhan dengan cara bijaksana seperti disampaikan dalam Surah al-Nahl ayat 16. Kartika telah menyatakan penyesalan seharusnya pihak berkuasa Malaysia berusaha menunjukkan bahwa Tuhan itu maha pengasih dan penyayang khususnya memasuki bulan puasa Ramadan."

Secara umum reaksi seperti ini sememangnya mengguris hati para pendukung dakwah apalagi melihat reaksi-reaksi sebelum daripada ini. Namun demikian, bila kita merenung semula tinta Sheikh Hasan al-Hudaibi dan kedudukan PAS sebagai ‘Government in Waiting’, maka kita juga boleh mengambil reaksi SIS ini sebagai panduan penting bila kita diberi amanah memerintah.

Di dalam ‘Du’at La Quda’’, Sheikh Hasan al-Hudaibi telah menyarankan supaya pendakwah Islam menggunakan kaedah-kaedah Shari`ah yang tepat dan pertimbangan Islam yang mendalam dalam menghadapi manusia (sasaran dakwah). Beliau menegaskan bahawa peranan utama kita ialah mengajak manusia supaya beriman kepada Allah swt dan berpegang dengan manhaj Islam, justeru kita perlu menghadapi golongan yang pelbagai pemikiran ini dengan penjelasan yang sahih dan menghindarkan kekeliruan. Ringkasnya, pendakwah Islam sepatutnya mendahulukan dakwah sebelum menghukum.

Dalam kes Kartika Sari ini, sememangnya hukuman yang telah dijatuhkan tidak boleh ditarik balik sebagaimana yang dituntut oleh SIS. Lebih daripada itu, Kartika Sari sendiri telah merelakan dirinya dihukum dengan tujuan ia menjadi pengajaran pula kepada orang lain. Tindakan Kartika Sari ini seharusnya dihargai sebagai satu usaha dakwah beliau. Para Fuqaha’ telah menulis tajuk yang khusus tentang topic ‘Adakah Bertaubat Menggugurkan Hukuman Hudud’. Menurut Dr Wahbah al-Zuhayli dalam kitab al-Fiqh al-Islami:

Telah sepakat ulama bahawa apabila kesalahan hudud telah diangkat kepada Pemerintah atau Hakim, kemudian bertaubat pelakunya, maka hukum hudud tidak gugur malah wajib ditegakkan hukuman itu.

Malah Imam Malik meriwayatkan di dalam al-Muwatta’:

اذا بلغت الحدود السلطان فلعن الله الشافع والمشفع

Maksudnya: Apabila kesalahan hudud telah diangkat kepada Sultan, maka Allah swt melaknat sesiapa yang hendak melepaskan pesalah dan yang meminta supaya dilepaskan.

Oleh yang demikian, sekiranya seseorang pesalah telah bertaubat sebelum perkara itu diangkat kepada mahkamah, maka hukuman hudud itu boleh gugur kecuali jika ia berkaitan dengan hak manusia (hukum Qisas). Sebagai contoh dalam kes Hirabah (rompakan), para ulama bersepakat sekiranya perompak itu mendatangi hakim dengan sukarela dan pilihan sendiri untuk bertaubat dari kesalahannya maka gugurlah darinya hukuman dengan bersandarkan ayat ke 34 Surah al-Maidah:

إِلا الَّذِينَ تَابُوا مِنْ قَبْلِ أَنْ تَقْدِرُوا عَلَيْهِمْ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: Kecuali mereka yang bertaubat sebelum ditentukan (hukuman) ke atas mereka, ketahuilah sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang.

Meskipun ayat ini menyentuh tentang kesalahan Hirabah, ia juga menjadi hujah kepada kesalahan-kesalahan hudud yang lain.

Menyedari hakikat tersebut, tidaklah menjadi kesalahan malah dituntut, sekiranya seseorang Muhtasib (penguatkuasa) berdakwah terlebih dahulu kepada pesalah (khususnya yang melakukan kesalahan pertama) dengan memintanya bertaubat tidak mengulangi perbuatan tersebut. Tidak juga menjadi kesalahan kepada Muhtasib untuk tidak mengangkat kesalahan tersebut kepada mahkamah setelah pesalah yang melakukan kesalahan hudud itu bertaubat, kerana apabila kesalahan itu diangkat kepada mahkamah maka hukuman hudud tidak boleh lagi ditarik balik.

Dalam isu seumpama ini Rasulullah saw telah memberikan satu teladan yang sangat baik iaitu dalam kes ikrar seseorang penzina. Dalam sebuah hadis yang riwayat dari Abu Hurairah ra oleh al-Bukhari dalam membicarakan persoalan Hudud:

"Seorang lelaki datang mengadap Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Lelaki itu berkata: "Wahai Rasulullah! Saya telah melakukan zina." Rasulullah s.a.w. berpaling ke arah lain (yakni seperti tidak melayannya), lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Setelah lelaki itu membuat pengakuan sebanyak empat kali, akhirnya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Adakah engkau gila?" Dia menjawab: "Tidak." Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah engkau telah berkahwin?" Dia menjawab: "Ya." Lalu Rasulullah s.a.w. memerintahkan (para sahabatnya): "Bawalah lelaki ini pergi dan rejamlah dia."

Mengikut riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Adakah engkau bercumbu-cumbu sahaja." Dia menjawab: "Tidak. Sebenarnya saya telah berzina."

Dan mengikut riwayat yang lain: "Setelah selesai sembahyang, dia (lelaki itu) datang lagi, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidakkah awak telah berwuduk dan telah bersembahyang? Dengannya Allah mengampunkan dosa." Tetapi lelaki itu terus mengaku berzina dan mahu supaya disucikan dirinya dengan hukuman.

Demikian juga sebuah hadis yang diriwayatkan dari Sulaiman bin Buraidah, daripada bapanya seperti diriwayatkan oleh Muslim dalam persoalan Hudud:

"Kemudian seorang perempuan dari qabilah al-Ghamidiyah datang mengadap Rasulullah s.a.w. Wanita itu berkata: "Wahai Rasulullah! Sucikanlah diri saya." Sabda Rasulullah s.a.w. : "Baliklah, beristighfarlah engkau dan bertaubatlah." Wanita itu berkata lagi: "Adakah engkau mahu melakukan kepada saya seperti yang engkau lakukan kepada Ma'iz bin Malik?" Rasulullah s.a.w. bertanya: "Apakah masalah engkau?" Wanita itu memberitahu bahawa dia sedang mengandung hasil perbuatan zina. Rasulullah s.a.w. bertanya: "Apakah benar?" Wanita itu menjawab: "Ya." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bersalinlah dahulu." Wanita itu dijaga oleh seorang lelaki dari kalangan Ansar sehingga bersalin. Kemudian lelaki itu datang menemui Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawa wanita itu telah bersalin. Baginda bersabda: "Kita tidak akan merejamnya dan membiarkan anaknya tidak dapat menyusu." Lalu bangun seorang lelaki dari kalangan Ansar dan berkata: "Biar saya uruskan urusan penyusuannya, wahai Nabi Allah." Lalu Rasulullah s.a.w. merejam wanita itu."

Dari satu perspektif, kesemua kes pengakuan pengakuan ini telah cuba tidak diangkat oleh Rasulullah saw untuk dihukum, sebaliknya baginda menyuruh mereka bertaubat. Sehinggalah pesalah itu sendiri meminta supaya dirinya dihukum setelah membuat beberapa kali pengakuan, maka hukuman itu dijatuhkan. Di dalam Subul al-Salam, al-San`ani menyatakan terdapat riwayat yang menyatakan: “Ditinggalkan dia, moga-moga dia bertaubat dan Allah swt mengampunkan dosanya”. Menurut al-San`ani lagi, riwayat ini menjadi sandaran, sekiranya pesalah menarik balik pengakuannya (kerana mahu bertaubat) maka penarikannya diterima.

Berdasarkan kepada argumen-argumen di atas, para Muhtasib atau penguatkuasa sewajarnya mencontohi teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dengan meminta pesalah bertaubat. Sewajarnya mereka perlu melakukan dakwah terlebih dahulu sebelum mengangkat perkara itu kepada mahkamah. Semoga dengan dakwah tersebut, pesalah akan bertaubat dengan bersungguh-sungguh, dan diampunkan dosanya oleh Allah swt. Pada pandangan saya, reaksi SIS dari perspektif positifnya boleh dilihat dari sudut itu, meskipun dari perspektif negatifnya mungkin lebih besar.

Demikianlah juga, kenyataan Dr Hasan Ali tentang perlantikan pegawai masjid sebagai penguatkuasa, sepatutnya menekankan aspek dakwah daripada aspek menghukum. Pada pandangan saya, lebih baik jika diumumkan bahawa pegawai masjid diberi tauliah untuk berdakwah kepada pesalah jenayah Shari`ah termasuk peminum arak dan mengambil tindakan-tindakan penguatkuasaan sekiranya tindakan itu perlu. Sebenarnya tiadalah perbezaan yang ketara dari segi ‘subtance’ nya tetapi ada perbezaan dari segi penampilannya. Hikmah seperti inilah yang cuba diketengahkan oleh Sheikh Hasan al-Hudaibi. Wallahu`alam.

Saturday, August 22, 2009

Memahami Falsafah Kenegaraan Menerusi Ibadat Puasa

1. Pendahuluan

Puasa merupakan salah satu daripada rukun Islam, iaitu bermaksud menjadi dasar-dasar utama bagi Islam. Bagaimana, tidak seperti rukun-rukun Islam yang lain yang selalu dikaitkan dengan cara hidup perseorangan hingga cara hidup bernegara, puasa selalu dilihat dari perspektif cara hidup perseorangan. Kalaupun ada usaha mengaitkannya dengan cara hidup bernegara, ia dilihat dari sudut merasai kelaparan sebagaimana golongan fakir miskin. Dengan tidak menafikan perkara itu sebahagian daripada cara hidup bermasyarakat, tetapi ia tidak menggambarkan keseluruhannya dasar-dasar Islam dalam kehidupan bernegara.

Sepertimana yang sedia dimaklumi, puasa diwajibkan oleh Allah swt melalui ayat ke 183, Surah al-Baqarah yang berbunyi:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ


Wahai orang yang beriman difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana difardukan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu, moga-moga dengan berpuasa kamu bertakwa.

Kewajipan puasa ini diturunkan pada tahun kedua selepas hijrah, iaitu selepas terbentuknya pemerintahan Islam di Madinah. Tidak seperti solat yang diwajibkan sebelum hijrah, kewajipan-kewajipan yang lain termasuk puasa diwajibkan selepas terbentuknya pemerintahan Islam. Dengan pengertian lain, kewajipan puasa ini mempunyai hubungan yang rapat dengan pembinaan pemerintahan Islam, bukan sekadar amalan perseorangan. Malah begitu menarik sekali, apabila ayat berhubung kewajipan puasa ini berserangkai dengan ayat-ayat yang lain berkaitan dengan pemerintahan seperti Qisas dan Wasiat.


2. Taqwa Sebagai Asas Pembinaan Negara

Tujuan utama daripada kewajipan berpuasa ialah membentuk individu yang bertaqwa. Secara umumnya, taqwa bermaksud takut dan kasih kepada Allah dengan sentiasa peka kepada perintah-perintahnya dan sentiasa berawas daripada larangan-larangannya. Sifat taqwa ini menjadi prinsip penting bagi kehidupan perseorangan sebagai tahap yang tertinggi di sisi Allah swt, sebagaimana Firmannya dalam ayat ke 13 Surah al-Hujurat:


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ


Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang wanita, dan menjadikan kamu bersuku-suku dan berbangsa-bangsa supaya kamu saling mengenali antara satu sama lain, sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa di kalangan kamu, sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mendalam pengetahuannya.

Sifat taqwa ini jelas menjadi asas terpenting dalam pembentukan seseorang warganegara di bawah pemerintahan Islam.

Prinsip ketaqwaan ini tidak sekadar dipupuk di peringkat kehidupan perseorangan tetapi juga kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan yang terlebih penting dalam perbincangan kita hari ini ialah kehidupan bernegara. Kewajipan berpuasa ini bertujuan untuk melahirkan individu-individu yang bertaqwa sebagai elemen terpenting bagi seseorang warganegara yang kemudiannya akan membentuk sebuah negara yang ditegakkan atas prinsip-prinsip ketaqwaan yang sama. Berhubung dengan perkara ini, Allah berfirman dalam ayat 96 Surah al-A`raf:


وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آَمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ


Dan sekiranya penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya akan dibuka keberkatan daripada langit dan bumi, akan tetapi mereka berdusta lalu kami timpakan ke atas mereka dengan apa yang mereka kerjakan.

Kebanyakan negara-negara di dunia dibina di atas prinsip-prinsip bernegara mereka masing-masing. Sebahagian negara dibina atas prinsip kebebasan untuk mengecapi keuntungan dan keseronokan, dan prinsip ini berakar-umbi sehingga ke peringkat kehidupan individu. Pemerintahan yang terbaik bagi mereka ialah pemerintahan yang memberikan kebebasan mutlak (Leisses Faire) kepada individu untuk mengaut keuntungan dan keseronokan ini. Prinsip inilah yang menjadi dasar kepada sesebuah negara Liberalism dan Capitalism.

Sebahagian negara pula berpegang kepada prinsip kesamarataan dan perkongsian hidup secara mutlak, iaitu setiap warganegara tiada kebebasan untuk memiliki harta persendirian dan tiada juga kebebasan untuk menjalani cara hidup perseorangannya. Prinsip ini ditanam kepada seluruh rakyat atas label keadilan, dan rakyat pada peringkat awalnya mendukung prinsip ini dengan melakukan perubahan-perubahan besar atas nama revolusi. Pemerintahan dalam konteks ini seharusnya bersifat kuasa berpusat (autokrasi), yang kemudiannya membawa kepada kuku besi (despotism).

Terdapat pula sebahagian negara yang tidak condong kepada mana-mana prinsip, sebaliknya mengambil mana-mana prinsip yang dilihat boleh mendatangkan keuntungan dan keseronokan. Negara ini berpegang kepada prinsip Pragmatism, iaitu kelenturan prinsip dengan meletakkan tujuan terpenting ialah yang boleh mendatangkan keuntungan dan keseronokan. Prinsip Pragmatism ini kemudiannya berakar umbi dalam masyarakat menjadikan mereka juga seorang pragmatis dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

Demikianlah juga bagi pemerintahan Islam yang ditunjuki oleh Rasulullah saw, negara yang dibina oleh Rasulullah saw adalah dibina atas prinsip Taqwa, iaitu negara yang sentiasa peka kepada perintah-perintah Allah swt dan berawas terhadap larangan-larangannya. Negara ini bermatlamat untuk mendapat keredaan dan keampunan Allah swt. Bagi memperkukuhkan prinsip ini, maka Allah mewajibkan kepada umat Islam berpuasa demi menjadikan mereka secara individu bertaqwa dan sekaligus memperkukuhkan prinsip kenegaraan itu dalam diri setiap warganegara di bawah pemerintahan Islam.


3. Negara yang Melakukan Kawalan terhadap Hawa Nafsu

Salah satu kepentingan puasa ialah untuk mengawal hawa nafsu. Sebagai agama fitrah, Islam tidak bertujuan untuk mematikan hawa nafsu atau menutupnya sama sekali. Dalam konteks hawa nafsu ini, Islam memberi tempat yang sesuai kepada hawa nafsu, tetapi menyuruh manusia mengawalnya. Dengan hawa nafsu inilah manusia membangunkan peradaban yang tidak dapat dilakukan oleh makhluk yang tidak bernafsu seperti malaikat. Berdasarkan hakikat tersebut, Ibn Khaldun menyebut 'manusia itu bertamadun secara tabiinya'.

Bagaimanapun, hawa nafsu ini tidak seharusnya bermaharajalela menentukan arah peradaban yang dibina oleh manusia. Sekiranya hawa nafsu ini bermaharajalela menjadi halatuju negara atau sesuatu peradaban, maka apa yang dibimbangi oleh malaikat dalam ayat ke 30, surah al-Baqarah akan berlaku, iaitu bila mereka bertanya kepada Allah:


… أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ…


Apakah kamu hendak menjadikan mereka di atas mukabumi ini, mereka yang melakukan kerosakan dan menumpahkan darah?

Sesebuah negara dan peradaban yang menjadikan hawa nafsu bermaharalela ini, akan menuju kerosakan dan berlaku pertumpahan darah sepertimana yang dibuktikan oleh sejarah peradaban manusia.

Demi menyedari hakikat tersebut, tujuan Islam adalah untuk mewujudkan keseimbangan iaitu mengawal hawa nafsu dengan memberikannya tempat yang sesuai dan menyekatnya daripada tempat yang tidak sesuai. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Umm al-Mu’minin Safiah ra, Rasulullah saw bersabda:


ان الشيطان ليجري من ابن ادم مجرى الدم فضيقوا مجاريه بالجوع


Bahawa Syaitan berjalan dari anak adam pada tempat jalan darahnya, maka sempitkanlah tempat jalannya dengan lapar.

Hadith ini memerintahkan supaya disempitkan perjalanan syaitan itu, iaitu tidak mengizinkan syaitan itu berjalan (dirantai) tetapi diberi ruang kepada hawa nafsu untuk tujuan yang sesuai. Dan menurut Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat tentang kewajipan puasa beliau menyebut:


لأن الصوم فيه تزكية للبدن وتضييق لمسالك الشيطان


Mengawal hawa nafsu ini menjadi ciri terpenting kepada pembinaan budaya dan cara hidup dalam bernegara dan menjadi dasar dalam membina peradaban Islam. Perkara mengawal hawa nafsu ini bukan sekadar diperbincangkan di peringkat cara hidup perseorangan tetapi sehingga ke peringkat cara hidup bernegara. Perkara ini disebut oleh, al-Ghazali dalam menafsirkan ayat ke 11, surah al-Ra`ad:


… إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ…


… Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka merubah apa yang ada pada diri mereka…

Menurut al-Ghazali, perubahan yang dikehendaki pada diri itu ialah mengawal hawa nafsu, justeru selama mana hawa nafsu itu tidak di kawal maka perubahan tidak akan berlaku bagi sesuatu bangsa dan kaum itu.

Sesungguhnya umat Islam menjadi kuat dengan pembina peradaban yang besar, apabila mereka mengawal hawa nafsu mereka, antaranya melalui puasa. Dengan mengawal hawa nafsu inilah umat Islam menjadi umat yang kuat, dan Allah telah membuktikan kekuatan ini dengan memberikan kemenangan kepada umat Islam dalam peperangan Badar, ketika pertama kali puasa itu diwajibkan. Menyedari hakikat tersebut, berpuasa ini memberi kekuatan kepada umat Islam untuk membina peradaban mereka dan menghadapi musuh-musuh mereka.


4. Penutup

Hari ini, masyarakat Islam menghadapi kuasa-kuasa besar dunia khususnya Amerika Syarikat yang berpaksikan kepada hawa nafsu mereka. Negara Amerika Syarikat kelihatan sukar dikalahkan, malah disebut baru sahaja berada di peringkat awal kekuasaan mereka. Mereka menguasai kekuatan tentera dan menerajui ekonomi dunia. Untuk meruntuhkan kekuatan mereka kita perlu meruntuhkan salah satu daripada keduanya, dan pastilah yang lebih mudahnya ekonomi ekonomi mereka. Ketahuilah dengan berpuasa, iaitu melahirkan umat Islam yang bertaqwa dan mengawal hawa nafsu, maka kuasa besar seperti Amerika Syarikat dapat dikalahkan.