Pusara Di Sebuah Ladang
Menguruskan jenazah bermula daripada memandikannya sehingga kepada mengkebumikannya sudah menjadi satu perkara yang biasa semasa di Tanah air. Tetapi perkara itu menjadi agak asing di bumi Lampeter, Wales ini, disebabkan masyarakat Islam tidak begitu ramai sehingga tidak memenuhi korum untuk solat Jumaat sebagaimana pandangan mazhab Syafie. Sepanjang saya berada di sini tidak pernah saya menghadiri solat jenazah sehinggalah pada Jumaat (3 May 2007) tiga minggu yang lalu. Pada hari tersebut saya menyertai komuniti European Institute of Human Sciences (EIHS) untuk menyembahyangkan dan mengkebumikan jenazah seorang remaja 13 tahun, bernama Edward James.
Jenazah Edward ini bukan sekadar istemewa disebabkan ia adalah merupakan pengalaman pertama saya di bumi Wales ini, kerana urusan pengendalian jenazah tersebut agak lebih kurang seperti yang berlaku di mana-mana pelusuk dunia Islam yang lain. Demikian juga istimewanya pengalaman tersebut bukanlah disebabkan Edward dikategorikan sebagai orang kurang upaya yang juga disebut oleh sebahagian kita sebagai golongan istimewa. Tetapi pengalaman tersebut begitu istimewa disebabkan ada hikayat benar yang berlaku di sebalik manusia yang bernama Edward ini.
Keluarga Edward ini sememangnya tidak begitu dikenali oleh warga Islam di Lampeter ataupun sekitarnya seperti Llanybydder bukan disebabkan mereka mendiami kawasan yang agak terpencil di sebuah ladang yang berada di ceruk, tetapi mereka tidak pernah menzahirkan dan hadir bersama dalam program-program yang melibatkan warga Islam di sini. Sehinggalah pada hari kematian Edward, ibunya datang ke EIHS berjumpa dengan salah seorang daripada tenaga pengajar di sini yang lebih dikenali dengan Abu Mus'ab. Ibunya meminta supaya Abu Mus'ab menguruskannya dengan tatacara pengurusan jenazah Islam. Bermula dari sini diketahui rupanya ada warga Islam lagi yang berada di ceruk Wales.
Menurut Ibunya, mereka tidak mengetahui cara hidup Islam apalagi untuk mengamalkannya. Cuma Ibunya berbangga mengisytiharkan mereka Islam hanya disebabkan oleh surat wasiat bapanya. Menurutnya lagi, bapanya telah menyertai tentera British dalam misi ke Palestine pada tahun 1948 iaitu ketika berlaku pembentukan negara haram Israel. Sekembalinya beliau dari Palestine beliau telah mengistiharkan bahawa beliau memeluk Islam. Sewaktu beliau hampir mati, beliau telah meninggalkan surat wasiat kepada anak perempuannya (Ibu Edward) supaya berpegang teguh dengan Islam dan memastikan zuriat keturunan mereka terus berpegang dengan agama tersebut.
Ibu Edward berpegang dengan wasiat bapanya, cuma mungkin komuniti Islam yang tidak begitu ramai di sini menyebabkan beliau tiada sumber untuk memahami lebih lanjut tentang Islam. Bila beliau bertemu dengan kawan-kawan dan jiran-jirannya, beliau memberitahu tentang keislamannya. Sehinggalah pada hari kematian Edward beliau berusaha untuk mencari komuniti Islam bagi menyempurnakan jenazah anaknya menurut Islam. Bagi beliau anak-anaknya adalah muslim, walaupun suaminya adalah seorang kristian dan suaminya tidak membantah tentang keislaman mereka. Perkara ini digambarkan daripada persetujuannya untuk mengkebumikannya menurut cara Islam dan tidak ditanam di perkuburan Kristian tetapi di ladang di keliling rumah mereka.
Selepas menyembahyangkan jenazahnya, saya bersama dengan komuniti EIHS yang lain mengiringinya ke pusara dan menimbus jenazahnya. Setelah selesai Ibunya bertanya kepada Abu Mus'ab berapa kos upah untuk mereka yang telah menguruskan jenazah tersebut. Abu Mus'ab menyebut bahawa tiada kos upah kerana menguruskan jenezah tersebut adalah fardu kepada orang yang hidup dan berdosa jika mengabaikannya. Kami sempat berdoa di sisi pusara Edward dengan harapan ALlah swt akan menempatkannya bersama dengan golongan yang soleh. Kebetulan hari tersebut adalah hari Jumaat maka kami tidak dapat lama di ladang tersebut kerana sudah masuk waktu Solat Zuhur.
Sememangnya kejadian ini begitu menyentuh nurani saya, kerana ketika masyarakat bukan Islam di Malaysia khususnya begitu fobia dengan Islam sehingga banyak kes-kes mahkamah yang melibatkan penentangan terhadap kewibawaan Islam, ada seorang wanita dan anak-anaknya yang begitu berbangga dengan Islam. Beliau tidak pernah mengetahui Islam yang sebenar, mungkin hanya melalui media-media Barat yang umumnya turut fobia dengan Islam. Beliau juga mungkin tidak beramal dengan kehidupan Islam kerana tiada saluran untuk mendapatkan pendidikan seumpama itu. Tetapi beliau tetap berbangga dengan Islam dan berpegang dengan wasiat bapanya sehingga hari ini.
Saya meninggalkan ladang tersebut dengan penuh ketakjuban terhadap firman Allah swt dalam surah al-Saff "Dan ALlah akan menyempurnakan cahayanya (Islam) walaupun dibenci oleh orang-orang kafir". Dan apabila ALlah mengkehendaki memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikendaki, maka tiada siapa yang boleh menyesatkannya. Siapa sangka ada manusia seperti Edward yang Muslim hanya kerana Ibunya berpegang dengan wasiat bapanya supaya berpegang dengan Islam. Semoga ALlah mencucuri rahmat kepada Edward James dan membimbing Ibunya ke arah jalanNya yang diredhai, al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment