Pandangan Islam Terhadap Liberalisasi Perdagangan (Siri 6)
Amalan Ekonomi Religion-Neutral?
Perkembangan Peradaban Barat bukan sahaja memperlihatkan kebangkitan kepercayaan-kepercayaan menolak ketuhanan, tetapi dasar dan amalan yang bebas nilai (value-free). Bermula daripada bidang ilmu sehinggalah kepada bidang yang paling remeh seumpama hiburan dan sukan, dasar dan amalannya bersifat bebas nilai atau juga disebut neutral. Saya begitu berpegang bahawa dasar dan amalan adalah tidak bebas nilai atau tidak neutral. Dalam konteks falsafah ilmu atau epistemologi, ramai di kalangan tokoh-tokoh Islam seperti Ismail al-Faruqi dan Sayyid Hossien Nasr berpegang bahawa ia tidak bebas nilai atau tidak neutral, justeru mereka memperkenalkan program Islamisasi Ilmu. Ziauddin Sardar yang selalu dilihat tidak sealiran dengan Sayyid Hossein Nasr, dalam banyak buku-bukunya menggariskan prinsip-prinsip dasar Islam seperti Tauhid, Ibadah, Amanah dan lain-lain sebagai usaha keluar daripada dasar dan amalan bersifat bebas nilai.
Sekiranya kita menyeru supaya berpegang kepada dasar dan amalan religion-neutral atau istilah yang selalu digunakan value-free, maka apa perlu lagi wujudnya agama di dunia ini. Tidak perlu lagi kita berbicara tentang Sains Islam kerana pada hakikatnya Sains itu neutral. Tidak perlu kita memperkenalkan kebudayaan Islam seperti yang dikemukakan oleh Ismail al-Faruqi kerana kebudayaan itu sifatnya bebas nilai. Hanya membuang masa para ulama bercakap tentang ekonomi Islam, kerana amalan ekonomi sebenarnya neutral dan tidak berkaitan dengan nilai-nilai beragama, berbudaya dan bersusila. Sebenarnya, pegangan seperti ini antara hasil terpenting peradaban Barat iaitu merungkaikan seluruh pegangan dan amalan dalam kehidupan daripada nilai-nilai yang berkaitan dengan sesuatu agama, budaya dan adat, supaya pegangan dan amalan itu bersifat neutral.
Pengakuan WSWJ bahawa “capitalism is an economic system, not a religion. It is religion-neutral” ketika mengulas artikel Sabri Haron sebenarnya sudah memadai untuk pendukung gerakan Islam menolak pegangan dan amalan Kapitalisme dan Liberalisme. Dalam kelima-lima siri artikel yang lalu, saya telah menumpukan usaha untuk menilai dasar Kapitalime dan Liberalisme dari perspektif Islam dan tidak menyentuh tentang amalan ekonominya. Pendekatan seperti ini disebabkan Islam menilai dasar terlebih dahulu sebagai neraca timbangan sebelum menilai amalannya. Oleh sebab itu, sebelum melihat amalan Liberalisasi Perdagangan dari perspektif Islam, maka kita perlu terlebih dahulu menilai dasar kepada amalan itu iaitu Kapitalisme dan Liberalisme. Sehingga kini saya masih meneruskan kupasan saya terhadap dasar Kapitalisme dan Liberalisme, dan tidak berhasrat lagi untuk menyentuh tentang amalan Liberalisasi Perdagangan.
Namun perakuan di atas telah memudahkan usaha saya kerana diperakui sendiri bahawa sememangnya kapitalisme dan liberalisme adalah religion-neutral atau value-free. Perakuan tersebut juga selari dengan aliran perdana yang selalu diambil oleh ilmuan Barat, tidak seperti pandangan terpencil Max Weber dalam ‘The Protestant Ethics and the Spirit of Capitalism’. Sedangkan menurut Islam sama ada Kapitalisme dan Liberalisme itu religion-neutral atau berasaskan semangat Kristian Protestant, kedua-duanya tiada kena mengena dengan Islam dan ditolak. Konsep religion-neutral atau value-free sekiranya dilihat dalam konteks epistemologinya adalah bersumberkan positivisme yang telah melabelkan agama termasuk Islam sebagai peringkat manusia bertahayul sebagaimana yang disebut oleh August Comte dalam ‘Philosophy of Positivism’. Malah ramai juga yang melihat bahawa religion-neutral dan value-free ini sebagai bersumberkan Atheisme yang mulai muncul semasa Zaman Pencerahan Eropah. Sekiranya Kapitalisme dan Liberalisme bersumberkan semangat Kristian Protestant, maka ia juga ditolak oleh Islam.
Perakuan seumpama ini juga sebenarnya memperakui apa yang disebut oleh Sabri Haron dalam artikelnya bahawa antara ciri-ciri Kapitalisme ialah menolak nilai-nilai Akidah, Syariah dan Akhlak yang mulia. Saya tidak tahu Sabri Haron menyedari bahawa artikelnya di kritik atau tidak dan saya tidak pasti Sabri Haron yang mana. Kalau Sabri Haron yang dimaksudkan ialah Dr Sabri Haron daripada UKM, maka saya kenal agak rapat dengannya. Beliau adalah lepasan PhD daripada University of Jordan yang tesis PhDnya ‘Ahkam al-Aswaq Al-Maliah’ telah diterbitkan di Jordan dan memenuhi perpustakaan universiti-universiti di Timur Tengah. Bagi saya beliau layak bercakap tentang prinsip-prinsip ekonomi Islam. Dalam artikel tersebut juga telah menghuraikan tentang prinsip-prinsip yang jelas tentang dasar-dasar perekonomian Islam yang sama sekali tidak terdapat dalam Kapitalisme dan Liberalisme.
Beliau telah menilai Kapitalisme dan Liberalisme dari segi dasarnya bukan dari segi amalannya. Penilaian dari segi dasar Kapitalisme dan Liberalisme sememang menolak nilai-nilai Akidah, Syariah dan Akhlak. Apakah sumber dasar Kapitalisme dan Liberalisme.? Sekiranya Kapitalisme dan Liberalisme religion-neutral, maka jelas ia tiada langsung berkaitan dengan Akidah. Apakah hukum tertinggi Kapitalisme dan Liberalisme? Sekiranya Kapitalisme dan Liberalisme religion-neutral atau value free, maka jelas ia tiada merujuk kepada Syariah. Dan apakah sistem nilai yang dipakai oleh Kapitalisme dan Liberalisme? Sekiranya Kapitalisme dan Liberalisme value-free, maka jelas ia mengenepikan dan meminggirkan Akhlak. Maka bukankah perakuan bahawa Kapitalisme dan Liberalisme itu religion-neutral telah mengiyakan apa yang didakwa oleh Sabri Haron.
Wacana dalam perekonomian Islam yang menilai Kapitalisme dan Liberalisme sememang akan membahaskan persoalan dasar terlebih dahulu bukannya mendahulukan penilaian terhadap amalannya. Amalan dalam Kapitalisme dan Liberalisme sebagaimana juga amalan dalam Sosialisme dan Komunisme sememangnya ada yang bertemu dengan Islam. Haqq al-Tamalluk (The Right of Ownerships) atau hak untuk pemilikan harta sememang wujud dalam Islam dan turut terdapat dalam Kapitalisme dan Liberalisme. Tetapi cukupkah sekadar menyebut titik-titik pertemuan tersebut maka Kapitalisme dan Liberalisme itu adalah menepati Dasar Ekonomi Islam. Saya telah menyebut sebelum ini pendekatan tersebut sekadar ‘mengkhatankan’ bukannya satu usaha Islamisasi seperti yang selalu disebut oleh Ismail al-Faruqi dan berdasarkan pembacaan saya Ziauddin Sardar turut menyokong beliau dalam perkara ini.
Perbahasan tentang persoalan dasar bagi saya telah menemui noktahnya dengan perakuan bahawa Kapitalisme dan Liberalisme adalah satu sistem ekonomi religion-neutral atau istilah lain yang selalu digunakan ialah value-free. Secara umum prinsip-prinsip perekonomian Islam telah dikemukakan oleh Sabri Haron dan beliau telah cuba menjelaskan perbezaannya dengan prinsip-prinsip perekonomian yang lain. Jelaslah amalan Liberalisasi Perdagangan adalah berpijak di atas dasar yang tidak selari dengan Islam sebaliknya dasar yang religion-neutral, yang bagi saya sebagai mewarisi epistemologi positivisme kalaupun bukan daripada semangat Atheisme. Premis seperti ini akan menjadi asas perbincangan untuk kita melihat pula liberalisasi perdagangan sebagai amalan dalam Kapitalisme dan Liberalisme, serta bagaimanakah seharusnya sikap negara-negara Muslim termasuk Malaysia terhadapnya
1 comment:
Persoalan value-free atau religion-neutral ini telah diperbahaskan secara mendalam olah para ilmuan dari Barat dan Timur. Maka tidak semudah itu untuk menyatakan Kapitalisme adalah seumpama means sebagaimana juga kereta, internet dan cawan. Saya tidak mahu logik pelajar sekolah yang dikemukakan itu dalam artikel-artikel saya, tetapi memadai jika saya menyatakan adakah memadai dengan logik peringkat itu untuk menolak tesis Max Weber dalam 'Protestant Ethics'nya. Saya pernah ditegur oleh guru saya Prof Osman Bakar kerana mengkritik tesis Lynn White Jr. hanya dengan 10 mukasurat, sedangkan sepatutnya satu tesis dibuat untuk menolaknya. Kapitalisme bukan seperti kereta, internet dan cawan. Kereta itu sendiri sarat nilai dan tidak neutral. Perlu dibezakan kereta dan cara menggunakan kereta atau technology and the way we use the technology. Apalagi kapitalisme yang telah membahagikan dunia kepada dua blok dan mencetuskan konflik kemanusiaan, bagaimana bisa ia diumpamakan seumpama mangkuk dan cawan.
Post a Comment