Masyarakat Madani VS Civil Society
Sebagaimana biasa dalam lapangan ilmiah, sukar untuk memberi satu makna yang tuntas terhadap sesuatu konsep supaya dapat disepakati oleh semua pihak. Hakikat ini seharusnya diterima kerana sesuatu konsep itu kadang-kadang cuba disejagatkan meskipun dilahir dalam satu budaya yang setempat malah dalam banyak keadaan melalui jaluran zaman yang begitu panjang. Demikianlah juga konsep masyarakat madani, sukar untuk diberi makna yang dapat diterima oleh semua pihak. Oleh sebab itu, pendekatan yang agak selamat ialah dengan melihat makna yang dikemukakan oleh tokoh terawal memperkatakan atau mungkin menggunakan istilah masyarakat madani tersebut.

Menurut Osman Bakar, tokoh ilmuan terawal mengemukakan konsep dengan menggunakan istilah masyarakat madani ialah al-Farabi (870-950). Beliau dikatakan pernah menulis sebuah buku bertajuk Kitab Fi al-Ijtima’at al-Madaniyyah (Discourse on the Civil Society). Manakala tokoh ilmuan lain yang turut mengemukakan konsep masyarakat madani ialah Ibn Miskawayh (936-1030) yang juga sangat dikenali dalam bidang akhlak. Kedua-dua tokoh ini mentakrifkan masyarakat madani sebagai masyarakat bertamadun atau masyarakat berperadaban. Dalam risalah Islam, pembinaan masyarakat berperadaban merupakan tanggungjawab sosial terpenting yang telah dilaksanakan sendiri oleh Rasulullah SAW semasa membuka negara Madinah.
Sesebuah masyarakat berperadaban merujuk kepada masyarakat yang mempunyai keluhuran budi yang tinggi dan murni disamping memperolehi pencapaian hidup yang selesa dan maju. Masyarakat berperadaban tidak semestinya merujuk kepada masyarakat yang mempunyai kemajuan material yang melimpah-ruah tetapi runtuh erti kehidupan yang sebenar. Kemuncak kepada sesebuah masyarakat madani ialah memperolehi kebahagiaan (al-sa’adah) atau ‘eudai-monia’ istilah yang digunakan oleh Plato (427-347 SM). Antara ciri-ciri masyarakat berperadaban ialah:
a. Masyarakat hidup dalam satu wilayah secara menetap bersama seperti dalam sebuah kota atau bandar dengan memperolehi segala keperluan asas yang berupaya meningkatkan kualiti kehidupan.
b. Kewujudan struktur politik dan sosial yang kukuh dan teratur dengan wujudnya satu kontrak sosial yang memenuhi kehendak umum (general will) sehingga menghasilkan sistem pendidikan, perekonomian dan lain-lain untuk masyarakat keseluruhan.
c. Penerapan kehidupan yang luhur dengan adanya sistem nilai atau moral serta perundangan yang saksama demi keadilan untuk seluruh rakyat. Berdasarkan kepada tamadun-tamadun silam sistem nilai dan perundangan ini dibina atas pegangan agama dan kepercayaan.
d. Penggunaan satu bahasa atau beberapa bahasa serumpun dengan sistem tulisan yang tersendiri bagi melebarkan interaksi sesama manusia dan menyatupadukan seluruh masyarakat.
e. Penyuburan budaya ilmu yang diterajui sendiri oleh golongan pemerintah sehingga melahirkan pencapaian yang tinggi dalam pelbagai lapangan termasuklah teknologi.
Satu persoalan yang selalu juga diperbahaskan, adakah konsep masyarakat madani boleh disamakan dengan konsep civil society seperti yang difahami oleh masyarakat moden. Konsep masyarakat madani boleh disamakan dengan konsep civil society sekiranya dilihat dari segi nilai-nilai sejagat yang dapat dikongsi bersama. Sekiranya dilihat dari segi sistem keseluruhan bagaimana pembinaan masyarakat madani dalam Islam berbanding pembinaan civil society dalam masyarakat Barat moden, maka akan dilihat jurang perbezaan yang begitu ketara. Bagaimanapun tiada satu konsep yang paling hampir kepada golongan bukan Islam untuk memahami konsep masyarakat madani melainkan konsep civil society.
No comments:
Post a Comment