Perginya Sekuntum Bunga Bangsa
Saya tidak pernah bertemu dengan Shamsiah Fakeh dan tidak pernah mendengar apa-apa ucapan daripadanya. Kisah sejarahnya hanya terpampang untuk dibaca oleh generasi anak merdeka apabila Dewan Masyarakat menyoroti kehidupan Shamsiah Fakeh di Tanah Besar China. Melalui wartawan Fatini Yaakob itu, barulah diketahui Shamsiah Fakeh ini masih hidup, malah hidup dalam buangan. Sejarah perjuangan beliau telah digelapkan dan label yang diletakkan kepadanya adalah 'pengganas' atau dalam bahasa Inggeris 'terrorist'. Ketika itu saya terfikir mengapa Shamsiah Fakeh, yang namanya sahaja telah menunjukkan pegangan Islamnya boleh memilih Parti Komunis Malaya (PKM) untuk melangsungkan perjuangan?
Malah persoalan seperti itu telah wujud di benak fikiran saya ketika di bangku sekolah rendah, apabila melihat bekas Pengerusi PKM, Musa Ahmad ditemuramah dengan begitu panjang oleh RTM secara psycho-war selepas menyerah diri. Sebelum itu digambarkan bahawa PKM ini adalah pengganas Cina, tetapi saya dikejutkan apabila Pengerusinya adalah Melayu. Musa Ahmad pula dikatakan turut mempunyai latar belakang pendidikan Islam. Bagi anak merdeka seperti saya, golongan ini dianggap sebagai musuh utama masyarakat. Tiada gambaran yang positif bagi golongan ini, malah mereka yang seperti Pak Sako dan Ahmad Boestamam turut terpalit dengan gambaran tersebut.
Rumah saya dan rumah kelahiran Ahmad Boestamam tidaklah jauh. Ketika saya di bangku sekolah rendah, saya berbasikal ke kawasan perkelahan Sungai Bil berhampiran rumah kelahiran Ahmad Boestamam. Demikian juga dengan keluarga Dr Burhanuddin al-Helmy, mereka duduk bercampur-gaul dengan keluarga sebelah emak saya di Slim River. Lebih dari itu, adik Dr Burhanuddin, Pak Baharin pernah menziarahi saya di tempat kerja untuk mempelawa saya menjadi calon DUN Negeri Slim River semasa Pilihanraya Umum 1995. Sebagaimana juga Shamsiah Fakeh, nama kedua-dua tokoh besar itu tidaklah harum hatta di kalangan masyarakat tempatan.
Hanya kini kisah perjuangan mereka baru tersingkap. Ketika Chin Peng melancarkan buku memoirnya 'My Side of History', saya segera menelaahnya. Kemudian diikuti beberapa buku oleh bekas tokoh-tokoh PKM ini, seperti Ibrahim Chik dan Shamsiah Fakeh. Buku-buku memoir ini telah memaparkan sisi sebenar sejarah perjuangan mereka dan bagaimana mereka boleh memilih PKM untuk menentang penjajah British. Turut dipaparkan penderitaan mereka mengharungi perjuangan, sehingga kadang-kala pembaca yang menghayati memoir ini boleh menitiskan air mata. Malang sekali sejarah perjuangan mereka telah digelapkan kerana 'history is written by the victor'.
Semalam seorang lagi tokoh perjuang kemerdekaan tanah air telah pergi meninggalkan kita. Beliau pergi bersama memori perjuangannya yang telah digelapkan. Kalaulah Shamsiah Fakeh menuruti jejak sahabatnya Aishah Ghani, beliau mungkin bergelar Tun atau Tan Sri hari ini. Namun beliau memilih jalan perjuangan yang penuh tribulasi dan menentang golongan anti-establishment, sehingga sejarah sebenar perjuangannya tidak ditulis. Nasib baik beliau sempat menulis memoirnya untuk menjadi tatapan generasi anak merdeka. Dengan memoir itu, maka generasi anak merdeka tetap bersedih dengan pemergiannya seumpama gugur sekuntum bunga bangsa. Al-Fatihah untuknya.
2 comments:
al- fatihah,
moga rohnya di cucuri rahmat.....
moga yang pergi ada pengganti...
Salam,
Boleh tolong kongsikan hasil tulisan Allahyarhamah Shamsiah Fakeh untuk bacaan saya?
Post a Comment