Wednesday, January 31, 2007

Pandangan Islam Terhadap Liberalisasi Perdagangan (Siri 1)

Pengenalan

Saya ada menerima satu e-mail di samping artikel yang dikirimkan oleh sahabat saya Wan Saiful Wan Jan (WSWJ) tentang ‘Penghapusan Sekatan Perdagangan: Satu Kewajipan’. Setelah membaca artikel-artikel tersebut maka saya melihat perlunya dikemukakan pandangan Islam terhadap isu yang berkaitan dengan sekatan perdagangan tersebut. Secara umumnya mereka yang menyokong liberalisasi perdagangan ini mewarisi ideologi liberalisme dan dalam konteks masa kini dikenali sebagai Neo-Liberalisme yang merujuk kepada usaha untuk membangkitkan semula Liberalisme Klasik. Manakala golongan yang menentang liberalisasi perdagangan ini dikenali sebagai golongan yang mewarisi ideologi sosialisme dan setelah berakhirnya perang dingin mereka lebih dikenali sebagai pendukung sosial-demokrasi.

Sebagai sebuah cara hidup yang berpandukan kepada risalah daripada kitab Allah yang terakhir (al-Quran), maka Islam sememangnya diturunkan untuk menghadapi fenomena manusia pada umat akhir zaman. Kitab suci al-Quran adalah merupakan wahyu Allah yang terakhir kepada para utusannya justeru ia sememangnya sesuai untuk menangani permasalahan manusia zaman kini. Menyedari hakikat tersebut, isu berhubung dengan liberalisasi atau sekatan perdagangan seharusnya dilihat dari perspektif Islam bukannya dilihat dari perspektif Liberalisme atau Sosialisme dan pewaris-pewarisnya dalam desawarsa mutakhir. Betapa pula selepas teori Francis Fukuyama ‘The End of History’ dan diikuti oleh teori Samuel Huntington ‘The Clash of Civilization’, Islam dilihat sebagai satu kutub yang penting mengimbangi ideologi Liberalisme.


Asal-usul Liberalisme

Pemikiran atau ideologi Liberalisme selalunya dirujuk kepada tokoh falsafah dan ekonomi Barat berbangsa Scotland iaitu Adam Smith yang begitu dikenali melalui karyanya The Wealth of Nations. Liberalisme dikenali sebagai satu ideologi politik dan falsafah yang menekankan kepada kebebasan individu, membataskan kuasa kerajaan dan dari segi ekonomi pula menyokong pasaran bebas dan persaingan bebas golongan pemodal (capitalist). Oleh sebab itu, Liberalisme dan Kapitalisme kadang-kadang dilihat sebagai ideologi yang sinonim disebabkan adanya perkaitan yang kuat dan saling sokong menyokong antara satu sama lain. Dari sudut sejarah, kemunculan Liberalisme ini ada hubungannya dengan keruntuhan Feudalisme di Eropah bermula semasa zaman pencerahan mereka (The Age of Enlightenment) diikuti dengan gerakan politik semasa era Revolusi Perancis.

Liberalisme yang dikaitkan dengan Adam Smith ini selalunya dikenali sebagai Leberalisme Klasik. Dalam konteks peranan kerajaan Liberalisme Klasik ini menekankan konsep Laissez-Faire yang bermaksud kerajaan yang bersifat lepas tangan. Konsep ini menekankan bahawa sesebuah kerajaan harus memberi kebebasan berfikir kepada rakyat, tidak menghalang pemilikan harta indidvidu atau kumpulan, kuasa kerajaan yang terbatas dan kebebasan rakyat. Manakala dari segi ekonomi pula menekankan pasaran dan persaingan bebas serta kebebasan individu dalam melaksanakan keperluan ekonomi mereka. Peranan ini sama sekali bertentangan dengan Feudalisme yang wujud sebelumnya yang mengawal hampir keseluruhan kegiatan rakyat sama ada berhubung dengan politik, ekonomi dan sosial.