Saturday, September 10, 2011

Kajian Menyimpulkan Mat Indera Bukan Komunis

Satu kajian yang dilakukan oleh Ayub @ Uiop Kassim pada tahun 1973 menyimpulkan Mat Indera bukan berfahaman komunis. Kajian tersebut adalah Latihan Ilmiah untuk memenuhi keperluan pengijazahan Sarjana Muda Sastera di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, bertajuk “Peristiwa Berdarah Tahun 1950 di Bukit Kepong, Muar: Satu Post-Mortem”. Tujuan kajian tersebut adalah untuk mengkaji keterlibatan golongan elite agama di Muar dalam perjuangan gerila bersenjata untuk menentang penjajah dengan tumpuan khusus terhadap Mat Indera dan peristiwa berdarah Bukit Kepong, Muar.

Meskipun kajian tersebut adalah dilakukan di peringkat ijazah pertama, pengkaji telah berjaya melakukan wawancara dengan mereka yang terlibat secara langsung dengan peristiwa tersebut termasuklah Haji Nawi Idrus Ketua Pengawal Kampung (Home Guard) dan rakan-rakan Mat Indera yang menyertainya masuk ke hutan. Kaedah wawancara ini adalah yang paling sesuai bagi mendapat maklumat sebenar disebabkan kebanyakan maklumat rasmi berkaitan dengan peristiwa Bukit Kepong ini disediakan oleh penjajah British melalui perisikan mereka. Setakat kajian PPP, mungkin inilah satu-satunya kajian ilmiah yang paling awal tentang Mat Indera.

Di dalam kajian tersebut, pengkaji telah menyimpulkan Mat Indera sebagai golongan elite agama sebagai:

“Islam pada agamanya, demokrasi pada prinsipnya, nasionalis pada fahamannya, radikal dalam perjuangannya dan militant mengikut tindakannya.”

Selain daripada itu, Ayub Kassim juga pada mukasurat 71 menyimpulkan bahawa Mat Indera adalah seorang nasionalis bukannya komunis, yang bergerila bersama komunis. Beliau menyatakan perumpaan Mat Indera sebagai nasionalis dengan gerombolan komunis seumpamanya tidak bercampur antara air dan minyak dalam satu bekas.

Kajian ilmiah itu juga menyebut bahawa pendirian agama Mat Indera banyak dipengaruhi oleh dua orang gurunya iaitu Haji Ibrahim Jubah dan Haji Muhammad Yassin Muhammad (bapa Tan Sri Muhyiddin Yassin). Kedua-dua guru Mat Indera ini dikatakan seorang yang kritis terhadap perkembangan politik ketika itu. Malah, menurut pengkaji lagi pada mukasurat 30, Haji Muhammad Yassin bin Muhammad begitu kritis dengan perkembangan politik tanahair, dan kalaulah ucapan-ucapannya dilakukan di atas pentas politik nescaya ia akan dilihat berunsurkan subversif.

Menurut kajian ini juga, Mat Indera pernah dilantik sebagai Ketua Cucuk Tanam anjuran Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Fakta ini sekaligus menafikan dakwaan banyak pihak yang bersumberkan Memoir Abdullah C. D., bahawa Mat Indera telah menjadi komunis sejak Perang Dunia Kedua lagi. Semasa Perang Dunia Kedua ini komunis mengambil sikap berperang dengan Jepun melalui pertubuhan MPAJA, sedangkan golongan nasionalis Melayu terutama ahli-ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM) mengambil sikap yang lebih lunak dengan Jepun. Kecenderungan Mat Indera ini jelas bertentangan dengan dakwaan Abdullah C. D. dalam memoirnya.

Berdasarkan kajian ilmiah tersebut, PPP berpandangan Mat Indera bukanlah Komunis tetapi seorang nasionalis radikal sebagimana yang pernah dinukilkan oleh veteran UMNO sendiri, Tan Sri Abdul Samad Idris dalam bukunya “25 Tahun Merdeka” mukasurat 357-358:

“Kita melihat beberapa orang Melayu terlibat dalam gerakan Komunis selepas pengisytiharan Dharurat tahun 1948. Adakah mereka ini komunis atau didorong oleh semangat Nasionalisme yang meluap-luap? Perkara inilah menjadi teka-teki kepada kebanyakan pengkaji sejarah kita.

Kalau kita mahu menganggap mereka berfahaman komunis disebabkan terlibat secara langsung dalam pemberontakan bersenjata komunis, bagaimanakah kita mahu memberi penilaian kepada tokoh-tokoh seperti Dato’ Bahaman, Mat Kilau dan To’ Gajah Imam Rasu? Atau kepada perjuangan Dato’ Dol Said di Naning, Dato’ Maharajalela di Pasir Salak, To’ Janggut di Pasir Puteh dan Rosli Dhobi di Sarawak? Mereka juga melakukan pemberontakan bersenjata menentang Inggeris yang menjadi kerajaan di Tanah Melayu”.

PPP melihat kenyataan Tan Sri Abdul Samad Idris ini hampir sama dengan intipati ucapan Timbalan Presiden PAS, Haji Mohammad Sabu dalam ceramahnya.

Monday, September 05, 2011

PPP Akan Membukukan Biografi Mat Indera

Sejak ceramah Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu disensasikan oleh akhbar Utusan Malaysia dan media-media perdana milik UMNO, nama Muhammad (Ahmad) bin Indera atau Mat Indera mulai dikenali oleh orang ramai terutama golongan muda. Profail ringkas beliau mula terpapar di ruangan maya termasuklah dimuatkan di dalam Wikipedia berbahasa Melayu. Ceramah Haji Mohamad Sabu yang telah disensasikan ini, bukan sahaja telah mempopularkan nama Timbalan Presiden PAS tersebut, malah sejarah berkaitan dengan Mat Indera mula disoroti semula sehingga menuntut kepada satu kajian yang lebih mendalam tentang biografi beliau.

Berbeza dengan tokoh-tokoh golongan kiri yang lain, Mat Indera tidak begitu dikenali disebabkan beliau meninggal dunia dalam usia yang begitu muda, iaitu sekitar awal 30 an. Tidak banyak diketahui tentang beliau melainkan melalui sejarah yang ditulis berkaitan dengan peristiwa serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong. Di dalam peristiwa tersebut Mat Indera telah dilabelkan sebagai pengganas dan bersubahat dengan komunis seperti yang digembar-gemburkan oleh media-media arus perdana. Disebabkan gambaran tersebut, perjuangan Mat Indera keseluruhannya dilihat dari sisi yang negatif sehingga kaum keluarganya dipercayai tertekan dengan tanggapan-tanggapan tersebut.

Bagaimanapun, telah ada usaha-usaha untuk mengkoreksi semula sejarah perjuangan Mat Indera seperti yang dilakukan oleh Yayasan Warisan Johor dalam buku “Pengukir Nama Johor” yang diterbitkan pada tahun 2004. Di dalam buku tersebut, sejarah perjuangan Mat Indera telah dilihat dari sudut yang lebih adil termasuklah memaparkan rentetan perjuangan beliau untuk menuntut kemerdekaan. Secara tidak langsung, melalui buku ini ketokohan beliau turut diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Johor apabila Menteri Besar Johor sendiri telah memberikan prakata dimuka hadapan buku ini. PPP melihat usaha Yayasan Warisan Johor ini merupakan satu langkah yang baik untuk meluruskan semula sejarah berkaitan dengan Mat Indera.

PPP telah mengenalpasti beberapa orang penulis untuk terlibat dengan penulisan buku ini, disampingkan akan melakukan sendiri kajian melalui kaedah kajian perpustakaan dan kaedah wawancara dengan mereka yang mengenali Mat Indera, terutama kaum keluarga mereka. Selain daripada itu, PPP juga akan menyahut jemputan beberapa orang tokoh sejarah seperti Profesor Emeritus Khoo Kay Kim dan Profesor Ramlah Adam yang bersedia mendedahkan dokumen-dokumen versi mereka. PPP juga merujuk kepada dokumen sejarah golongan kiri seperti memoir-memoir tokoh mereka, seperti Memoir Shamsiah Fakeh yang antara lain pernah menyebut Mat Indera belum pernah menyertai PKM sehingga beliau dihukum bunuh.

Penerbitan buku ini merupakan sebahagian kecil daripada usaha PPP untuk meluruskan semula sejarah perjuangan kemerdekaan negara, setidak-tidaknya memberikan keadilan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air yang selama ini telah digelapkan jasa-jasa mereka. PPP memberi perhatian terhadap Mat Indera bukan sahaja disebabkan nama ini disebut oleh Timbalan Presiden PAS, tetapi juga disebabkan Mat Indera ini merupakan golongan agamawan, malah ada maklumat tidak rasmi yang menyatakan beliau hafiz al-Quran. Berdasarkan kepada maklumat tersebut, latarbelakang beliau adalah seperti perwatakan Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan lain-lain tokoh agamawan yang mempelopori perjuangan kemerdekaan.