Saturday, December 18, 2010

Akhirnya Dia Kembali Menemui Yang Maha Pencipta

Semalam hari yang agak sibuk walaupun aku mengambil cuti rehat. Pada tengaharinya menyampaikan tazkirah dan khutbah di Masjid TTDI Shah Alam. Kemudian sebelah malamnya menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid al-Rahman Universiti Malaya. Dalam tazkirah dan kuliah tersebut aku mengupas berhubung persoalan kematian, secara khusus berdasarkan kitab Sharah al-Sudur oleh Imam al-Suyuti. Dalam tazkirah di Masjid TTDI, aku mengupas berhubung dengan seseorang yang cerdik atau pintar iaitu seseorang yang menyempitkan nafsunya dan beramal untuk kehidupan selepas mati. Kemudian dalam kuliah di Masjid al-Rahman pula, aku mengupas perihal prinsip kehidupan seseorang Islam dalam berseronok dan bermewah. Prinsip Islam jelas tidak menghalang seseorang mencari kegembiraan dan mencari harta dengan syarat tidak berlebih-lebihan. Bagi mengimbangi keseronokan dan kemewahan, maka seseorang itu perlu selalu mengingati mati.

Sekitar tengah malam aku masuk tidur untuk bangun awal menyiapkan sedikit persiapan untuk satu mesyuarat pukul 10.00 pagi esoknya. Namun sehingga pukul 1 lebih barulah mata mahu lelap. Sekitar pukul 3.30 pagi terdengar bunyi SMS dari telefon bimbit di sebelah katil. Aku terus melihat mesej dari siapa? Tertera di skrin telefon itu nama Masafzal, lalu terdetik dalam hati kenapa pula Masafzal hantar mesej di waktu dinihari ini? Aku terkejut dan terharu bila membaca mesej "Salam, adinda kami Masafzal telah kembali ke rahmatullah .... daripada Masafendi". Memoriku terus terimbau saat-saat bersama Masafzal mengerakkan usaha dakwah sewaktu di United Kingdom. Tidak mungkin dilupakan, beliau yang ketika itu sedang bertarung dengan kenser darah terus bersemangat memikul bebanan tugas yang begitu berat memimpin usaha dakwah pelajar Malaysia di sana. Pernah kami bertemu di timur England untuk satu mesyuarat, beliau dalam keadaan yang agak lemah dengan rambutnya yang gugur akibat kesan kimoterapi.

Akan tetapi semangatnya tidak luntur untuk meneruskan urusan tarbiyah dan dakwah. Aku terus memberi semangat supaya beliau tidak mengalah bertarung dengan penyakit yang dialami. Kami kembali ke tanahair pada tahun yang sama iaitu 2009, walaupun aku kembali lebih dahulu. Ketika beliau kembali, aku dimaklumkan kenser darah yang dialaminya datang kembali, dan beliau mahu meneruskan kehidupannya di tanahair dengan berikhtiar secara perubatan alternatif. Selepas itu kami bertemu beberapa kali dalam program selain daripada berhubung menerusi panggilan telefon dan sms. Kali terakhir bertemu dalam program yang dianjurkan oleh Alumni Lembah Beringin, dan aku dijemput untuk memberi ucapan. Wajah Masafzal kelihatan pucat dan susut tetapi bersemangat. Aku terus memberi semangat kepadanya, kerana setakat itulah yang aku mampu sebagai seorang sahabat. Lebih kurang beberapa minggu lepas aku hantar sms bertanya khabar. Beliau memberitahu keadaannya stabil dan sihat.

Kemudian 3 minggu yang lalu aku diberitahu beliau dimasukkah ke wad kerana jangkitan paru-paru dan demam. Pada hari Ahad dua minggu yang lalu, aku mengambil kesempatan yang ada untuk menziarahinya di wad. Masih teringat lagi beliau yang sedang bernafas melalui peralatan bantuan, terus ingin bersembang dan berkata-kata. Yang masih aku ingat beliau memberitahu bapanya, "Yang datang ini orang besar". Beliau begitu bersemangat untuk bersembang, cuma aku pula begitu simpati untuk menyusahkan beliau yang begitu payah untuk mengeluarkan suara. Aku meminta beliau bersabar dan terus bersemangat. Menurut bapanya, keadaannya semakin beransur pulih dan mungkin dalam beberapa hari beliau boleh keluar. Minggu lepas aku menziarahi Acheh tiga hari dan tidak berkesempatan untuk pergi sekali lagi ke Hospital Ampang melawatnya. Tiba-tiba dinihari ini aku mendapat berita yang begitu menyedihkan beliau telah kembali menemui Allah rabbul jalil. Aku terus membalas SMS yang diterima dengan mengucap takziah dan menyatakan keyakinanku, insyaAllah beliau ditempatkan bersama golongan yang salihin. Al-fathihah untuk al-ruh Masafzal.