Monday, February 09, 2009

Seperti Baru Semalam Bertemu

Saya telah mengenali YB Roslan Sharum hampir 15 tahun yang lalu. Ketika itu beliau menjawat jawatan Setiausaha Persatuan Ulama cawangan Perak dan saya pada ketika itu mempelopori Gagasan Mahasiswa Islam Se Malaysia (GAMIS) di samping berjinak-jinak dengan program Persatuan Ulama Malaysia (PUM). Perkenalan saya bermula ketika PUM menganjurkan Seminar Antarabangsa Taqrib Bayna Madhahib dan GAMIS turut terlibat menjayakannya. Ketika inilah saya mula berkenalan dengan beberapa pimpinan PUM dari seluruh negara, termasuklah Almarhum Roslan Sharum yang mewakili cawangan Perak.

Almarhum kemudiannya mula bergiat secara langsung dengan Parti Islam Se Malaysia dan diamanahkan bertanding dalam pilihanraya tetapi tewas. Bagaimanapun pada Pilihanraya Umum tahun lalu beliau telah mencapai kemenangan di kawasan Parlimen Bukit Gantang. Semenjak itu namanya semakin bersinar dalam gerakerja dakwah khususnya menyerlahkan suara politik Islam di tanah air. Beliau juga merupakan salah seorang pimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Perak yang kebetulan dipimpin oleh bekas YDP PUM, iaitu Ustaz Ahmad Awang.

Almarhum Roslan adalah seorang yang tidak jemu-jemu menuntut ilmu. Sepanjang pengetahuan saya, beliau bukanlah secara rasmi dari aliran agama, tetapi sangat minat mendalami ilmu-ilmu Islam walaupun secara tidak formal. Semasa dalam PUM beliau mengambil kesempatan itu secara tidak langsung untuk mendalami ilmu-ilmu tersebut. Beliau juga berguru dengan Dr Haron Din untuk mendalami perubatan Islam sehingga diijazahkan dengan amalan perubatan Islam Darus Syifaq dan menggerakkan sistem perubatan itu di Perak. Di samping itu, beliau juga melanjutkan pengajiannya di peringkat sarjana sehingga melayakkannya menjadi Pensyarah sambilan Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Pada bulan Ogos 2008 yang lalu beliau telah bertandang ke UK untuk menguruskan kemasukan anak-anaknya di beberapa institusi pengajian Islam di sini, di samping melakukan lawatan tidak rasmi sebagai Pengerusi Yayasan Perak. Semasa di UK, saya telah menguruskan urusan beliau untuk bertemu dengan Pendaftar Markfield Institute of Higher Education (MIHE) dan Mudir European Institute of Human Sciences (EIHS). Beliau juga membuat kunjungan kepada YM Raja Idris Raja Kamaruddin (Pak Ungku) bagi mendapat nasihat menggerakkan Yayasan Perak. Beberapa kata sepakat telah dicapai daripada urusan-urusan yang dijalankan. Yang terpentingnya beliau berusaha untuk menghantar pelajar-pelajar dari Perak ke kedua-dua institusi tersebut.

Beliau juga sempat bermalam di rumah kami hampir 3 malam sebelum berlepas ke Manchester untuk menghadiri program yang diatur oleh warga Malaysia di sana. Saya sekeluarga mengiringi beliau selama hampir lima hari bermula di Leicester sehinggalah ke Swansea. Ketika saya mula mendapat khabar bahawa Kerajaan Negeri Perak sudah hampir melakukan persetujuan terakhir menghantar pelajar ke UK sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Terengganu sebelum ini, tanpa di sangka-sangka berlaku rampasan kuasa secara tidak demokratik di negeri tersebut.

Dan hari ini lebih mengejutkan lagi salah seorang yang mengusahakan hasrat tersebut telah kembali ke rahmatullah. Saya dimaklumkan oleh Sdr. Muhaimin borang anak beliau untuk kemasukan ke EIHS telah sampai ke tangannya pada hari ini, tetapi pengirim borang itu telah meninggalkan dunia yang sementara ini beberapa jam sebelumnya. Seperti baru semalam saya berbincang dan mengajukan pandangan tentang beberapa tindakan yang boleh dilakukan oleh Yayasan Perak dan Kerajaan Negeri umumnya, tetapi hari ini hasil perbincangan itu seperti telah hilang bersama-sama Almarhum yang telah meninggalkan kita untuk selama-lamanya. Al-Fatihah, semoga beliau dikumpulkan bersama golongan yang diberi nikmat olehNya.