Wednesday, December 12, 2007

Gelatine Babi dan Hukum Najis Berubah


Saya ingin merujuk kepada isu yang ditimbulkan oleh petikan daripada artikel dalam al-ahkam.net tentang gelatine babi seperti di bawah:

“Satu kaedah dalam menentukan halal haram makanan ialah dilihat pada pertukaran rupa dan benda, seperti arak yang kemudiannya bertukar rupanya menjadi cuka. Menurut mazhab Syafie pertukaran rupa tidak mengubahkan hukum najis sesuatu benda, kecuali arak yang berubah menjadi cuka. Cuka ini bersih, sekalipun asalnya arak yang najis.

Imam Malik berpendapat, benda-benda najis yang bertukar kepada suatu rupa yang lain adalah suci, seperti najis babi yang dibakar kemudian bertukar menjadi debu hukumnya suci, sekalipun pertukaran itu dengan sendiri atau setelah diusahakan. Atas dasar ini, ramai berpendapat, gelatin itu suci dan boleh digunakan, sekalipun ditakdirkan asalnya babi atau bangkai yang tidak disembelih, kerana najis itu telah bertukar rupanya kepada rupa yang lain. Kedudukannya samalah dengan tulang bangkai yang dibakar menjadi debu. Tulang bangkai adalah bangkai, tetapi debu tulang setelah dibakar tidak lagi membawa hukum asalnya.

Saya lebih cenderung kepada pendapat ini, kerana hukum halal haram ditentukan mengikut namanya. Apabila tiada nama, maka tiada lagi hukum asalnya, tahi adalah tahi dan hukumnya adalah najis, tetapi apabila tahi menjadi tanah, maka hukumnya adalah tanah.” (sumber al-ahkam)


Pendapat saya:

Hukum mengenai najis yang berubah dalam istilah Fiqh disebut ‘Istihalah’ yang merujuk kepada sesuatu najis yang berubah a`in (zat) kepada bentuk yang lain melalui proses pembakaran dan seumpamanya. Sepertimana yang dimaklumi mazhab Syafi`e menyatakan sesuatu najis yang berlaku istihalah tidak akan merubah hukumnya kecuali arak yang berubah menjadi cuka disebabkan ada nas yang mengisyaratkan sedemikian, malah arak itu sendiri asalnya daripada perahan buah-buahan yang suci. Manakala menurut mazhab Maliki pula sebaliknya, najis yang berubah a`innya, maka berubahlah hukum tentangnya seperti najis yang dibakar maka debu-debu najis tersebut menjadi suci ataupun najis yang telah bertukar menjadi tanah maka tanah tersebut menjadi suci. Berdasarkan pandangan mazhab Maliki tersebut maka gelatine babi bagi sesetengah pendapat menjadi halal kerana telah berlaku istihalah padanya.

Pada pandangan saya pendapat ini tidak benar disebabkan alasan-alasan berikut:

a. Setakat yang saya rujuk kepada pandangan mazhab Maliki (sekiranya ada pandangan lain dialu-alukan) istihalah ini berkaitan dengan persoalan najis yang berubah menjadi suci selepas berubah a`innya bukannya berkaitan dengan perubahan makanan daripada haram kepada halal. Tidak semua perkara yang suci halal di makan, malah di dalam mazhab Maliki sendiri melihat babi itu suci tetapi haram di makan. Demikian juga dengan arak sebahagian ulama menyatakan bahawa ia suci tetapi hukum meminumnya tetap haram. Dalam kes gelatine babi ini, pengharamannya disabitkan dengan jelas melalui nas yang qati’e samaada tsubut dan dalalahnya. Dan berdasarkan hadith Rasulullah saw yang masyhur: “Yang halal itu jelas dan haram itu jelas…” pada pandangan saya menunjukkan tidak berlaku perubahan hukum tentang halal dan haram kepada sesuatu yang berubah a`innya.

b. Menurut satu Qai`dah Fiqhiyah, “tidak berkumpul halal dan haram kecuali haram mengalahkan yang halal”, maka dalam berlakunya istihalah a’in babi ini kemungkinan ia berlaku tidak seluruhnya, kecuali proses semulajadi atau proses yang memungkinkan ia berubah sepenuhnya seperti pembakaran. Oleh sebab itu, menurut Syafi`e arak yang berubah menjadi cuka hendaklah berubah secara semulajadi kerana perubahan secara semulajadi itu memungkinkan berlaku perubahan seluruhnya. Walaupun terdapat khilaf ulama tentang sumber hadith yang menjadi dasar kaedah ini, tetapi sekiranya hadith ini disandarkan kepada hadith: “ Yang halal itu jelas dan haram itu jelas…. Dan barang siapa yang menjatuhkan dirinya kepada syubhat maka jatuhlah ia kepada yang haram, bagaikan pengembala yang mengembala di sekitar daerah larangan, yang hampir-hampir ia mengembala di dalamnya", maka dapat dilihat bahawa kaedah di atas terpakai dalam Fiqh.

c. Menurut sebahagian ulama mutakhir seperti Muhammad al-Hawari dan Abd Naseer Abu Basal bahawa a`in babi ini tidak mungkin berubah walaupun melalui proses istihalah. Oleh kerana itu, sesiapa yang masih hendak berpegang kepada hukum halalnya gelatine babi ini tidak boleh tidak perlu memastikan syarat perubahan a`in itu secara yakin. Sekiranya tidak maka Kaedah Usul yang menyatakan, “Keyakinan Tidak dihilangkan dengan Keraguan” menunjukkan bahawa hukumnya haramnya tidak berubah disebabkan ragu-ragu bahawa berlakunya perubahan a`in tersebut. Perkembangan bidang Sains telah memungkinkan manusia untuk mengenalpasti kewujudan DNA yang menjadi unsur asas sel-sel kehidupan, seterusnya mengenalpasti sesuatu haiwan daripada yang lain. Daging seseekor haiwan terdiri daripada sel-sel yang struktur asasnya mengandungi DNA. Oleh kerana itu, selagi mana boleh dikenali DNA itu daripada babi maka daging yang haram itu tetap wujud, maka hukumnya tidak boleh berubah sekiranya hendak disandarkan kepada pandangan mazhab Maliki tersebut.

d. Setakat pengetahuan sains saya khusus bidang kimia organik, proses menghasilkan gelatine babi ini adalah berasal daripada kalogen babi (fibre protine) yang diekstrakkan kemudiannya melalui proses hydrolysis. Proses hydrolysis ini bukan seperti pembakaran yang melibatkan pengoksidaan sehingga merubah a`in asal daging babi tersebut. Oleh sebab itu, melalui proses itu a`in babi itu tidak berubah kecuali ditambah molekul air yang merubah bentuk pepejalnya kepada gel pada suhu rendah dan cecair pada suhu tinggi. Gelatine babi itu tiada bezanya dengan kalogen asal, maka tidak berlaku perubahan a’in melainkan bentuknya (form) yang berubah. Jadi disebabkan tiada perubahan a`innya, walaupun kita hendak menerima pandangan pandangan mazhab Maliki tersebut, pandangan tersebut tidak terpakai dalam kes gelatine babi ini.

Wallahua`lam