Monday, August 13, 2007

Pandangan Islam Terhadap Liberalisasi Perdagangan (Siri 7)

Gelombang Ketiga Revolusi Perindustrian

Mungkinkah berlaku gelombang ketiga Revolusi Perindustrian atau Industrialisasi? Persoalan seperti ini jarang dibangkitkan. Gelombang ketiga Revolusi Perindustrian ini bukanlah merujuk kepada Third Wave Societies seperti yang dipopularkan oleh AlvinToffler, walaupun mempunyai sedikit perkaitan dengannya. Ramai ahli sejarah Barat antaranya William Macniell dalam bukunya ‘History of Western Civilization’ telah membahagi Revolusi Perindustrian atau Industrialisasi kepada dua gelombang, iaitu yang pertama berlaku di Britain dan yang kedua Jerman, Perancis, Amerika seterusnya diikuti oleh Jepun. Kedua-dua gelombang ini dicirikan dengan proses industrialisasi yang tersendiri. Manakala yang dimaksudkan dengan gelombang ketiga Revolusi Perindustrian ini ialah kemunculan lebih banyak negara-negara dunia ketiga yang berdikari dengan sektor industrinya sendiri tanpa bergantung lagi kepada negara-negara maju.

Negara-negara ini menuruti jejak Jepun bermula dengan sektor SMI yang beransur-ansur berdikari kemudiannya menjadi sebuah negara maju. Masyarakat dalam negara-negara ini akan berdiri sendiri di mana penawaran dan permintaan domestik menjadi lebih dominan berbanding dengan antarabangsa. Negara-negara ini berupaya membekalkan keperluan masyarakatnya sendiri dalam pelbagai sektor dan hanya bergantung kepada pengeluaran asing dalam aspek-aspek yang hampir mustahil mereka mampu menyediakannya sebagaimana negara maju hari ini. Dengan pengertian lain tiada lagi jurang taraf hidup antara negara-negara maju yang ada pada hari ini dengan negara-negara maju yang akan muncul dalam gelombang ketiga Revolusi Perindustrian ini. Persoalannya, mungkin akan berlakunya gelombang ketiga Revolusi Perindustrian dan Industrialisasi ini?

Persoalan ini seharusnya dijawab oleh mereka yang percaya kepada Liberalisasi Perdagangan dan melihat amalan itu antaranya adalah untuk membantu negara-negara miskin. Mari kita melihat satu persatu aspek Liberalisasi Perdagangan dan kita menilai sama ada slogan-slogan golongan Kapitalis yang mendukung Liberalisme seperti Julian Morris tersebut sekadar retorik dan omong kosong atau sememangnya ia boleh berlaku. Sekiranya melihat kepada rasional slogan-slogan retorik, maka sosialisme dan komunisme juga tidak kurang hebatnya. The Communist Manifesto Karl Marx juga tidak kurang hebatnya, cuma kebanyakan penganutnya memilih jalan despotism untuk melaksanakannya. Bagi mereka yang menggunakan jalan demokrasi seperti Social Democratic Party (SDP) seperti di Jerman dan New Zealand, kejayaannya turut boleh diperhatikan.

Lazimnya Liberalisasi Perdagangan ini akan melibatkan usaha untuk membebaskan pasaran modal, pasaran barangan termasuk perkhidmatan, pasaran buruh dan pasaran matawang (sebahagian mengkategorikannya dalam pasaran modal) daripada kawalan kerajaan sama ada dalam bentuk tarif, percukaian dan lain-lain. Dalam konteks ekonomi Neo-Liberalisme hari ini ia turut melibatkan De-Regulasi (De-Regulation), yang bermaksud menghilang dan mengurangkan peranan kerajaan antaranya dengan menghapuskan akta-akta kawalan dan sekatan demi untuk meransang pasaran. Kerajaan dalam konteks ini bersifat lepas tangan (laissez faire) dengan membiarkan kuasa-kuasa pemodal sama ada individu dan syarikat bersaing dalam satu pasaran bebas.

Dalam konteks pasaran modal, ia turut melibatkan pembebasan pasaran sesebuah negara untuk menerima suntikan modal asing sama ada dalam bentuk pelaburan terus (FDI) atau pemilikan saham. Sememangnya slogan di sebalik suntikan modal asing ini begitu merdu antara lain untuk membantu negara-negara membangun dan miskin membangunkan sektor ekonomi mereka khususnya sektor perindustrian, supaya dengannya berlaku industrialisasi dan akhirnya negara-negara itu akan menjadi negara maju. Namun demikian, adakah semudah itu pemodal-pemodal asing ini memindahkan keupayaan industri mereka kepada negara-negara membangun dan miskin, kerana secara logiknya tindakan mereka ini akan memperbanyakkan lagi pesaing.

Di Malaysia, pengalaman seperti ini telah dirasai khususnya semasa dekad 1980-an dan 1990-an melalui sektor pembuatan elektronik dan automotif. Banyak pelabur-pelabur asing terlibat secara langsung membangunkan kilang-kilang pembuatan elektronik ini khususnya dari Jepun dan Amerika. Dalam konteks sektor automotif pula wujud usahasama seperti penubuhan PROTON, iaitu syarikat usahasama HICOM dan Mitsubishi Corp serta anak syarikatnya. Melalui usahasama ini diharapkan akan berlaku pemindahan teknologi (technology transfer), latihan tenaga mahir dan bantuan modal yang kemudiannya akan memungkinkan PROTON berupaya mengeluarkan keluarannya sendiri. Syarikat Jepun dipilih kerana mereka lebih dipercayai boleh membantu negara-negara membangun seperti Malaysia.

Setelah lebih 10 tahun usahasama ini berlaku, jelas menunjukkan bahawa pemodal-pemodal asing khususnya dari Jepun tidak mungkin bertindak menjerut leher sendiri dengan memperbanyakkan pesaing. Meskipun Mitsubishi Corp memegang saham 30% dalam PROTON, niat untuk membantu PROTON sebagai sebuah syarikat pengeluar kereta adalah hanya untuk kepentingan sendiri. Kejayaan yang jelas ialah 7 daripada 10 kereta di jalanraya Malaysia ialah PROTON sekaligus menggambarkan kejayaan Mitsubishi menguasai pasaran automotif di Malaysia. Sehinggalah PROTON berjaya memiliki syarikat Lotus setelah usaha Tan Sri Yahya pada awalnya untuk memiliki Syarikat Porche dinafikan oleh semangat kulit putih bangsa Eropah, barulah PROTON mempunyai sedikit keupayaan untuk mengeluarkan model keretanya sendiri walapun tidak 100% pada permulaannya.

Demikian juga dalam konteks pembukaan kilang-kilang pembuatan elektronik yang dilakukan oleh pemodal-pemodal asing. Sememangnya tidak dinafikan ia memberi manfaat kepada pasaran pekerjaan di Malaysia, tetapi tidak sama sekali untuk membina keupayaan Malaysia menjadi sebuah negara pengeluar barangan elektronik. Keupayaan Malaysia melalui penubuhan beberapa syarikat pengeluar elektronik tempatan sebenarnya datang daripada sektor pendidikan dan latihan yang diusahakan sendiri oleh Kerajaan. Keuntungan yang besar disapu oleh pemodal-pemodal kerana meskipun Malaysia menjadi negara pengeluar barangan elektronik yang utama di dunia, negara juga antara pengimpot utama komponen-komponen elektronik. Sekarang di mana pemodal-pemodal itu dengan slogan merdunya untuk membantu negara-negara membangun untuk membina keupayaan pengeluaran mereka sendiri.

Selain daripada hampir mustahil pemodal-pemodal itu bertindak untuk memperbanyakkan pesaing, proses pelaburan seperti ini merupakan rantaian defusi perindustrian yang disebabkan oleh Penyah-Industri (De-Industrialization). Teori Penyah-Industri ini begitu popular dalam ekonomi perindustrian, iaitu perkembangan industrialisasi di sesebiah negara akan menurun disebabkan faktor-faktor tertentu seperti peningkatan kos buruh dan kepupusan sumber alam semulajadi. Penyah-Industri ini selalunya akan mendorong defusi perindustrian ke negara-negara membangun yang kos pengeluarannya lebih murah, apa lagi kalau di sana terdapat pasaran pengguna yang ramai. Maka pemodal-pemodal ini akan berpindah-randah dari satu negara ke satu negara bagi menjalankan operasi pengeluarannya demi mengurang kos modal dan meningkatkan keuntungan.

Adakah pemodal-pemodal ini akan setia kepada sesebuah negara sekiranya Penyah-Industri telah berlaku di negara tersebut, disebabkan tidak mahu menyebabkan pekerjanya hilang pekerjaan dan seterusnya meningkatkan pengangguran di negara tersebut. Jika di Malaysia mungkin BATA antara pemodal yang agak patriotik, itupun sudah menarik operasi pengeluarannya dari Malaysia. Semasa China membuka pasaran modalnya, pemodal-pemodal seluruh dunia lari ke sana sehingga menyebabkan banyak negara-negara membangun seperti Malaysia yang kehilangan punca dan ekonominya merudum. Krisis ekonomi yang dihadapi oleh negara-negara harimau Asia Tenggara termasuk Malaysia antara lain disebabkan oleh faktor seperti ini.

Peristiwa ini sebenarnya membuktikan bahawa pandangan Julian Morris yang menyebut bahawa tindakan kerajaan menyekat pasaran demi untuk memajukan industri gantian impot tempatan sebagai penyebab kemeruduman ekonomi adalah tidak berasas setidak-tidaknya dalam kes di Asia Tenggara. Berkaitan dengan pelaburan modal, di negara-negara Asia Tenggara pasaran modal telah dibuka dengan seluasnya malah pelbagai insentif telah diberikan seperti taraf perintis dan pelepasan cukai demi untuk menarik pemodal asing. Kecuali dalam kes PROTON, dalam sektor-sektor yang lain seperti pembuatan elektronik kerajaan Malaysia tidak mewujudkan kawalan pasaran. Malah selepas krisis ekonomi 1997, negara-negara Asia Tenggara telah membuka pintu yang luas kepada perdagangan bebas antaranya dengan mewujudkan AFTA, tetapi masih tidak berupaya bersaing dengan China dan India.

Hari ini telah ada kajian-kajian yang dijalankan oleh pengkaji-pengkaji di universiti-universiti tempatan bahawa FDI sebenarnya telah membantutkan keupayaan negara berbanding sekiranya usaha digembeling untuk membina keupayaan sendiri setidak-tidaknya di peringkat skala industri kecil dan sederhana. Mungkin menarik bila ada pengkaji yang mengumpamakan para pemodal ini sebenarnya ‘memberi kita ikan, bukannya mengajar kita memancing’ sebagai kaitannya dengan perupamaan masyarakat Tionghua. Pada pandangan saya, Liberalisasi Perdagangan yang berkaitan dengan pembebasan pasaran modal tidak lebih daripada memaksimumkan keuntungan pemodal dan memanjangkan lagi rantaian proses Penyah-Industri. ‘Mengajar negara-negara membangun dan miskin memancing’ akan mencerahkan lagi kemungkinan berlakunya gelombang ketiga Revolusi Perindustrian, dan bersediakan pemodal-pemodal di negara maju menerimanya?

Sunday, August 12, 2007

Pandangan Islam Terhadap Liberalisasi Perdagangan (Siri 6)

Amalan Ekonomi Religion-Neutral?

Perkembangan Peradaban Barat bukan sahaja memperlihatkan kebangkitan kepercayaan-kepercayaan menolak ketuhanan, tetapi dasar dan amalan yang bebas nilai (value-free). Bermula daripada bidang ilmu sehinggalah kepada bidang yang paling remeh seumpama hiburan dan sukan, dasar dan amalannya bersifat bebas nilai atau juga disebut neutral. Saya begitu berpegang bahawa dasar dan amalan adalah tidak bebas nilai atau tidak neutral. Dalam konteks falsafah ilmu atau epistemologi, ramai di kalangan tokoh-tokoh Islam seperti Ismail al-Faruqi dan Sayyid Hossien Nasr berpegang bahawa ia tidak bebas nilai atau tidak neutral, justeru mereka memperkenalkan program Islamisasi Ilmu. Ziauddin Sardar yang selalu dilihat tidak sealiran dengan Sayyid Hossein Nasr, dalam banyak buku-bukunya menggariskan prinsip-prinsip dasar Islam seperti Tauhid, Ibadah, Amanah dan lain-lain sebagai usaha keluar daripada dasar dan amalan bersifat bebas nilai.

Sekiranya kita menyeru supaya berpegang kepada dasar dan amalan religion-neutral atau istilah yang selalu digunakan value-free, maka apa perlu lagi wujudnya agama di dunia ini. Tidak perlu lagi kita berbicara tentang Sains Islam kerana pada hakikatnya Sains itu neutral. Tidak perlu kita memperkenalkan kebudayaan Islam seperti yang dikemukakan oleh Ismail al-Faruqi kerana kebudayaan itu sifatnya bebas nilai. Hanya membuang masa para ulama bercakap tentang ekonomi Islam, kerana amalan ekonomi sebenarnya neutral dan tidak berkaitan dengan nilai-nilai beragama, berbudaya dan bersusila. Sebenarnya, pegangan seperti ini antara hasil terpenting peradaban Barat iaitu merungkaikan seluruh pegangan dan amalan dalam kehidupan daripada nilai-nilai yang berkaitan dengan sesuatu agama, budaya dan adat, supaya pegangan dan amalan itu bersifat neutral.

Pengakuan WSWJ bahawa “capitalism is an economic system, not a religion. It is religion-neutral” ketika mengulas artikel Sabri Haron sebenarnya sudah memadai untuk pendukung gerakan Islam menolak pegangan dan amalan Kapitalisme dan Liberalisme. Dalam kelima-lima siri artikel yang lalu, saya telah menumpukan usaha untuk menilai dasar Kapitalime dan Liberalisme dari perspektif Islam dan tidak menyentuh tentang amalan ekonominya. Pendekatan seperti ini disebabkan Islam menilai dasar terlebih dahulu sebagai neraca timbangan sebelum menilai amalannya. Oleh sebab itu, sebelum melihat amalan Liberalisasi Perdagangan dari perspektif Islam, maka kita perlu terlebih dahulu menilai dasar kepada amalan itu iaitu Kapitalisme dan Liberalisme. Sehingga kini saya masih meneruskan kupasan saya terhadap dasar Kapitalisme dan Liberalisme, dan tidak berhasrat lagi untuk menyentuh tentang amalan Liberalisasi Perdagangan.

Namun perakuan di atas telah memudahkan usaha saya kerana diperakui sendiri bahawa sememangnya kapitalisme dan liberalisme adalah religion-neutral atau value-free. Perakuan tersebut juga selari dengan aliran perdana yang selalu diambil oleh ilmuan Barat, tidak seperti pandangan terpencil Max Weber dalam ‘The Protestant Ethics and the Spirit of Capitalism’. Sedangkan menurut Islam sama ada Kapitalisme dan Liberalisme itu religion-neutral atau berasaskan semangat Kristian Protestant, kedua-duanya tiada kena mengena dengan Islam dan ditolak. Konsep religion-neutral atau value-free sekiranya dilihat dalam konteks epistemologinya adalah bersumberkan positivisme yang telah melabelkan agama termasuk Islam sebagai peringkat manusia bertahayul sebagaimana yang disebut oleh August Comte dalam ‘Philosophy of Positivism’. Malah ramai juga yang melihat bahawa religion-neutral dan value-free ini sebagai bersumberkan Atheisme yang mulai muncul semasa Zaman Pencerahan Eropah. Sekiranya Kapitalisme dan Liberalisme bersumberkan semangat Kristian Protestant, maka ia juga ditolak oleh Islam.

Perakuan seumpama ini juga sebenarnya memperakui apa yang disebut oleh Sabri Haron dalam artikelnya bahawa antara ciri-ciri Kapitalisme ialah menolak nilai-nilai Akidah, Syariah dan Akhlak yang mulia. Saya tidak tahu Sabri Haron menyedari bahawa artikelnya di kritik atau tidak dan saya tidak pasti Sabri Haron yang mana. Kalau Sabri Haron yang dimaksudkan ialah Dr Sabri Haron daripada UKM, maka saya kenal agak rapat dengannya. Beliau adalah lepasan PhD daripada University of Jordan yang tesis PhDnya ‘Ahkam al-Aswaq Al-Maliah’ telah diterbitkan di Jordan dan memenuhi perpustakaan universiti-universiti di Timur Tengah. Bagi saya beliau layak bercakap tentang prinsip-prinsip ekonomi Islam. Dalam artikel tersebut juga telah menghuraikan tentang prinsip-prinsip yang jelas tentang dasar-dasar perekonomian Islam yang sama sekali tidak terdapat dalam Kapitalisme dan Liberalisme.

Beliau telah menilai Kapitalisme dan Liberalisme dari segi dasarnya bukan dari segi amalannya. Penilaian dari segi dasar Kapitalisme dan Liberalisme sememang menolak nilai-nilai Akidah, Syariah dan Akhlak. Apakah sumber dasar Kapitalisme dan Liberalisme.? Sekiranya Kapitalisme dan Liberalisme religion-neutral, maka jelas ia tiada langsung berkaitan dengan Akidah. Apakah hukum tertinggi Kapitalisme dan Liberalisme? Sekiranya Kapitalisme dan Liberalisme religion-neutral atau value free, maka jelas ia tiada merujuk kepada Syariah. Dan apakah sistem nilai yang dipakai oleh Kapitalisme dan Liberalisme? Sekiranya Kapitalisme dan Liberalisme value-free, maka jelas ia mengenepikan dan meminggirkan Akhlak. Maka bukankah perakuan bahawa Kapitalisme dan Liberalisme itu religion-neutral telah mengiyakan apa yang didakwa oleh Sabri Haron.

Wacana dalam perekonomian Islam yang menilai Kapitalisme dan Liberalisme sememang akan membahaskan persoalan dasar terlebih dahulu bukannya mendahulukan penilaian terhadap amalannya. Amalan dalam Kapitalisme dan Liberalisme sebagaimana juga amalan dalam Sosialisme dan Komunisme sememangnya ada yang bertemu dengan Islam. Haqq al-Tamalluk (The Right of Ownerships) atau hak untuk pemilikan harta sememang wujud dalam Islam dan turut terdapat dalam Kapitalisme dan Liberalisme. Tetapi cukupkah sekadar menyebut titik-titik pertemuan tersebut maka Kapitalisme dan Liberalisme itu adalah menepati Dasar Ekonomi Islam. Saya telah menyebut sebelum ini pendekatan tersebut sekadar ‘mengkhatankan’ bukannya satu usaha Islamisasi seperti yang selalu disebut oleh Ismail al-Faruqi dan berdasarkan pembacaan saya Ziauddin Sardar turut menyokong beliau dalam perkara ini.

Perbahasan tentang persoalan dasar bagi saya telah menemui noktahnya dengan perakuan bahawa Kapitalisme dan Liberalisme adalah satu sistem ekonomi religion-neutral atau istilah lain yang selalu digunakan ialah value-free. Secara umum prinsip-prinsip perekonomian Islam telah dikemukakan oleh Sabri Haron dan beliau telah cuba menjelaskan perbezaannya dengan prinsip-prinsip perekonomian yang lain. Jelaslah amalan Liberalisasi Perdagangan adalah berpijak di atas dasar yang tidak selari dengan Islam sebaliknya dasar yang religion-neutral, yang bagi saya sebagai mewarisi epistemologi positivisme kalaupun bukan daripada semangat Atheisme. Premis seperti ini akan menjadi asas perbincangan untuk kita melihat pula liberalisasi perdagangan sebagai amalan dalam Kapitalisme dan Liberalisme, serta bagaimanakah seharusnya sikap negara-negara Muslim termasuk Malaysia terhadapnya

Saturday, August 11, 2007

Pandangan Islam Terhadap Liberalisasi Perdagangan (Siri 5)

Autoriti Dalam Tradisi Keilmuan Islam

Sesiapa sahaja boleh mendakwa bahawa pandangannya adalah mewakili Islam? Tiada mana-mana pihak boleh mendakwa bahawa perspektifnya adalah merupakan perspektif Islam? Demikianlah beberapa persoalan yang selalu ditimbulkan khususnya oleh golongan Muslim Liberal seperti JIL di Indonesia dan Sister in Islam (SIS) di Malaysia. Bagi golongan seperti ini sesiapa sahaja mempunyai autoriti untuk mengeluarkan pandangan berkaitan dengan Islam termasuklah mengistinbatkan hukum-hukum daripada al-Quran dan al-Hadith. Oleh sebab itu, bila disebut “Pandangan Islam tentang Liberalisasi Perdagangan”, maka tiada mana-mana pihak boleh mendakwa bahawa pandangannya mewakili Islam. Persoalan seperti ini sebenarnya berkait rapat antara lain dengan autoriti dalam keilmuan Islam.

Benarkah dalam Islam tiada autoriti ilmu sehingga kita boleh menyatakan pendirian inilah sebenarnya mewakili Islam atau pandangan inilah yang benar menurut Islam. Di dalam al-Quran Allah swt telah menyentuh tentang konsep autoriti ini sepertimana firman ALlah swt dalam surah al-Nahl ayat 43 dan surah al-Anbiya ayat 7. Dalam kedua-dua ayat tersebut, Allah swt memerintahkan supaya merujuk kepada Ahl al-Zikr yang bermaksud para ulama. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim:

Daripada Abdullah bin Amr bin 'ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan para ulama. Maka apabila sudah ditiadakan seorang alim, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila si jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain".

Sebenarnya banyak lagi nas-nas daripada al-Quran dan al-Hadith yang menekankan tentang autoriti ilmu dalam Islam sehingga tiada sesiapa sewenang-wenangnya boleh memberi pandangan tentang Islam lalu mereka menyesatkan orang lain.

Persoalan autoriti ilmu ini bukan sesuatu yang hanya terdapat dalam tradisi keilmuan Islam, tetapi terdapat juga dalam tradisi keilmuan peradaban yang lain termasuklah peradaban Barat pada zaman ini. Sesiapa yang pernah menelaah buku Republic Plato akan menemui pandangan Plato bahawa sesebuah negara itu hanya akan bebas daripada kejahatan apabila seseorang ahli falsafah menjadi raja ataupun sesorang raja mempunyai ilmu yang secukupnya tentang falsafah. Bukankah pandangan ini menunjukkan bahawa adanya autoriti ilmu sehingga dalam persoalan pentadbiran negara selayaknya dirujuk kepada ahli falsafah. Malah dikatakan di pintu gerbang ‘Akademia’ sekolah Plato, tercatat “seseorang yang tidak mengetahui geometri (matematik) tidak dibenarkan masuk”. Sekali lagi menunjukkan bahawa perlunya autoriti ilmu sehingga seseorang yang tidak menguasai sesuatu ilmu maka tidak mungkin beliau menguasai ilmu yang lain.

Namun begitu mengapa apabila persoalan seumpama ini dibangkitkan dalam tradisi keilmuan Islam, maka ia dilihat sebagai janggal. Bilamana disebut perspektif Islam, maka sudah tentu berdasarkan al-Quran dan al-Hadith. Nas-nas al-Quran dan al-Hadith tersebut ada yang Qathie dan ada yang Zhonni, lafaz-lafaznya ada yang am dan ada yang khusus serta bermacam lagi aspek yang perlu diberi perhatian untuk memahaminya. Maka untuk mengeluarkan ketetapan daripada al-Quran dan al-Hadith sudah pasti memerlukan penguasaan kepada beberapa cabang ilmu seperti bahasa Arab, Asbab al-Nuzul, Nasikh dan Mansukh serta lain-lainnya. Bukan semua orang boleh mengeluarkan ketetapan daripada al-Quran dan al-Hadith sehingga mereka boleh mendakwa ini juga adalah ketetapan Islam. Mereka yang berautoriti sahaja yang boleh melakukan sedemikian, iaitu para ulama.

Baru-baru ini seorang Professor di Department of Theology and Religious Studies University of Wales Lampeter, telah menyarankan kepada calon-calon PhD membaca buku Thomas Kuhn ‘The Structure of Scientific Revolutions’. Kemungkinan beliau baru membacanya disebabkan beliau seorang theologist. Sekiranya beliau Philosopher beliau pastinya telah lama membacanya. Bagi mereka yang mendalami Falsafah Sains khususnya, buku ini seperti satu bacaan wajib yang dibaca bersama karya-karya Karl Popper seorang lagi tokoh Falsafah Sains abad ke 20. Di dalam buku Thomas Kuhn tersebut ada menyentuh tentang autoriti ilmu. Thomas Kuhn menyebut tentang bagaimana berlakunya ‘paradigm shift’ dalam sains yang antara lain berkaitan dengan normal science dan abnormal science. Fenomena ini pula berkait rapat dengan sebuah komuniti saintifik.

Konsep komuniti saintifik ini telah dihuraikan lebih mendalam oleh John Ziman dalam bukunya ‘An Introduction to Science Studies’. Menurut beliau komuniti saintifik ini seperti juga masyarakat awam, meskipun ia adalah maya. Dalam komuniti saintifik ini ada heirarki yang berasaskan kepada autoriti ilmu. Noble Prize Winner dalam sesuatu bidang sains sudah pasti mereka yang paling berautoriti dalam bidangnya dan yang paling rendah autoritinya ialah mereka yang mempunyai ijazah dalam bidang tersebut. Heirarki dalam komuniti saintifik ini sama seperti autoriti kuasa dalam masyarakat awam. Oleh sebab itu pandangan,ulasan dan kajian seorang pemenang anugerah Noble dilihat lebih berwibawa daripada yang lainnya, sehingga ia diiktiraf sebagai ilmu dalam bidang tersebut.

Persoalannya, mengapa kita boleh mengiktiraf autoriti ilmu dalam bidang-bidang lain, tetapi tidak dalam keilmuan Islam? Sekiranya kita mengiktiraf wujudnya autoriti ilmu dalam keilmuan Islam, maka tidak timbul pertanyaan siapa yang boleh mendakwa pandangannya mewakili Islam. Jelas, pandangan yang mewakili Islam ialah pandangan para ulama yang tersohor atau muktabar yang menguasai disiplin-disiplin ilmu dalam Islam. Sekiranya ingin melihat perspektif Islam tentang sesuatu termasuk tentang Liberalisasi Perdagangan dan Liberalism, maka pandangan yang mewakili Islam ialah pandangan para Ulama. Merekalah yang paling berautoriti dalam kelimuan Islam. Berhubung dengan Liberalisasi Perdagangan dan Liberalism ini, tidak sedikit para ulama mutakhir yang telah menyentuh topik tersebut sehingga tidak sukar untuk mengenengahkan perspektif Islam tentangnya.