Saturday, June 18, 2011

Rasionalisasi Subsidi: Rasionalkah?

Dalam konteks pengurusan ekonomi sesebuah kerajaan, subsidi adalah satu instrument (alat) sepertimana juga instrumen-instrumen yang lain seperti cukai, voucer, insentif dan lain-lain. Sebagai satu instrumen yang berbentuk bantuan kewangan (financial assistance), antara peranan utama subsidi ialah untuk menghalang dan mengawal kenaikan harga barang selain daripada menyelamatkan dan menggalakkan kemunculan sektor-sektor ekonomi tertentu yang dilihat mempunyai kepentingan nasional. Berdasarkan kepada tujuan tersebut adalah tidak mungkin bagi sesebuah kerajaan menghapuskan sama sekali subsidi disebabkan peranannya sering diperlukan dari semasa ke semasa.

Cadangan Rasionalisasi Subsidi seperti yang dikemukakan oleh PEMANDU turut mengakui bahawa subsidi tidak mungkin dihapuskan sama sekali, melainkan perlu disasarkan kepada kumpulan sasar yang sebenarnya. Sebenarnya, cadangan PEMANDU ini adalah salah satu pendekatan untuk mengurus ekonomi negara yang kelihatan mulai ‘bermasalah’. Unjuran tentang peningkatan hutang negara yang mencapai lebih 100% berbanding KDNK dan defisit fiskal melebihi 10% menjelang 2019, merupakan masalah utama seperti yang dibimbangkan oleh PEMANDU. Dengan tidak menafikan sama sekali hakikat tersebut, permasalahan utama ekonomi negara sebenarnya lebih daripada itu.

Hakikatnya, ekonomi bermasalah yang sedang dihadapi ini adalah dampak daripada salah-urus ekonomi oleh kerajaan BN khususnya selepas dekad 1980 an. Permasalahan yang timbul bukan sekadar seperti yang dibimbangkan oleh PEMANDU tetapi keruntuhan sendi-sendi utama yang menyokong pembangunan ekonomi termasuklah aspek pertahanan ekonomi yang diabaikan seperti jaminan keselamatan bekalan makanan (food security), aspek keadilan ekonomi seperti agihan kekayaan negara yang saksama, aspek kemandirian ekonomi seperti penjanaan sektor domestik yang mapan dan aspek tadbir-urus ekonomi seperti kewujudan sistem semak dan imbang demi mengatasi ketirisan. Keruntuhan sendi-sendi utama ini menyebabkan kita masih bergelut dengan masalah-masalah berikut:

a. Jurang antara Kaya dan Miskin yang Semakin Melebar
Menurut Laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tentang Pembangunan Manusia (UNHDP) pada tahun 2004, jurang pendapatan antara golongan kaya dan golongan miskin adalah yang terburuk di Asia Tenggara dan antara yang terburuk di Asia. Dilaporkan juga bahawa 10% golongan terkaya di Malaysia menguasai 38.4% pendapatan ekonomi Negara. Dilihat dari segi pendapatan, seperti yang dilaporkan baru-baru ini, 40% daripada pendapatan isirumah di Malaysia berada di bawah RM 1500.00 dan 60% berada di bawah RM 3000.00. Penyakit yang telah sedia wujud semenjak merdeka ini sebenarnya semakin parah.

b. Jurang Pembangunan antara Wilayah yang Tidak Seimbang
Selepas merdeka dan pembentukan Malaysia, negara kita menghadapi masalah ketidakseimbangan dalam pembangunan antara wilayah, antara Bandar dan luar Bandar, antara pantai barat Semenanjung dan pantai Timur serta antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur. Semasa era pemerintahan Perdana Menteri kedua, usaha-usaha telah diambil untuk mengurangkan jurang perbezaan ini dengan program Pembangunan Wilayah, Perbandaran Luar Bandar dan lain-lain. Bagaimanapun, selepas era itu tidak kelihatan usaha yang jelas untuk mengurangkan jurang ini. Bandar-bandar utama seperti di Lembah Kelang, Johor Bahru dan Georgetown terus mengalami proses urbanisasi yang begitu pesat sedangkan kawasan-kawasan luar Bandar terus tertinggal.

c. Daya Ketahanan Ekonomi yang Rapuh
Sektor pertanian atau lebih khusus pengeluaran makanan negara masih belum menampung keperluan sendiri. Seperti yang dimaklumi, sektor ini merupakan pertahanan yang terpenting kepada ekonomi negara khususnya ketika menghadapi saat-saat getir kegawatan ekonomi. Masyarakat Malaysia sentiasa terdedah dengan turun naik harga barangan makanan dunia disebabkan kebergantungan kepada negara lain. Dari segi pengeluaran beras, sehingga hari ini Malaysia belumpun mencapai sasaran 70% pengeluaran beras tempatan, manakala komoditi makanan yang lain seperti perikanan dan penternakan peratus kebergantungan kepada import masih begitu tinggi.

d. Ketirisan Perbelanjaan Awam
Gejala penyalahgunaan kuasa dan rasuah merupakan antara penyakit ekonomi yang begitu parah di negara ini. Menurut Laporan Ketua Audit Negara yang terbaru, sebanyak RM 28 bilion telah tiris dalam perbelanjaan dana awam, manakala menurut Brain Wain pula sebanyak RM 340 bilion ketirisan berlaku sepanjang pemerintahan Dr Mahathir Mohammad. Baru-baru ini negara dikejutkan lagi dengan laporan Global Financial Integrity (GFI) yang mendakwa sebanyak RM 889 bilion wang haram telah mengalir keluar dalam tempoh lapan tahun antara 2000 hingga 2008. Ketirisan seperti ini bukan sahaja merugikan negara dan rakyat, tetapi juga mengurangkan daya saing Malaysia untuk menarik pelaburan.

e. Peningkatan Berterusan Kos Hidup
Menurut laporan majalah International Living tahun 2010 kos hidup[1] di Malaysia berada pada kedudukan ke 21 paling tinggi di dunia, lebih baik daripada kedudukan pada tahun 2009 di kedudukan ke 13. Kenaikan mendadak barang-barang keperluan termasuk harga rumah, akan menjadikan kos hidup rakyat semakin tinggi sedangkan pertambahan pendapatan agak perlahan. Dilaporkan, buat masa ini 50% hingga 60% pendapatan rakyat Malaysia digunakan untuk membeli makanan dan peratusan ini boleh mencapai 80% dengan kenaikan barangan yang berterusan. Situasi ini menyebabkan sebahagian besar pendapatan bulanan dihabiskan untuk menampung kehidupan dan simpanan isi rumah di Malaysia sangat terbatas.

Sebenarnya keruntuhan sendi-sendi utama inilah yang telah menyebabkan ekonomi negara kita hari ini bermasalah. Malangnya dalam Model Ekonomi Baru (MEB) yang menjadi agenda terpenting Perdana Menteri hari ini termasuklah cadangan yang dikemukakan oleh PEMANDU berkaitan rasionalisasi subsidi, tidak dilihat adanya satu mekanisme yang berkesan untuk menangani masalah utama ini. Cadangan rasionalisasi subsidi ini dilihat bertujuan untuk mewujudkan perbelanjaan kerajaan yang berhemah, sedangkan pembaziran yang lebih besar bukan disebabkan oleh subsidi kepada rakyat teramai tetapi subsidi yang tidak perlu kepada syarikat seperti IPP dan juga subsidi yang mempunyai kepentingan parti pemerintah.

Sepertimana yang dilaporkan bahawa kerajaan telah memperuntukan sejumlah RM 74 billion setahun dengan pecahan RM 42.4 billion untuk subsidi sosial, RM 23.5 billion subsidi tenaga/bahanapi, RM 4.8 billion subsidi infrastruktur dan RM 3.4 billion subsidi untuk makanan. Kemanakah sebenarnya disalurkan RM 42.4 billion subsidi sosial dan RM 23.5 billion subsidi tenaga/bahanapi, iaitu 89% daripada peruntukan subsidi yang disediakan. Rasional PEMANDU yang menyatakan subsidi telah diagihkan kepada golongan sasar yang kurang tepat sebenarnya begitu mengelirukan dan boleh dipertikaikan, kerana tidak menggambarkan secara terperinci siapakah sebenarnya mendapat manfaat.

PEMANDU telah mengkategorikan penerima subsidi kerajaan kepada pelajar (RM 30.8 billion), pengguna (RM 22.9 billion), syarikat (RM 18 billion), miskin (RM 1.8 billion), petani/nelayan (RM 0.2 billion) dan lain-lain (RM 0.4 billion). Sekiranya disandarkan kepada kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air peruntukan subsidi kepada IPP adalah RM 19 billion, bermakna peruntukan ini tidak dimasukkan ke dalam peruntukan subsidi untuk syarikat yang berjumlah RM 18 billion. Jika demikian adakah peruntukan subsidi ini dikategorikan di bawah subsidi pengguna? Demikian juga kategori miskin dan petani/nelayan, bukankah mereka juga termasuk dalam kategori pengguna? Sebenarnya kategori golongan sasar PEMANDU ini tidak terperinci dan mengelirukan.

Perbelanjaan sebenar subsidi yang diperuntukkan oleh kerajaan tidak begitu jelas malah seperti menyembunyikan sesuatu. Sebagai contoh RM 42.4 billion untuk subsidi sosial, adakah turut melibatkan peruntukan untuk program PLKN yang dijangkakan akan meningkat ke RM 3 billion sekiranya pelatih mencapai 500 ribu?, sedangkan sehingga kini program PLKN ini lebih dilihat mempunyai kepentingan BN sebagai parti memerintah. Perincian untuk subsidi sosial perlu dikemukakan supaya dapat diketahui siapakan yang sebenarnya mendapat manfaat daripada subsidi ini. Sebagaimana juga peruntukan subsidi tenaga/bahanapi berjumlah RM 23.5 billion, yang sebenarnya dinikmati sebahagian besarnya oleh syarikat IPP iaitu sebanyak RM 19 billion.

Tanpa penjelasan yang terperinci tentang ke manakah peruntukan subsidi itu disalurkan, rasionalisasi subsidi seperti yang dicadangkan oleh PEMANDU boleh menjadi tidak rasional, malah boleh memburukkan permasalahan ekonomi yang sedang dihadapi. Sehingga kini pelaksanaan rasionalisasi subsidi lebih dibebankan kepada rakyat teramai seperti pemotongan subsidi gula, pemotongan subsidi bahan-bahan petroleum, pemotongan subsidi minyak masak, pemotongan subsidi tepung dan lain-lain. Selepas ini rakyat teramai juga akan menghadapi pelaksanaan GST yang dikenakan ke atas setiap orang, sedangkan akar-umbi masalah ekonomi yang sebenarnya tidak diselesaikan.

[1] Kos hidup ini diukur berdasarkan berapakah jumlah kos yang diperlukan untuk mencapai gaya hidup piawai (atau lebih baik) seperti yang dinikmati di Amerika Syarikat. Sumber data ini diperolehi daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat berkaitan Indeks Kos Hidup Luar Legara yang menentukan berapakan jumlah elaun kos hidup yang diperuntukan untuk menampung gaya hidup barat di beberapa negara.