Friday, August 27, 2010

Bukan Islam Masuk Masjid: Siapa yang Jahil?

Persoalan berkaitan dengan hukum golongan bukan Islam masuk ke masjid bukan sekadar telah dibincangkan panjang lebar oleh para fuqaha Islam di dalam kitab-kitab Fiqh, bahkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1 Mac 2010 sendiri telah mengeluarkan fatwa seperti berikut:

"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang."

Berdasarkan fatwa tersebut maka seseorang bukan Islam harus masuk dengan keizinan pengurusan masjid atau surau dengan berpakaian sopan. Demikian toleransi yang terdapat dalam Islam tidak seperti yang difahami oleh mereka yang berfahaman nasionalis.

Menyedari telah adanya fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, maka kenyataan Pengarah JAIS berhubung seorang wakil rakyat bukan Islam masuk ke sebuah surau di Serdang menyerlahkan kejahilannya berhubung dengan hukum-hakam Islam. Mungkin juga tindakan beliau menghalang wakil rakyat bukan Islam itu lebih bermotifkan politik. Jika demikian, beliau sepatutnya tidak menggunakan platform JAIS itu untuk tujuan politik sempit, apalagi menyalahi ketetapan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.