Friday, March 28, 2008

Wajah Baru Politik Malaysia

Pilihanraya Umum (PRU) ke-12 baru-baru ini benar-benar telah mengejutkan banyak pihak sama ada golongan ahli politik ataupun pemerhati politik. Secara sensasinya PRU tersebut memperlihatkan kejatuhan beberapa buah negeri kepada PAS, PKR dan DAP di samping BN tidak lagi memperolehi majoriti dua pertiga di peringkat pusat. Namun jika diteliti, secara hakikinya senario dan landskap politik di Malaysia sedang berubah kepada wajah yang baru. Perubahan itu boleh dilihat berdasarkan pemerhatian berikut:

a. Corak politik perkauman yang diwarisi oleh Malaysia daripada dasar pecah dan perintah penjajah British telah beralih kepada politik ideologi. Sepanjang 50 tahun selepas merdeka Perikatan atau Barisan Nasional banyak mendapat manfaat daripada corak politik perkauman ini. Dengan adanya sentimen perkauman yang kuat, maka parti yang berjaya menemukan (toleransi) tuntutan perkauman ini akan terus releven. Sebaliknya dalam PRU ke-12 rakyat mulai dilihat untuk tidak terikat kepada sentimen politik perkauman, sehingga ada kaum mengundi parti yang sebelum ini tidak mungkin diundi oleh mereka.

b. Tanggapan yang menyatakan bahawa BN atau UMNO tidak mungkin dikalahkan khususnya di negeri-negeri Pantai Barat telah tinggal bahan sejarah. PRU ke-12 telah membuktikan bahawa kemungkinan untuk mana-mana parti memperolehi mandat rakyat tetap wujud. Malah sekiranya pintu demokrasi dibuka dengan saksama seperti hak liputan media yang adil, kemungkinan untuk berlakunya perubahan yang lebih menyeluruh adalah tinggi. Fenomena ini sebenarnya bertepatan dengan firman Allah swt dalam surah Ali Imran, bahawa Allah lah yang berkuasa memberi dan mencabut pemerintahan daripada sesiapa yang dikehendaki.

c. Golongan pertengahan rakyat Malaysia khususnya yang berada di bandar-bandar telah mula menjadi faktor penentu yang aktif dalam politik Malaysia. Sebelum ini faktor penentu yang aktif ialah golongan bawahan rakyat yang begitu mudah digula-gulakan dengan pembangunan. Bagaimanapun perkembangan sosial dan ekonomi negara telah melebarkan kewujudan golongan pertengahan sehingga menjadi seumpama 'struktur bawang'. Masyarakat yang berstruktur bawang ini merupakan satu lonjakan baru untuk mencapai tahap minda politik kelas pertama bagi negara membangun seperti Malaysia.

d. Pihak Istana kembali memainkan peranan yang penting dalam sistem pemisahan kuasa di Malaysia. Peruntukan perlembagaan negara dan negeri dalam perlantikan Perdana Menteri dan Menteri Besar merupakan salah satu kaedah melaksanakan sistem pemisahan kuasa tersebut. Sebagaimana kes perlantikan MB di Perlis dan Terengganu, pihak Istana telah bertindak mengikut budibicara yang diperuntukkan oleh perlembagaan. Peristiwa ini menunjukkan bahawa Raja-raja Melayu kembali berperanan dalam politik negara bagi mengimbangi kuasa uniliteral BN.