Friday, April 06, 2012

Bertemu Abah di dalam Mimpi

Esok genaplah dua tahun pemergian Abah yang kembali menemui Allah s.w.t. pada 7 April 2010 yang lalu. Kali pertama bermimpi bertemu Abah beberapa minggu selepas pemergiannya. Dalam mimpi tersebut, aku melihat jenazah Abah di dalam kuburnya masih dalam keadaan elok meskipun selepas beberapa minggu pengebumiannya. Cuma ada sedikit kesan terbakar berhampiran siku kanannya, membuatkan aku tertanya mengapa demikian? Secara tiba-tiba aku teringat keluhan Abah yang menyatakan duit elaun Imam masih dimasukkan ke akaunnya walaupun beliau telah lama meletakkan jawatan disebabkan faktor kesihatan. Duit elaun Imam terus terkumpul untuk beberapa bulan walaupun beliau telah memaklumkan kepada Pejabat Agama Islam Daerah Slim River supaya menghentikan pembayaran tersebut. Perkara itu terus diuruskan oleh kakakku bimbang kalau-kalau tidak diuruskan segera ia akan terus menjadi hutang kepada simati.

Malam tadi, aku bermimpi lagi berjumpa Abah dikuburnya. Kali ini kuburnya tersingkap disebabkan oleh satu kejadian bencana alam yang aku tidak begitu pasti. Ketika aku menjenguk ke dalam kubur tersebut papan yang menutup lahadnya turut terbongkar. Dengan jelas terlihatlah jenazah Abah dalam lahad tersebut. Kain kapan yang membaluti tubuh Abah telah reput dan tercarik sana sini di sebabkan hampir dua tahun berlalu. Tetapi alangkah terkejutnya aku, jenazah Abah masih elok dan segar. Kain kapan yang menutup bahagian wajahnya juga telah terkoyak sehingga memperlihatkan wajahnya yang tenang, seperti seorang yang sedang tidur. Kulit tubuhnya juga putih kemerahan seperti seorang yang masih bernyawa. Aku terus mengucap "Subhanallah" melihat keagungan ALlah dalam memuliakan hambaNya sehingga air mataku bercucuran. Dalam esakan tangisan itu akupun mengucap "Assalamualaykum Abah", tiba-tiba Abah yang dalam keadaan seperti seorang tidur itu menjawab "Waalaykum Salam" sambil tersenyum.

Mimpi tersebut tiba-tiba hilang dalam lenaan tidurku. Bila aku bangun diwaktu pagi, selesai menunaikan solat Subuh memori dalam mimpi malam tadi dapat kuingati satu persatu, lalu aku nukilkan di sini sebagai satu kenangan indah bersama Abah. Aku tidak putus-putus berdoa untuk Abah terutama semasa menunaikan fardu haji tahun lalu. Kesibukanku kadang-kadang membuatkan aku hanya sempat bertahlil di dalam kereta semasa ke pejabat atau ke tempat-tempat program dan mesyuarat. Ingatanku kepada Abah akan menjadi semakin kuat setiapkali selepas aku menyampaikan kuliah Maghrib, kerana aku selalu menganggap Abahlah yang telah mendidik aku sepertimana aku yang ada pada hari ini. Esok genaplah dua tahun pemergian Abah, aku sentiasa mendoakan semoga Abah dimuliakan oleh ALlah dan ditempatkan bersama para Nabi, Siddiqin, Shuhada' dan Solehin. Dan aku selalu membaca doa ini "Ya Allah, jadikan kubur Abahku salah satu taman dari taman-taman syurga, janganlah Engkau jadikan kuburnya satu lubang daripada lubang-lubang neraka". Al-Fatihah.

Thursday, April 05, 2012

PTPTN Boleh Dimansuh Jika Ada Kemahuan Politik

Pusat Penyelidikan PAS (PPP) berpandangan pinjaman pendidikan PTPTN boleh dimansuhkan sekiranya ada kemahuan politik (political will) yang kuat oleh parti yang memerintah. Sehubungan dengan itu, cadangan Pakatan Rakyat (PR) untuk memansuhkan PTPTN bukanlah janji politik yang populis dan tidak dapat dicapai. Malah, PPP melihat perlaksanaan PTPTN telah menyebabkan rakyat Malaysia semakin terhimpit dengan hutang sekaligus mengurangkan kuasa beli mereka. Pinjaman pendidikan PTPTN juga akan melebarkan lagi jurang kaya-miskin yang telah sedia buruk di Malaysia, di samping meningkatkan jumlah golongan muflis di waktu usia muda. Oleh sebab itu, dari segi jangka panjang, situasi-situasi yang timbul akibat pelaksanaan PTPTN ini boleh menjejaskan ekonomi negara.

Cadangan PR untuk memansuhkan PTPTN bukanlah sesuatu yang mustahil. Dalam konteks ini, PPP telah mengenalpasti beberapa kaedah yang boleh dilaksanakan sekiranya PR berjaya menubuhkan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihanraya Umum ke-13. Salah satu kaedah yang boleh dilaksanakan untuk memansuhkan PTPTN ialah dengan memberikan pendidikan percuma sehingga ke peringkat pendidikan tertiari di institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Sebenarnya, pendidikan percuma di peringkat tertiari ini semakin menjadi trend yang diikuti oleh kebanyakan negara-negara di dunia termasuklah negara-negara membangun. Beberapa negara yang telah memperkenalkan pendidikan percuma di peringkat tertiari ini ialah Argentina, Brazil, Cuba, Mauritius, Malta, Kenya, Morroco, Libya, Sri lanka dan lain-lain, selain daripada beberapa negara Eropah.

Perlaksanaan pendidikan percuma di peringkat tertiari ini bermaksud memberi yuran pengajian percuma kepada pelajar-pelajar IPTA dari peringkat ijazah Sarjana Muda atau mungkin juga boleh dilanjutkan ke peringkat Master atau PhD. Pemberian yuran pengajian percuma kepada pelajar-pelajar Sarjana Muda di IPTA tempatan sebenarnya memerlukan peruntukan tambahan sekitar hanya RM 450 - 500 juta setahun. Berdasarkan jumlah kemasukan pelajar-pelajar Sarjana Muda ke IPTA-IPTA tempatan pada tahun 2011 yang berjumlah 61228 orang, maka anggaran keseluruhan pelajar-pelajar Sarjana Muda di seluruh IPTA pada tahun tertentu ialah sekitar 180000 orang. Dengan mengambil kira jumlah yuran pengajian yang berbeza mengikut bidang pengajian masing-masing dan juga yuran mengikut universiti, anggaran purata yuran pengajian yang perlu dibayar oleh setiap pelajar IPTA ialah RM 2500 setahun. Oleh sebab itu, jumlah keseluruhan yuran pengajian yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan ke atas 180000 orang pelajar Sarjana Muda bagi tempoh setahun ialah sekitar RM 450 juta.

Peruntukan tambahan RM 450 – 500 juta setahun untuk melaksanakan pendidikan percuma di peringkat tertiari ini jauh lebih rendah daripada peruntukan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang berjumlah RM 759.9 juta pada tahun 2011. Tidak dapat dinafikan bahawa menerapkan semangat patriotism terhadap negara, pembinaan sahsiah yang baik, memupuk perpaduan di kalangan generasi muda dan lain-lain objektif yang disasarkan oleh pelaksanaan PLKN adalah penting kepada masa depan negara. Bagaimanapun, kesemua objektif ini sepatutnya boleh dicapai melalui sistem pendidikan negara yang selalu dilaungkan oleh pimpinan kerajaan hari ini sebagai antara yang terbaik di dunia. Dengan unjuran perbelanjaan PLKN akan melebihi RM 1 billion pada masa hadapan, sewajarnya program ini dikaji semula sekiranya PR memerintah, dan jumlah peruntukan tersebut akan dapat menampung pemberian pendidikan percuma di peringkat tertiari yang dilihat lebih bermanfaat.

Selain daripada itu, kerajaan PR akan datang juga perlu mengkaji keperluan untuk menghantar pelajar-pelajar ke luar negara yang menelan belanja hampir RM 1.5 billion setahun. Jumlah peruntukan ini adalah begitu besar yang sepatutnya boleh digunakan untuk membiayai lebih ramai pelajar di peringkat tertiari. Penghantaran pelajar-pelajar ke luar negara perlu dikurangkan dengan memberi tumpuan hanya kepada bidang-bidang yang benar-benar diperlukan dan juga kepada pelajar-pelajar ijazah lanjutan. Dengan mengurangkan separuh sahaja peruntukan menghantar pelajar-pelajar ke luar negara kepada RM 750 juta, kerajaan PR sebenarnya boleh menambah lebih sekali ganda jumlah pelajar-pelajar yang boleh diberi pendidikan percuma di peringkat tertiari berbanding hanya kepada 180000 orang pada hari ini. Menyedari hakikat tersebut, langkah mengkaji semula penghantaran pelajar-pelajar ke luar negara akan membuka ruang yang lebih besar untuk melaksanakan pendidikan percuma di peringkat tertiari dalam negara ini.

Dengan melaksanakan pendidikan percuma di peringkat tertiari ini, keperluan pelajar terhadap pinjaman PTPTN tidak lagi diperlukan, justeru ia boleh dimansuhkan. Bagi menampung kos hidup pelajar-pelajar di peringkat pendidikan tertiari pula, PPP berpandangan skim tabungan jangka panjang seperti Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) perlu diteruskan dan dikembangkan lagi. Instrumen-instrumen sokongan seperti dermasiswa, biasiswa dan bantuan zakat sama ada dari kerajaan, syarikat, individu dan badan-badan amal yang bertujuan untuk membiayai kos hidup golongan pelajar yang miskin dan tidak berkemampuan juga perlu diteruskan dan digalakkan. Melalui kaedah-kaedah ini, pelajar-pelajar tidak lagi memerlukan pinjaman PTPTN kerana mereka tidak lagi perlu membayar yuran pengajian, manakala kos hidup mereka sewaktu belajar pula boleh dibiayai melalui instrumen-instrumen tersebut.

Selain daripada itu, kerajaan PR akan datang juga perlu mempertimbangkan satu sistem pengajian yang lebih fleksibel untuk memberikan ruang selesa kepada pelajar-pelajar peringkat pendidikan tinggi untuk bekerja sambilan bagi membiayai kos hidup mereka. Sebenarnya banyak kajian yang telah dilakukan termasuk di Malaysia tentang baik-buruknya pelajar-pelajar bekerja sambilan sewaktu dalam pengajian tinggi mereka. Oleh kerana itu, kerajaan PR akan datang perlu memberi perhatian serius untuk mengkaji perkara ini kerana dengan penglibatan pelajar-pelajar universiti dalam sektor pekerjaan sambilan sebenarnya turut memberi kesan positif kepada pengurangan jumlah pekerja-pekerja asing di samping mengurangkan bebanan ibu-bapa yang terpaksa menanggung anak-anak mereka walaupun setelah berumur lebih daripada 18 tahun.

Berdasarkan kepada beberapa perkara tersebut, PPP berkeyakinan pemansuhan PTPTN bukanlah satu agenda populis PR sebaliknya sesuatu yang boleh dilaksanakan dengan adanya kemahuan politik yang kuat.