Saturday, December 10, 2011

Khilaf Ulama tentang Menyapu Muka Selepas Salam (2)

Manakala al-Tabarani turut meriwayatkannya dengan matan yang hampir sama dalam kitab al-Du`a’ beliau sebagaimana berikut:

حَدَّثَنَا بَكْرُ بْنُ سَهْلٍ الدِّمْيَاطِيُّ ، ثنا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ صَالِحٍ ، حَدَّثَنِي كَثِيرُ بْنُ سُلَيْمٍ ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا صَلَّى وَفَرَغَ مِنْ صَلاتِهِ مَسَحَ بِيَمِينِهِ عَلَى رَأْسِهِ ، وَقَالَ : " بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لا إِلَهَ غَيْرُهُ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ، اللَّهُمَّ أَذْهِبْ عَنِّي الْهَمَّ وَالْحَزَنَ "

Malah beliau turut meriwayatkan sekurang-kurangnya tiga lagi hadith seumpama ini dengan sanad-sanad yang berlainan di dalam kitab al-Du`a’ dan kitab Mu`jam al-Awsat nya. Dalam riwayat-riwayat al-Tabarani terdapat rawi yang bernama Kathir bin Sulaym dan Salam bin Sulaym yang telah dinilai oleh para ulama Rijal al-Hadith seperti yang dinyatakan sebelum ini. Oleh kerana kedua rawi tersebut, riwayat-riwayat daripada al-Tabarani tentang menyapu muka ini juga dikatakan daif. Selain daripada riwayat-riwayat Ibn al-Sunni, Abu Nu`aym, al-Khatib al-Baghdadi dan al-Tabarani, terdapat lagi riwayat-riwayat yang lain dengan matan yang hampir sama oleh Abu Ahmad al-Jurjani, Yahya bin al-Husayn al-Jurjani, Ibn Sam`un dan lain-lain lagi. Dengan pengertian lain, walaupun riwayat-riwayat itu dikatakan daif riwayat-riwayat tersebut saling memperkukuhkan dengan adanya kepelbagaian jalannya (turuq).

Selain daripada riwayat-riwayat di atas terdapat riwayat yang mempunyai matan yang agak berbeza sedikit iaitu seperti yang diriwayatkan oleh Abu Nu`aym dalam kitabnya Akhbar Asbahan sepertimana berikut:

ثنا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ حَمَّادٍ الطِّهْرَانِيُّ ، ثنا الْحَسَنُ بْنُ يَزِيدَ الْجَصَّاصُ ، ثنا دَاوُدُ بْنُ الْمُحَبَّر ، ثنا الْعَبَّاسُ بْنُ رَزِينٍ السُّلَمِيُّ ، عَنْ جُلاسِ بْنِ عَمْرٍو ، عَنْ ثَابِتٍ الْبُنَانِيِّ ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ ، قَالَ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا قَضَى صَلاتَهُ مَسَحَ جَبْهَتَهُ بِكَفِّهِ الْيُمْنَى ، ثُمَّ أَمَرَّهَا عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى يَأْتِيَ بِهَا عَلَى لِحْيَتِهِ وَيَقُولُ : " بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لا إِلَهَ إِلا هُوَ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ ، اللَّهُمَّ أَذْهِبْ عَنِّي الْغَمَّ وَالْحَزَنَ وَالْهَمَّ ، اللَّهُمَّ بِحَمْدِكَ انْصَرَفْتُ وَبِذَنْبِي اعْتَرَفْتُ ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا اقْتَرَفْتُ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ بَلاءِ الدُّنْيَا وَمِنْ عَذَابِ الآخِرَةِ "

Di dalam riwayat ini disebut Rasulullah s.a.w menyapu dahi kemudian seluruh muka hingga ke janggut baginda, kemudian membaca doa yang lebih panjang daripada riwayat-riwayat yang lain sebelum ini. Bagaimanapun di dalam sanad riwayat ini terdapat seorang rawi bernama Dawud bin al-Muhabbar yang dinilai daif oleh kebanyakan ulama, malah menurut al-Albani beliau adalah pereka hadith. Menurut Imam Ahmad dan Imam al-Bukhari, Dawud ini tiada pengetahuan tentang hadith, manakala menurut Abu Hatim al-Razi dan al-Nasai beliau daif dan tidak thiqah. Menurut Abu Dawud, beliau thiqah tapi hampir lemah. Menurut Ibn Hajar al-Asqalani pernah ditanya kepada bapanya al-Muhabbar tentang anaknya, menurut bapanya Dawud asalnya adalah thiqah (dipercayai) tetapi beliau banyak melupai hadith dan hidup secara memencilkan diri. Menurut Yahya bin Main dan Abu Ahmad al-Jurjani, beliau banyak melakukan kesalahan-kesalahan sedangkan asalnya beliau dipercayai. Berdasarkan penilaian terhadap Dawud, maka riwayat ini dinilai daif oleh para ulama hadith, malah menurut al-Albani hadith ini adalah hadith palsu.

Dan akhir sekali, dikemukakan juga riwayat Zubayr bin `Adi al-Hamdani (d. 131 h) seperti yang terdapat dalam Nuskhah Zubayr bin `Adi iaitu sebuah tulisan yang disandarkan penulisnya kepada Zubayr bin `Adi. Naskhah ini diperdebatkan sama ada benar-benar dihasilkan oleh Zubayr bin `Adi atau ditulis secara palsu atas namanya. Zubayr bin `Adi al-Hamdani juga seorang daripada generasi tabiin yang sangat dipercayai. Beliau dikatakan berguru kepada Anas bin Malik dan para sahabat yang lain. Riwayat daripada Zubayr bin `Adi ini menyebut Rasulullah s.a.w. menyapu mukanya bukan kepala atau dahi baginda. Bagaimanapun riwayat tentang hadith sapu muka selepas solat sepertimana di dalam Nuskhah Zubayr bin Adi ini dipertikaikan kerana terdapat di dalam sanadnya rawi bernama Bishir bin al-Husayn al-Hilali, iaitu orang yang diperolehi daripadanya naskah asal kitab ini. Beliau didaifkan oleh para ulama Rijal al-Hadith dan bagi al-Albani pula beliau adalah penipu dan memalsukan hadith. Bishir bin `Adi didakwa menulis Nuskhah Zubayr bin `Adi lalu menyandarkan secara palsu kepada Zubayr bin `Adi. Bagaimanapun Imam al-Bukhari memberi pandangan yang berbeza dengan menyatakan bahawa Bishir adalah sahabat Zubayr bin Adi, dan bagi al-Bukhari ada perhatian terhadapnya.

Penilaian terhadap Dalil-dalil Tersebut

Seperti yang disebut sebelum ini, walaupun riwayat-riwayat yang dikemukakan di atas dikatakan daif tetapi disebabkan banyaknya riwayat-riwayat tersebut dengan kepelbagaian jalannya (turuq), maka kemungkinan diangkat ke hadith hasan li ghayrihi tetap ada. Dengan sebab itu, para ulama mazhab Shafi`e yang terkemudian seperti al-Haythami, al-San`ani dan lain-lain berpegang dengan hadith-hadith ini sebagai hujah dalam menentukan hukum sunat kepada amalan menyapu muka selepas solat. Dengan tidak menafikan bahawa mengangkat taraf sesebuah riwayat yang daif kepada hasan li ghayrihi, mempunyai syarat-syarat yang ketat antaranya riwayat itu tidak terlalu daif atau maudu`, namun demikian para ulama berbeza pendirian tentang kelemahan riwayat-riwayat ini. Mereka yang cenderung kepada Ibn Taymiyah khususnya yang mutakhir ini al-Albani telah menilai riwayat-riwayat ini dengan begitu ketat sehingga ke peringkat riwayat maudu`. Terdapat pandangan-pandangan yang lain yang tidak melihat riwayat-riwayat tersebut sebagaimana penilaian al-Albani, justeru penilaian al-Albani tidak boleh dianggap sebagai qawl yang muktamad.

Lebih daripada itu, terdapat satu lagi riwayat yang sampai kepada Amru bin Qays yang diterima thiqah kesemua rawi-rawinya. Hadith tersebut adalah seperti berikut:

ثنا عَمَّارُ بْنُ خَالِدٍ ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ يَزِيدَ ، عَنْ عَنْبَسَةَ بْنِ عَبْدِ الْوَاحِدِ الْوَاسِطِيِّ ، عَنْ عَمْرِو بْنِ قَيْسٍ ، قَالَ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلاتِهِ مَسَحَ جَبْهَتَهُ بِيَدِهِ الْيُمْنَى ، وَقَالَ : " بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لا إِلَهَ إِلا هُوَ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ، اللَّهُمَّ أَذْهِبْ عَنِّيَ الْهَمَّ وَالْحَزَنَ

Kesemua rawi-rawinya diperakui thiqah iaitu Aslam bin Sahl dari Ammar bin Khalid dari Muhammad bin Yazid dari Anbasah bin Abd al-Wahid al-Wasiti dari Amru bin Qays. Saya terbaca satu tulisan yang menyatakan Anbasah bin Abd al-Wahid adalah seorang yang tidak dikenali. Pandangan ini adalah batil kerana beliau disebut oleh Abu Hatim, Abu Dawud, Abu Zur'ah, Imam Ahmad, Ibn Hajar al-Asqalani, al-Dhahabi, Yahya bin Main dan lain-lain sebagai seorang yang thiqah. Oleh sebab itu, diperakui kesemua rawinya adalah thiqah atau dipercayai. Cuma hadith ini jaluran sanadnya sampai kepada Amru bin Qays seorang tabiin. Amru bin Qays ini dalam riwayat ini adalah merujuk kepada Amru bin Qays al-Malai bukannya Amru bin Qays bin Yassir bin Amru. Kedua-dua mereka adalah dari Kuffah dan diyakini thiqahnya. Amru bin Qays bin Yassir bin Amru adalah cucu kepada Yassin bin Amru r.a. seorang sahabat. Kalaupun hadith ini disandarkan padanya, ia adalah thiqah kerana Amru bin Qays menerima hadith dari bapanya dan kemudian datuknya. Bagaimanapun Amru bin Qays dalam hadith ini sebenarnya merujuk kepada Amru bin Qays al-Malai.

Beliau adalah seorang yang thiqah dan muttaqin sebagaimana menurut Ibn Hajar al-Asqalani, diperakui sebagai guru yang thiqah oleh al-Thawri dan diperakui kethiqahannya oleh lain-lain seperti Yahya Ibn Main, Imam Ahmad bin Hanbal, al-Nasai dan Abu Hatim al-Razi. Ringkasnya beliau diperakui sebagai sorang tabiin yang soleh, muttaqin, `abid dan thiqah. Kalau begitu hadith riwayat dari Amru bin Qays ini adalah hadith mursal yang diterima kehujahannya oleh mazhab Maliki, Hanbali dan dengan syarat-syarat tertentu dalam mazhab Shafie. Hampir tidak mungkin Amru bin Qays mencipta hadith itu dengan mendakwanya daripada Rasulullah s.a.w., cuma dalam riwayat ini beliau tidak menyebut daripada siapa diriwayatkannya. Pada pandangan saya, kemungkinan riwayat ini disandarkan kepada Anas bin Malik adalah besar kerana Amru bin Qays berguru dengan seorang lagi tabiin yang besar iaitu al-Hur bin al-Sabah yang merupakan murid Anas bin Malik. Kedua-dua Amru dan al-Hur pula tinggal di Kuffah. Jadi hadith ini dinilai sebagai hadith mursal yang kuat, dan boleh dijadikan sandaran hukum sebagaimana pandangan para imam-imam mazhab, apalagi ada riwayat-riwayat lain yang seumpamanya daripada jalan-jalan yang banyak walaupun dikatakan daif.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada huraian terhadap riwayat-riwayat yang pelbagai seperti yang disebutkan di atas terutamanya riwayat daripada Amru bin Qays, maka tidak boleh diperlekehkan mentah-mentah hujah dan dalil tentang amalan menyapu muka selepas solat. Belum lagi diperbahaskan hadith-hadith menyapu muka selepas berdoa yang turut dijadikan hujah tambahan bagi golongan yang berpegang kepada sunatnya amalan menyapu muka selepas solat, kerana bagi mereka solat juga adalah doa. Kesimpulannya perkara ini termasuk dalam persoalan khilafiah yang masing-masing mempunyai sandaran dalil tersendiri. Pandangan seseorang ulama apalagi ulama mutakhir seperti al-Albani tidak boleh dianggap muktamad sehingga menafikan pandangan-pandangan yang lain, apalagi para ulama yang terdahulu. Wallahua'lam

Thursday, December 08, 2011

Khilaf Ulama tentang Menyapu Muka Selepas Salam (1)

Pendahuluan

Seperti yang dimaklumi, persoalan berkaitan dengan menyapu muka selepas solat ini adalah merupakan perkara khilaf yang telah dibahaskan oleh para ulama sejak zaman berzaman. Disebabkan persoalan ini termasuk dalam perkara khilaf, seseorang Muslim sepatutnya berlapang dada berhadapan dengan mereka yang tidak sependapat dengannya. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini persoalan-persoalan seumpama ini dijadikan medan untuk memperlekehkan pandangan pihak yang lain dan lebih malang lagi dijadikan ruang untuk mempertikaikan pandangan ulama-ulama muktabar yang tidak sealiran dengan mereka.

Adab-adab Dalam Persoalan Khilaf

Bila berhadapan dengan persoalan khilaf termasuk persoalan menyapu muka selepas solat, adab para ulama yang berikhtilaf, mereka tidak mencerca dan menyindir pandangan ulama lain yang tidak sealiran dengan mereka. Mereka akan bersungguh-sungguh menegakkan hujah mereka, tetapi kemudiannya merendah diri daripada mendakwa pandangan mereka yang paling rajih. Kita tidak pernah mendengar para ulama muktabar, sebagai contohnya yang tidak setuju dengan hukum sunat menyapu muka selepas solat mencerca dan menyindir pandangan tersebut dengan pelbagai kata cercaan dan sindiran. Maka demikianlah seharusnya golongan awam, sepatutnya pada persoalan khilaf kita berlapang dada, kita berpegang pada pandangan yang kita yakini dan tidak mengutuk pegangan pihak lain yang juga bersandarkan hujah shari`e.

Berhubung dengan hadith menyapu muka selepas solat seperti yang selalu dipetik daripada Imam al-Nawawi dalam al-Azkar, sebenarnya selain daripada Ibn al-Sunni, hadith ini turut juga diriwayatkan dengan pelbagai matan dan jalan (turuq) oleh al-Hamdani (d. 131 h), Aslam ibn Sahl (d. 292 h), al-Tabarani (d. 360 h), Abu Nu`aym (d. 430 h), al-Khatib al-Baghdadi (d. 463 h) dan lain-lain. Para ulama mempunyai pendirian berbeza tentang hadith-hadith ini, justeru dalil-dalil ini termasuk dalam kategori Zanniyah al-Thubut. Pada nas yang termasuk dalam kategori ini, maka timbullah pelbagai ijtihad para ulama. Sesiapa yang mahu berpegang kepada pandangan seumpama Sheikh al-Albani tentang kelemahan hadith ini silakan, tetapi tidak wajar pula mengutuk mereka yang tidak bersetuju dengan al-Albani. Pandangan al-Albani tidak sepatutnya dianggap mutlak sehingga segala apa yang ditakhrij dan ditahqiq olehnya dianggap muktamad.

Dalil-dalil yang Diperselisihkan

Seperti yang dinyatakan sebelum ini hadith-hadith yang menyatakan tentang sunat menyapu muka selepas solat adalah pelbagai dari segi matan dan sanadnya. Di antaranya seperti yang diriwayatkan oleh Ibn al-Sunni dalam kitabnya `Amal al Yawm wa al-Laylah:

أَخْبَرَنَا سَلْمُ بْنُ مُعَاذ ، حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ الْحَسَنِ بْنِ عَنْبَسَةَ ، حَدَّثَنَا أَبُو عُمَرَ الْحَوْضِيُّ ، حَدَّثَنَا سَلامٌ الْمَدَائِنِيُّ ، عَنْ زَيْدٍ الْعَمِّيّ ، عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ قُرَّةَ ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا قَضَى صَلاتَهُ مَسَحَ جَبْهَتَهُ بِيَدِهِ الْيُمْنَى ، ثُمَّ قَالَ : " أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ ، اللَّهُمَّ أَذْهِبْ عَنِّي الْهَمَّ وَالْحَزَنَ

Kemudian diriwayatkan juga seumpamanya oleh Abu Nu`aym dalam kitabnya Hilyah al-Awliya’ seperti berikut:

حَدَّثَنَا فَارُوقٌ الْخَطَّابِيُّ ، قَالَ : ثنا أَبُو مُسْلِمٍ الْكَشِّيُّ ، قَالَ : ثنا أَبُو عُمَرَ الْحَوْضِيُّ ، قَالَ : ثنا سَلامٌ الطَّوِيلُ ، قَالَ : ثنا زَيْدٌ الْعَمِّيُّ ، عَنْ مُعَاوِيَةَ بنِ قُرَّةَ ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ ، قَالَ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا سَلَّمَ مِنْ صَلاتِهِ ، مَسَحَ جَبْهَتَهُ بِيَدِهِ الْيُمْنَى ، وَقَالَ : " بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لا إِلَهَ إِلا هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ ، اللَّهُمَّ أَذْهِبْ عَنِّي الْهَمَّ وَالْحَزَنَ

Menurut Abu Nu`aym sendiri, sungguhpun hadith ini marfu` tetapi tarafnya lemah kerana terdapat seorang yang bernama Zayd al-`Ammiyy yang dilihat oleh Abu Nuaim sebagai agak lemah. Menurut yang lain seperti al-Albani, di dalam kedua-dua riwayat Ibn Sunni dan Abu Nu`aym terdapat seorang yang bernama Salam bin Sulaym al-Tamimi. Kebanyakan ulama Rijal al-Hadith melihatnya daif dan matruk bahkan ada yang menyebut beliau tersangat daif. Demikian pandangan Yahya bin Main, Abu Hatim al-Razi, al-Daruqutni, al-Bayhaqi dan lain-lain. Menurut al-Bukhari pula ahli hadith bercakap tentang riwayatnya, tetapi kemudian beliau berpendirian Salam adalah perawi yang matruk. Bagaimanapun beliau dikatakan thiqah (dipercayai) oleh Ishaq bin `Isa al-Tiba`. Disebabkan ramai ulama yang melemah dan meninggalkan riwayat Salam, maka hadith-hadith yang diriwayatkan tentang menyapu muka oleh Ibn Sunni, Abu Nu`aym dan yang seumpamanya dilihat sebagai hadith daif, malah bagi al-Albani dikatakan sangat daif.

Manakala terdapat jalan yang lain meriwayatkan secara marfu` hadith tentang menyapu muka selepas solat ini iaitu dari al-Khatib al-Baghdadi, al-Tabrani dan lain-lain. Riwayat al-Khatib al-Baghdadi di dalam kitab Tarikhnya seperti berikut:

أَخْبَرَنَا عَبْدُ الْمَلِكِ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الْوَاعِظُ ، قَالَ : أَخْبَرَنَا عُمَرُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الْجُمَحِيُّ بِمَكَّةَ ، قَالَ : حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ ، قَالَ : حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يُونُسَ ، قَالَ : حَدَّثَنِي كَثِيرُ بْنُ سُلَيْمٍ أَبُو سَلَمَةَ ، شَيْخٌ لَقِيتُهُ بِالْمَدَائِنِ ، قَالَ : سَمِعْتُ أَنَسًا ، يَقُولُ : كَانَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى مَسَحَ بِيَدِهِ الْيُمْنَى عَلَى رَأْسِهِ ، وَيَقُولُ : " بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لا إِلَهَ غَيْرُهُ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ ، اللَّهُمَّ أَذْهِبْ عَنِّي الْهَمَّ وَالْحَزَنَ

Menurut pengkritik riwayat ini hadith ini daif kerana terdapat dalam sanadnya rawi yang bernama Kathir bin Sulaym Abu Salmah al-Madain. Menurut Yahya bin Main, Abu Dawud, al-Daruqutni, al-Mizzi, al-Dhahabi dan lain-lain, beliau adalah daif. Berkata al-Nasai dan al-Azdi beliau adalah matruk, manakala bagi Abu Hatim al-Razi dan al-Hakim beliau adalah munkar. Menurut Ibn Hibban, Kathir bin Sulaym dan Kathir bin Abdullah adalah orang yang sama iaitu dari Ablah, sedangkan menurut al-Daruqutni pula beliau adalah dari Kufah. Menurut Ibn Hajar al-Asqalani Kathir bin Sulaym bukanlah Kathir bin Abdullah sebagaimana pendapat Ibn Hibban. Menurut al-Bukhari beliau digelar Abu Hisham, adalah seorang yang munkar al-hadith. Berdasarkan kepelbagaian pandangan tersebut tentang Kathir bin Sulaym, maka riwayat ini adalah daif atau dikatakan sangat daif oleh al-Albani.