Monday, February 01, 2010

Apakah Hukum Asal Non-Muslim Menggunakan Kalimah Allah?

Pada pandangan saya sebagai ahli akademik, kita seharusnya menggunakan kemahiran menganalisis sesuatu isu dalam menangani isu yang berkaitan dengan kalimah Allah. Apabila kita menganalisis sesuatu isu, kita tidak seharusnya meneliti semua perkara dalam satu bakul, lalu membuat kesimpulan umum tentang analisis yang kita lakukan. Sesuai dengan perkataan 'analysis', kita sepatutnya mengasingkan data-data atau maklumat-maklumat mengikut kategori masing-masing, lalu dibuat pemerhatian dalam kategori-kategori yang tertentu dan disudahi dengan membuat sentesis daripada pemerhatian-pemerhatian yang dibuat. Dengan sebab itu, saya berpandangan kita juga seharusnya menggunakan perkara yang sama dalam melihat isu berkaitan dengan penggunaan kalimah Allah ini. Isu yang berkaitan dengan hukum penggunaan kalimah Allah ini tidak sepatutnya dikaji dalam satu bakul dengan isu Kristianisasi di Malaysia, isu penghinaan terhadap agama Islam, isu tindakan golongan Kristian menyalahgunakan nama Allah di Indonesia, isu maslahah atau mafsadah dalam dakwah jika non-Muslim menggunakan kalimah Allah dan lain-lain, dengan saya tidak menolak kita boleh membuat sentesis setelah semua isu-isu ini dikaji dalam kategori masing-masing.

Berdasarkan kepada metodologi tersebut, kita terlebih dahulu seharusnya mengkaji isu non-Muslim menggunakan kalimah Allah ini dalam kategorinya tersendiri, iaitu apakah hukum golongan non-Muslim menggunakan kalimah Allah dalam lingkungan mereka dengan melihat dari segi nas-nas al-Quran dan al-Sunnah, sejarah perkembangan bahasa Arab berkaitan dengan nama Allah itu, jaluran penggunaan nama Allah dalam agama yang termasuk sebagai Millah Ibrahim dan lain-lain. Setelah kita memperolehi kesimpulannya, maka kita boleh pula melihat isu-isu lain yang berkaitan seperti isu Kristianisasi di Malaysia, isu penghinaan terhadap agama Islam dan lain-lain. Kemudian, apabila kita telah sampai kepada kesimpulan terhadap isu-isu lain yang berkaitan, barulah kita membuat sintesis dengan memberikan satu kesimpulan umum disamping turut memberi perhatian terhadap kesimpulan-kesimpulan khusus yang telah dibuat dalam kategori-kategori masing-masing. Maka berdasarkan analisis tersebut secara kolektif PAS mengambil pendirian, iaitu golongan Kristian tidak larang menggunakan kalimah Allah dalam lingkungan mereka, tetapi sebarang penyalahgunaan, penghinaan dan pengeliruan berkaitan dengan kalimah Allah yang mulia ini secara tegas perlu ditegah. Dengan pengertian lain, tiada larangan secara mutlak dan tiada kebenaran secara mutlak.

Mari kita melihat terlebih dahulu, apakah hukum asal golongan non-Muslim khususnya ahli kitab menggunakan kalimah Allah. Sepertimana yang saya telah kemukakan sebelum ini, tidak terdapat nas-nas yang melarang mereka menggunakan kalimah Allah termasuk juga pandangan-pandangan ulama muktabar. Tindakan Rasulullah saw yang tidak melarang dan sikap 'sukuti' yang ditunjukkan oleh para ulama sejak dari zaman para sahabat menunjukkan dari segi prinsip kebebasan beragama, mereka tidak dilarang menggunakan kalimah itu dalam lingkungan mereka. Dalam konteks ini al-Quran dan al-Hadith mengambil sikap menerang dan membahaskan tentang kesalahan mereka menyekutukan Allah bukannya melarang mereka menggunakan kalimah itu. Pasti ada satu hikmah yang besar mengapa al-Quran dan Rasulullah saw menentukan pendirian sedemikian. Terlalu banyak ayat-ayat al-Quran dan riwayat berkaitan dengan pendirian Rasulullah saw yang menerang dan membahaskan kesalahan mereka menyekutukan Allah tetapi tidak melarang mereka terus menggunakan kalimah itu, antaranya ayat 61 dan 63 surah al-`Ankabut, ayat 25 surah al-Luqman, ayat 38 surah al-Zumar, ayat 87 surah al-Zukhruf dan lain-lain. Demikian juga dengan peristiwa-peristiwa sirah yang berdasarkan riwayat-riwayat yang kuat bahawa golongan non-Muslim tidak dilarang menggunakan kalimah Allah seperti peristiwa Sohifah (pemulauan terhadap Bani Hashim), peristiwa perjanjian Hudaybiyah, surat-surat Rasulullah saw kepada pemerintah-pemerintah non-Muslim dan lain-lain.

Persoalannya adakah pada ketika itu golongan non-Muslim termasuk Kristian dan Yahudi menggunakan kalimah Allah secara benar? Dalam konteks ini terdapat banyak ayat al-Quran yang menjelaskan bahawa mereka tidak menggunakan kalimah Allah secara sebenarnya seperti ayat 81 surah al-Baqarah yang menyatakan golongan Ahli Kitab berkata "Allah adalah miskin", ayat 64 Surah al-Maidah yang menyatakan golongan Yahudi berkata "tangan Allah terbelengu", ayat 30 Surah al-Tawbah yang menyatakan golongan Ahli Kitab berkata "`Uzayr anak Allah dan Isa anak Allah", ayat 31 Surah al-Tawbah yang menyatakan golongan Kristian mengambil Isa sebagai Tuhan selain daripada Allah dan lain-lain ayat. Kesemua ayat-ayat ini menunjukkan bahawa golongan non-Muslim itu sememangnya telah menggunakan kalimah Allah secara salah ketika zaman al-Quran diturunkan lagi. Perkara ini telah disedari oleh Rasulullah saw, para sahabat dan para ulama sejak dahulu, justeru mereka mengambil sikap mengasak golongan Ahli Kitab ini dengan mensucikan Allah daripada sekutu-sekutu yang diadakan melalui penerangan dan perbahasan. Kepercayaan yang sama diwarisi oleh Kristian dan Yahudi sehingga hari ini, iaitu menggunakan kalimah itu secara salah. Menyedari hakikat itu, tindakan yang seharusnya kita lakukan ialah menerang dan membahaskan sebagai usaha mensucikan kepercayaan mereka, bukannya melarang sepertimana tindakan yang telah diambil oleh al-Quran sendiri dan pendirian Rasulullah saw.

Para ulama Islam sejak berzaman juga menyedari bahawa golongan Ahli Kitab ini telah menggunakan kalimah Allah secara salah. Lihat sahaja perbahasan para Ulama tentang ayat 5 surah al-Maidah berkaitan dengan halalnya sembelihan Ahli Kitab. Ketika saya di UK, saya pernah berbincang tentang sembelihan Ahli Kitab dan sebahagian dari sahabat-sahabat saya mengambil pendirian boleh memakan daging-daging yang dibeli di Somerfield, Tesco, KFC dan lain-lain disebabkan nas tersebut. Para ulama telah berbahas panjang lebar tentang hukum sembelihan Ahli Kitab ini. Antara hujah yang menyatakan sembelihan Ahli Kitab halal ialah disebabkan mereka menyembelih dengan menyebut nama Allah. Kata Ibn al-`Arabi dalam Ahkam al-Quran ketika menjelaskan ayat ini "Yang demikian itu, kerana sesungguhnya Allah swt melarang sembelihan yang tidak disebutkan nama Allah ke atasnya. Dan diizinkan pada sembelihan Ahli Kitab (sedangkan) mereka berkata "sesungguhnya Allah adalah (menjelma) Isa bin Maryam dan sesungguhnya Dia adalah Triniti", (kerana) Allah dalam perkataan mereka adalah maha Tinggi dan maha besar." Kemudian ketika dia membahaskan tentang pandangannya tidak bersetuju dengan pandangan mazhab Shafie yang berpendirian menyebut nama Allah bukan syarat sah sembelihan, Ibn al-`Arabi menyambung lagi "sekiranya (Ahli Kitab) itu menyembelih dengan menyebut nama "Allah" tetapi yang dimaksudkan al-Masih (Isa as) atau menyebut "al-Masih" tetapi yang dimaksudkan Allah maka kembali segala urusan itu merujuk kepada Allah". Silalah lihat perbahasan-perbahasan seumpamanya oleh para ulama dalam perkara ini, yang secara tidak langsung menunjukkan mereka sememangnya sedia menyedari Ahli Kitab menggunakan nama Allah secara salah.

Dalam tafsir Ibn Kathir ketika menjelaskan ayat berhubung dengan sembelihan Ahli Kitab ini, beliau menyatakan "Adalah disepakati oleh para ulama bahawa sembelihan ahli kitab itu halal bagi orang-orang Islam disebabkan mereka percaya bahawa diharamkan sembelihan yang bertujuan selain daripada Allah, sedangkan mereka tidak menyebut ke atas sembelihan-sembelihan mereka selain dari nama Allah". Pandangan Ibn Kathir ini (walaupun beliau bermazhab Shafie) jelas menunjukkan bahawa antara sebab sembelihan Ahli Kitab halal bagi orang Islam adalah disebabkan mereka menyebut nama Allah. Dan menurut al-Qurtubi ketika menjelaskan menjelaskan satu pandangan berkaitan ayat yang menghalalkan sembelihan Ahli Kitab ini, beliau berkata "berkata kumpulan (sebahagian yang lain): sekiranya kamu mendengar Ahli Kitab menyebut selain daripada nama Allah ketika sembelihan mereka, maka janganlah kamu makan. Berkata demikian itu oleh sahabat Rasulullah saw seperti Ali, Aishah dan Ibn `Umar serta para tabi`in sepert Tawus al-Yamani dan al-Hasan (Hasan al-Basri)". Jadi, bagaimana hukum sembelihan mereka sekiranya mereka dilarang menggunakan nama Allah?

Melihat kepada tiadanya larangan daripada al-Quran, pendirian Rasulullah saw yang tidak melarang mereka menggunakan kalimah Allah dan pendirian yang sama diambil oleh para ulama, maka boleh disimpulkan, dari segi hukum yang asal golongan bukan Islam tidak dilarang untuk menggunakan kalimah itu di atas prinsip kebebasan beragama sebagaimana pemerintah Islam dilarang untuk meruntuhkan gereja, biara dan rumah penyembahan bukan Islam. Bagaimanapun prinsip kebebasan beragama itu tetap mempunyai batas yang menuntut pemerintah Islam bersikap bijaksana dalam membuat tindakan. Janganlah kita sehingga melarang secara mutlak sehingga menyebabkan mereka boleh mebuat tindakan yang sama ke atas masyarakat Islam minoriti di negara bukan Islam dan janganlah pula kita membenarkan tanpa batas sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dan perkara yang tidak diingini. Melihat kepada hukum yang asal ini adalah perlu sebagai dasar utama kita memutuskan hukum tentang sesuatu sebelum mengambil kira aspek al-siyasah al-shar`iyyah, maslahah dan lain-lain.

Wallahu`alam