Wednesday, February 28, 2007

Ulasan Terhadap Fatwa Qaradhawi Tentang Bid’ah

Saya ingin merujuk kepada isu yang selalu dibangkitkan tentang pandangan al-Qaradhawi terhadap persoalan bid'ah hasanah. Sekiranya kita merujuk kepada pendirian al-Qaradhawi, hujah-hujah yang digunakan kebanyakannya telah digunakan oleh al-Syatibi dalam kitabnya al-'Itishom. Oleh sebab itu, pendirian al-Qaradhawi adalah mengulangi pendirian al-Syatibi (d. 790 h.) atau dengan pengertian lain beliau bertindak mentarjihkan pandangan al-Syatibi. Persoalannya adakah pandangan al-Syatibi itu merupakan pandangan yang muktamad untuk membatalkan pandangan para ulama yang datang sebelumnya seperti al-Syafie, al-Ghazali, Izzi Din, al-Nawawi dan lain-lain? Adakah pandangan al-Syatibi yang ditarjihkan oleh al-Qaradhawi itu merupakan pandangan yang paling terkemudian justeru dikatakan ia adalah yang paling benar?

Sekiranya kita melihat dalam sejarah perbahasan tentang pembahagian bid'ah ini, pandangan al-Syatibi bukanlah pandangan jumhur. Para ulama yang hidup kemudian daripadanya terus-menerus mendukung pandangan al-Syafie dan lain-lain. Antaranya al-Suyuthi, Ibn Hajar al-Asqalani dan Ibn Hajar al-Haythami. Jelas menunjukkan bahawa pandangan al-Syatibi dan al-Qaradhawi bukanlah muktamad tetapi merupakan persoalan khilaf dalam memahami nas-nas yang berkaitan dengan bid'ah. Maka dalam persoalan khilaf sikap kita ialah berlapang dada dan tidak menjadikan perkara itu sebagai punca mengeruhkan keharmonian umat Islam.

Dan seharusnya diingat bahawa pandangan al-Qaradhawi bukanlah merupakan pandangan yang rajih dalam semua keadaan, meskipun beliau adalah antara ulama yang tersohor pada hari ini. Adakah bila al-Qaradhawi mengeluarkan sesuatu pendirian, maka pandangan ulama yang selain daripadanya termasuk ulama silam terbatal?. Tanpa berniat mencalarkan kewibawaan al-Qaradhawi, saya sendiri tidak bersetuju dengan beberapa pendirian al-Qaradhawi. Bukanlah bermaksud saya lebih hebat, malah jika dibandingkan saya dengan beliau umpama langit dan bumi. Tetapi saya menyandarkan pandangan saya kepada ulama-ulama yang lain. Antara pandangannya yang saya tidak bersetuju ialah tentang keharusan bersalam antara lelaki dan perempuan, keharusan menjama'kan solat Maghrib dan Isyak semasa musim panas (diputuskan bersama majlis fatwa Eropah), hukum zakat pendapatan dan lain-lain.

Malah sekali pandang kelihatan pandangannya tentang Zakat Pendapatan seperti menyamai Bid'ah Idhofiyah yang beliau kemukakan. Sebagaimana yang disebut oleh al-Zuhayli bahawa para imam mazhab menyatakan zakat hanya kepada emas/perak, binatang ternakan, pertanian dan seumpamanya. Adakah semasa zaman Rasulullah dan para Imam mazhab tiada gaji atau upah? Bukankah perkara zakat termasuk dalam urusan ibadah khusus yang memerlukan nas untuk menthabitkan hukumnya? Dalam menthabitkan nas terhadap ibadah khusus termasuk zakat, penghujahan Qiyas adalah sangat sempit dan tidak boleh digunakan dalam semua keadaan? Tetapi kita harus menghormati pandangan beliau kerana beliau bersandarkan kepada hujah-hujah syara'.

Oleh sebab itu, saya menasihatkan mereka yang selalu membangkitkan isu ini supaya tidak menjadikan pandangan al-Qaradhawi itu sebagai muktamad sebaliknya menjelaskan kepada kita bahawa tentang isu bid'ah ini merupakan persoalan khilaf. Mereka yang berpendirian bahawa tiada bid'ah hasanah selalu menggunakan pandangan al-Qaradhawi ini, tetapi mereka juga tidak menerima pandangan al-Qaradhawi dalam semua perkara. Malah ada golongan yang mengaku salafiyyah ini sampai ke peringkat menuduh al-Qaradhawi dengan tuduhan yang melampau.

Perlu diingat bahawa dalam persoalan khilafiyah ini tidak boleh dithabitkan bid'ah. Sebagai contoh imam dan makmum berzikir bersama secara jahar selepas solat fardu adalah perkara khilaf para ulama. Ada yang menyatakan boleh ada yang tidak. Mereka yang menyatakan tidak, tidak boleh menyatakan amalan yang dilakukan oleh mereka yang menyatakan boleh sebagai bid'ah. Sebab apabila perkara itu khilaf, masing-masing mempunyai sandaran syara', dan setiap satu yang ada sandara syara' maka ia tidak termasuk dalam pengertian bid'ah. Sekiranya kita meneliti kepada pandangan al-Qaradhawi seperti yang selalu dikemukakan, ada antara contoh-contoh berkaitan Bid'ah Idhofiyah yang diberikan merupakan persoalan khilafiyah. Contohnya menyusun zikir-zikir yang telah thabit daripada Rasulullah kemudian dizikirkan bersama dengan diketuai oleh seseorang, perkara itu adalah termasuk dalam persoalan khilaf.

Maka sekiranya benar pandangan ini daripada al-Qaradhawi, saya berpandangan ia tidak tepat. Kerana majlis zikir secara beramai-ramai seperti disebut oleh Sa'id Hawa dalam kitabnya Tarbiyatuna Ruhiyyah jelas mempunyai sandaran syara'. Malah kenyataan al-Qaradhawi seperti menyanggah pandangan mursyidnya sendiri Hassan al-Banna yang menyusun al-Ma'thurat kemudian diamalkan oleh setiap pengikutnya selepas subuh dan selepas maghrib atau asar secara berzikir beramai-ramai. Kedua al-Qaradhawi dan Muhammad al-Ghazali mengaku malah begitu menyanjung Hassan al-Banna sebagai mursyid mereka. Hakikat ini jelas menunjukkan bahawa persoalan seumpama ini adalah khilaf dan tidak seharusnya persoalan khilaf ini menyebabkan kita menuduh satu sama lain dengan tuduhan bid'ah, sesat dan lain-lain.

Tentang pembahagian Bid'ah kepada Bid'ah Haqiqiyah dan Bid'ah Idhofiyah ini juga terdapat bermacam pendapat ulama. Dalam persoalan Bid'ah Haqiqiyah sepakat ulama menyatakannya sebagai sesat, iaitu seperti menambah rakaat dalam solat fardu, mewujudkan solat sunat tertentu contohnya solat sunat ma'al hijrah dan lain-lain. Tetapi dalam Bid'ah Idhofiyah ini pula ada perbezaan pandangan. Sebagai contoh menggunakan sejadah sewaktu solat, termasuk dalam Bid'ah Idhofiyah kerana kaifiyat solat Rasulullah saw sujud di atas tanah. Menurut al-Ghazali dalam Ihya' antara bid'ah yang pertama selepas wafat Rasulullah saw ialah menggunakan sejadah. Malah mengikut ulama Ahlul Bayt tidak sah solat jika sujud berlapik (Saya sekadar mengemukakan pandangan ini bukan menyokongnya). Namun begitu dalam persoalan ini terdapat khilaf tentang Bid'ah Idhofiyah seperti ini. Demikianlah tentang melenggok-lenggok kepala semasa berzikir, mengalun-alunkan suara dan lain-lain, termasuk dalam Bid'ah Idhofiyah yang ulama khilaf tentang hukumnya.

Wallahu'alam.

1 comment:

itminaan90 said...

Assalamualaikum...
Jika tidak keberatan,ana mohon pennjelasan mengenai contoh2 bid'ah yang lain, samada haqiqiyyah ataupun idofiyyah.

Seperti tahlil, marhaban, menabur bunga di atas kubur dan menyiramnya, sambutan hari jadi, menggantung ayat2 al-quran di dinding....Adakah semua itu bid'ah?

Jazakallah tuan pemilik blog..