Wednesday, November 14, 2007

Kebebasan Akademik Yang Hilang

Sememangnya umum mengetahui bahawa demokrasi di Malaysia semakin pincang. Bagi ahli-ahli akademik yang jujur dan luhur boleh melihat sendiri perjalanan demokrasi di Malaysia mutakhir ini bermula daripada kebebasan media sehingga kepada amalan pilihanraya, sedang menuju kepada autokrasi. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sendiri mengakui secara terbuka tentang hakikat ini, lalu beliau menggambarkan Malaysia seumpama sebuah Negara Polis. Di peringkat antarabangsa negara Malaysia telah dikategorikan sebagai Negara Demokrasi Pincang berdasarkan Indeks Demokrasi yang dikeluarkan oleh majalah The Economist’s. Daripada 167 buah negara, Malaysia berada ditangga 81 lebih rendah daripada India (35), Mongolia (56) dan Bangladesh (75). Malah Nepal yang bangsanya disebut sebagai ‘Gurkha’ lebih baik pencapaiannya dalam konteks amalan demokrasi.

Menyedari hakikat tersebut, hasrat untuk mengembalikan amalan demokrasi yang adil merupakan kehendak seluruh rakyat Malaysia tidak kira parti pemerintah (sebagaimana yang disuarakan oleh penyokong-penyokong bekas Perdana Menteri), parti pembangkang, NGOs dan mereka yang tidak berpihak (non-partisan). Pilihan yang lain ialah kita terus mengekalkan status-quo amalan demokrasi kita sehingga akhirnya negara kita akan terjerumus dalam konflik yang kronik sebagaimana yang berlaku di negara-negara yang mengamalkan despotisme. Tepat sekali pandangan yang dikemukakan oleh Robert D. Crane bekas Penasihat Presiden Amerika Syarikat Richard Nixon: Extremisme bukan lahir disebabkan hasrat untuk berkuasa tetapi lahir dari rasa takut disebabkan cengkaman sehingga mendorong kepada pemikiran totalitarian yang membawa kepada terrorisme. Oleh sebab itu perjuangan untuk mengembalikan amalan demokrasi yang adil merupakan satu usaha yang patriotik oleh rakyat yang cintakan negara.

Perhimpunan aman yang dianjurkan oleh Bersih pada 10 November 2007 yang lalu merupakan satu usaha ke arah mengembalikan amalan demokrasi yang adil. Sepatutnya semua pihak yang mempunyai semangat patriotik akan turut bersama mendukung hasrat tersebut termasuklah dari kalangan parti pemerintah. Namun demikian, berbagai usaha telah dilakukan untuk menggagalkan tuntutan tersebut termasuklah amaran daripada pihak pentadbiran di universiti-universiti awam, mengugut ahli-ahli akademik dan mahasiswa supaya tidak hadir “walaupun sebagai pemerhati”. Larangan itu dikeluarkan di saat The Times Higher Educations Supplement menyenaraikan 200 universiti terbaik dunia, yang menyaksikan tiada sebuahpun universiti di Malaysia yang tersenarai.

Siapapun tidak boleh menjangkakan apakah impak perhimpunan aman yang dianjurkan oleh Bersih ini. Mungkinkah perhimpunan aman tersebut akan membawa natijah yang positif sehingga mengembalikan amalan demokrasi yang adil? Tidak mustahil sekiranya dengan ramainya rakyat yang berhimpun menyebabkan amalan pilihanraya di Malaysia akan berubah sebagai contoh beralih kepada sistem Proportional Representative. Sekiranya perubahan-perubahan ini berlaku sehingga membawa perubahan besar kepada amalan demokrasi negara atau setidak-tidaknya melahirkan rakyat yang berjiwa merdeka, maka perhimpunan aman ini akan dikenang sepanjang zaman sebagai ‘turning point’nya. Jika telahan ini berlaku maka berebut-rebutlah ahli-ahli akademik pada masa mendatang membuat kajian tentang perhimpunan aman ini dari pelbagai sudut. Tidak mustahil cecair kimia yang digunakan oleh Meriam Pancutan air pihak Polis turut menjadi bahan kajian.

Tidakkah dunia akademik kerugian besar apabila larangan seumpama ini dikeluarkan. Kajian yang dilakukan oleh ahli-ahli akademik selepas peritiwa ini berlaku sudah pasti kurang wibawanya berbanding dengan ahli-ahli akademik yang berada sendiri ditempat kejadian, melakukan pemerhatian secara langsung terhadap peristiwa ini. Oleh kerana itu, larangan kepada ahli-ahli akademik berada di tempat kejadian walaupun sebagai pemerhati merupakan langkah seribu tapak ke belakang menyekat kebebasan dunia akademik. Sekiranya larangan itu menyebut dilarang menyertai perhimpunan maka dapatlah dilihat rasionalnya, tetapi “sehingga menjadi pemerhati”pun tidak dibenarkan, apa lagi yang tinggal pada kebebasan dunia akademik. Lupakanlah hasrat menjadi universiti bertaraf dunia kalau minda ahli akademiknya dikongkong sebegitu rupa.

No comments: