Wednesday, April 02, 2008

ALlah Memenangkan PAS Melalui Orang Kafir

(Dipetik daripada cetusan rasa seorang bekas pimpinan mahasiswa)

Semasa artikel ini ditulis Pas telahpun berjaya menawan Kedah dan mengekalkan Kelantan di samping bersama-sama PKR membentuk kerajaan di Perak dan Selangor. Seperti yang telah dimaklumi kemenangan ini banyak dibantu oleh perubahan sikap politik kaum India dan Cina, sehingga kedua-dua kaum ini tanpa rasa takut membantu jentera pilihanraya Pas termasuk menyumbangkan kewangan. Semasa saya mengikuti perkembangan kempen pilihanraya di Kedah, sepanjang perjalanan ke sana dapat dilihat lori dan kereta mengibarkan bendera pembangkang lebih hebat daripada senario politik tahun 1999. Kemudian sewaktu pulang ke Perak, dapat dilihat kereta bersusun-susun seperti orang kota balik berhari raya di kampung masing-masing. Bagai dapat dirasakan gerombolan orang kota ini membawa balik undi-undi untuk parti pembangkang.

Namun faktor yang paling ketara memenangkan PAS dan PKR ialah sokongan daripada kaum India dan Cina. Sekonyong-konyong saya teringatkan Firman Allah swt dalam surah al-Taubah: Dan sekiranya kamu tidak mahu keluar (berjihad dan berkorban) menegakkan agama Allah maka akan ditimpakan azab dan Allah menggantikan dengan kaum yang lain.... Ayat tersebut benar-benar memberi pengajaran dan keinsafan kepada kita yang selalu mendakwa memperjuangkan Islam dan keadilan. Tetapi cuba kita nilai diri kita, benarkan kita tergolong dari kalangan para pejuang itu. Kita sebenarnya bukan pejuang, kerana kita tidak berani mengambil risiko. Para pendukung gerakan mahasiswa Islam sama ada di luar negara atau di Malaysia sebenarnya hanya menjadi pemerhati kepada perjuangan yang dilakukan oleh ahli-ahli PAS yang gigih serta golongan bukan Islam seperti kaum India dan Cina yang lebih sanggup menanggung tribulasi dalam menegakkan Islam dan keadilan.

Cuma golongan bukan Islam ini tiada Akidah, kalau tidak merekalah yang lebih layak digelar mujahidin. Para mahasiswa Islam lebih memilih jalan selesa, tidak berani dan penakut dalam bersuara menyatakan pendirian. Manakala masyarakat India khususnya pemuda mereka, sanggup menanggung risiko berjuang atas nama keadilan untuk kepentingan kaum mereka. Manakala masyarakat Cina juga berani mengkritik secara terbuka sama ada melalui forum-forum di media cetak mereka juga di majlis-majlis umum. Dengan perjuangan dan keberanian mereka inilah Allah swt memberi kemenangan kepada PAS dan PKR. Semoga kita dalam gerakan mahasiswa Islam ini mengambil iktibar dan selepas ini tidak lagi ragu-ragu bahawa Allah swt akan menyempurnakan janjinya kepada mereka yang berjuang atas jalannya dan Allah swt yang memberi rezeki bukannya manusia.

2 comments:

2uzulfa said...

Salam,
memang benar orang bukan islam kadang-kadang lebih peka terhadap perubahan sekeliling..

Mencelah sedikit, saya sebenarnya ex 1st college UM sekitar 90-an dan baik dengan Kak Seri.
Ingin rasanya menyambung ukhuwwah yang sudah lama terputus..

maha2020 said...

Jadi bolehkah kita berkata DAP menang di Penang dan Selangor kerana orang Melayu dan Islam di sana sudah peka terhadap suasana di sekliling?

Jadi apakah kita ini adalah golongan yang menjemput dari azab Allah membantu kaum harbiyyun dalam pilihanraya?

Adakah ummat terlalu buta sehingga Manoharan salah satu kepala Hindraf boleh menang dalam pilihanraya?

Jika begitu, maka "pejuang Islam" kena fikir panjang. Jgn nyamuk dimarah, kelambu dibakar.