Wednesday, March 18, 2009

Hatinya Dekat Dengan Perjuangan Islam di Malaysia

Meskipun hampir empat dekad meninggalkan tanahair, hati Almarhum Jais Anwar tetap dekad dengan perjuangan Islam yang didukung oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS). Demikianlah berkali-kali beliau meluahkan kata-kata itu, ketika saya bersama rombongan pimpinan PAS mengunjungi beliau di kediamannya di kota London pertengahan tahun lalu. Dalam pertemuan itu beliau mengimbau semula kegiatannya dalam PAS semasa zaman muda sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke UK. Dalam menceritakan memori silamnya, beliau begitu bersemangat dan kadang-kala bercampur sedih mengenangkan tekanan yang dialami semasa memperjuangkan kebenaran.

Rombongan pimpinan PAS turut disertai Dr Mahfodz Mohammad, rakan karib Almarhum yang sama-sama mengambil keputusan untuk berhijrah ke UK dengan tujuan melanjutkan pengajian. Penghijrahan mereka bersama dua rakan yang lain adalah dengan perbelanjaan sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan. Dr Mahfodz menyebut, beliau terpaksa melakukan berbagai pekerjaan daripada pekerja restoran sehinggalah pekerja keretapi. Almarhum Jais Anwar juga sedemikian sehingga satu ketika beliau membuka perniagaan sate yang kemudiannya mendapat sambutan menggalakkan. Almarhum pernah menyebut, beliau sebagai menantu Dato Asri (MB Kelantan ketika itu) tidak langsung mengambil kesempatan daripada kedudukannya untuk menyambung pengajian ke UK.

Daripada empat rakan karib yang berhijrah ke UK, tiga kembali semula ke tanahair dengan ijazah PhD dan Master. Manakala Almarhum Jais Anwar terus menetap di UK, khususnya di kota London sehingga akhir hayatnya. Semasa di sini beliau telah memberi sumbangan yang besar kepada warga pelajar Malaysia dengan menyebarkan ilmu-ilmu Islam di samping turut membantu sedikit sebanyak kebajikan mereka. Dalam pertemuan itu, Almarhum ada menyebut hasratnya kembali menetap di Malaysia dan meneruskan perjuangannya bersama dengan PAS. Seolah-olah beliau akan melaksanakan hasratnya secepat mungkin, memandangkan ketika itu beliau masih bergelut dengan kanser yang dihidapinya.

Pada pagi 18 Mac 2009 saya menerima SMS dari sahabat saya Ustaz Irfan, bahawa Ustaz Jais Anwar telah kembali ke rahmatullah petang semalam. Saya cuba untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang pengembumiannya, kalau-kalau saya dilapangkan Allah s.w.t. untuk menziarahinya buat kali terakhir. Namun disebabkan kesuntukan masa yang teramat sangat di samping jarak yang agak jauh ke kota London, saya hanya berdoa dari sini semoga Almarhum ditempatkan bersama para shuhada' dan solehin di hari akhirat kelak. Matlamat perjuangan kita masih jauh, meskipun langkah kita untuk menuruti Almarhum Jais Anwar semakin hampir. Yang penting hati kita terus bersama perjuangan mendaulatkan Islam di Malaysia.

No comments: