Wednesday, June 30, 2010

Bapaku Seorang yang Sungguh Amanah

Kita selalu dipaparkan dengan kisah-kisah berkaitan dengan jenazah golongan yang dirahmati oleh Allah. Semoga kita juga diberikan kemuliaan oleh Allah seperti apa yang berlaku ke atas mereka. Di sini aku ingin berkongsi pengalaman semasa menguruskan jenazah ayahandaku yang meninggal dunia lebih dua bulan lalu, semoga beliau turut digolongkan Allah ditempat golongan yang soleh. Ayahandaku hanyalah seorang imam kampung dan ustaz sekolah rendah. Akan tetapi sewaktu hari kematiannya aku dapat melihat kemudahan dan kemuliaan yang diberikan oleh Allah kepadanya.

Beliau meninggal dunia di luar bilik air setelah berwuduk untuk mendirikan solat Subuh. Sejak bulan Julai 2009 yang lalu, beliau telah memohon berhenti menjadi Imam disebabkan tidak lagi mampu berjalan dengan baik dan memerlukan kerusi roda dan bertongkat. Demikianlah beliau ke bilik air, terpaksa menggunakan sokongan tersebut. Sewaktu beliau jatuh di luar bilik air, lengannya telah tergesel dengan sesuatu (kerusi roda) dan berdarah.

Jenazah beliau telah dihantar ke hospital dan doktor mengesahkan beliau telah meninggal sewaktu jatuh tersebut. Aku hanya sempat melihat jenazah beliau selepas dibawa pulang dari hospital, dan aku lihat mukanya begitu tenang dan berseri seperti orang yang sedang tidur. Beberapa guru sekolah rendah di kampungku yang datang menziarah kami turut menyatakan kepada adik iparku selepas beberapa hari, muka jenazah ayahandaku bercahaya. Jenazahnya kemudian telah dimandikan oleh aku sendiri sebagai anak lelaki tunggal selepas zolat Zuhur iaitu kira-kira 8 jam setelah beliau menghembuskan nafas terakhir.

Bilamana aku membuka penutup jenazah, aku lihat luka ditangannya masih mengeluarkan darah dan jenazahnya kelihatan berpeluh sedangkan tubuhnya seperti jenazah-jenazah yang lain sejuk. Sewaktu memandikan jenazahnya, semuanya berlaku dengan begitu mudah. Sepertimana biasa sewaktu memandikan jenazah, kita perlu mengurut perut si mati untuk mengeluarkan najis-najis yang masih tertinggal. Setelah aku memperlakukannya ke atas jenazah ayahandaku, tiada apa-apa yang keluar.

Seorang pembantuku yang juga imam sebuah surau berhampiran menyatakan jenazah Ustaz ni memang telah sedia bersuci sebelum menghadapi kematian sebab itu tidak banyak yang perlu dilakukan semasa memandikan jenazahnya. Jenazah kemudiannya di bawa ke masjid untuk disembahyangkan dan kemudian ke tanah perkuburan berhampiran. Kesemuanya berlaku dengan begitu mudah dan lancar di samping cuaca yang baik. Bagaimanapun hujan mulai turun sewaktu kuburnya dikambus dan doa dibacakan.

Semasa memilih tapak kuburnya, pihak pengurusan kubur bertanya kepadaku di mana kawasan yang handak dipilih. Aku menunjukkan kawasan yang paling hampir dipintu masuk kawasan perkuburan, iaitu berhampiran dengan kubur datuk dan nenek ayahandaku dan juga kuburnya adikku (yang meninggal sewaktu lahir pada tahun 1979). Kubur-kubur itu adalah kubur yang lama, kerana datuk dan nenek beliau meninggal pada tahun 1942 dan 1943. Biasanya kawasan berhampiran kubur-kubur lama itu telah penuh, tetapi dengan izin Allah tapak kubur yang digali untuk ayahandaku masih kosong.

Pada satu malam setelah beberapa minggu ayahandaku meninggal dunia aku bermimpi, ada jenazah yang hendak dikebumikan di sebelah kubur beliau. Ketika kuburnya digali, maka mereka tergali liang lahad kubur ayahandaku. Di dalam mimpiku itu, kejadian tersebut berlaku beberapa lama setelah ayahandaku meninggal. Ketika terlihat jenazah ayahandaku, kain kapannya telah reput lalu tersingkap jenazahnya yang masih dalam keadaan seperti baru meninggal dunia, malah dahi dan mukanya seperti berpeluh.

Terdetik dalam hatiku kegembiraan melihat keajaiban tersebut. Bagaimanapun aku agak terkejut bila melihat ada setompok hitam di lengan kanannya seperti terbakar, walaupun jasadnya masih elok. Tiba-tiba aku tersedar dari mimpi iaitu kira-kira pukul 4.00 pagi. Aku menganggap mimpi itu hanya permainan tidur, walaupun sebenarnya memang aku sangat berhasrat bertemu dengan ayahandaku di dalam mimpi. Beberapa hari sebelum itu aku menelaah kitab al-Tazkirah Imam Qurtubi dan telah aku tandakan satu bab yang berkaitan dengan mimpi orang yang hidup terhadap orang yang telah mati.

Keesokan harinya aku terus berfikir, mungkinkah mimpi itu ingin menyatakan sesuatu kepadaku. Kemudian aku teringat, kakakku pernah menyebut bahawa elaun Imam ayahandaku masih masuk dalam akaunnya walaupun selepas empat bulan beliau menghantar surat meletakkan jawatan. Terdetik dalam hatiku, agaknya mimpi itu ingin menyatakan ada sesuatu yang masih belum selesai berkaitan dengan urusan dunia ayahandaku. Semasa cuti sekolah yang lalu aku minta kakakku untuk mengemaskini akaun ayahandaku, dan memang benar elaun itu masih masuk sehingga bulan lalu.

Lalu aku meminta kakakku pergi ke Pejabat Agama Islam Daerah memaklumkan supaya diberhentikan elaun itu dan bertanya bagaimanakah untuk memulangkan kembali elaun tersebut. Kini aku rasa bertambah terharu kerana ayahanda yang sememangnya aku kenali seorang yang sangat jujur dan amanah, seperti mengkehendaki aku tidak mengabaikan perkara yang berkaitan dengan elaun tersebut. Sewaktu beliau berkhidmat sebagai Ustaz di sekolah, sifat jujur dan amanah beliau begitu terserlah sehingga boleh dikira sangat sedikit beliau mengambil cuti.

Beliau akan meredah hujan dan panas dengan bermotosikal untuk ke sekolah sehinggalah beliau bersara. Beliau tidak mahu membeli kereta kerana baginya duit yang ada boleh diguna untuk keperluan yang lain, walaupun beliau mempunyai bukan sekadar lesen memandu kereta bahkan lesen memandu lori besar. Sepanjang pengetahuanku beliau jarang-jarang mengambil cuti sakit kecuali jika beliau mengalami sakit yang amat berat dan tidak berkemampuan ke sekolah.

Beliau pernah menyatakan kepadaku supaya jujur dan amanah, disebabkan kita dibayar gaji oleh dana awam (rakyat). Pernah satu ketika beliau memberitahu aku, Allah seolah-olah memberi balasan 'cash' kepada kami sekeluarga disebabkan Ayahandaku mengambil cuti untuk menghadiri satu perbicaraan menyaman RISDA di Kuala Lumpur. Sewaktu ayahandaku di Kuala Lumpur, rumahku telah dilanda ribut dan atap ruang tamu rumahku telah diterbangkan angin.

Bila ayahandaku pulang, beliau seperti sudah bersedia untuk menerima hakikat tentang kejadian itu. Beliau memberitahuku, sepanjang berada di Kuala Lumpur beliau merasa seperti bersalah kerana mengambil cuti meninggalkan urusan persekolahan. Tambahnya lagi, bencana ini adalah kaffarah kepada kesalahan beliau. Selepas itu sifat jujur dan amanahnya semakin bertambah sepertimana yang dinyatakan tadi. Jikalau beliau sekadar sakit-sakit ringan, beliau tetap akan ke sekolah.

Sikap kesederhanaan dan berhemah beliau, menyebabkan beliau tidak pernah berhutang termasuklah dalam membeli barangan keperluan rumah dan perabot, apalagi terlibat dengan riba. Sebaliknya beliaulah yang selalu memberi hutang kepada mereka yang memerlukan. Ketika memberi hutang, beliau akan selalu meletaakkan syarat, "Jika aku atau kamu meninggal dunia sebelum hutang ini dilangsaikan, maka hutang-hutang ini aku halalkan". Setelah beliau meninggal dunia, beliau meninggalkan sejumlah wang yang tidak sedikit dalam akaunnya, walaupun beliau bukanlah berpendapatan besar.

Sewaktu akhir 70an dan awal 80an, beliau turut menjual kain di sekitar kawasan sekolahnya dengan pergi dari rumah ke rumah. Kemudian telah dilaporkan kepada Nazir Pelajaran Daerah, bapaku terlibat dengan aktiviti perniagaan sampingan di luar waktu kerja. Selepas dipanggil oleh Nazir tersebut, bapaku tidak lagi menjual kain, dan mereka yang membeli kain itu secara berhutang telah dihalalkan olehnya. Sememangnya beliau suka membuat kerja-kerja sampingan untuk menambah pendapatan keluarga.

Bagaimanapun, beberapa ketika sebelum beliau meninggal dunia, beliau menceritakan kepadaku bahawa beliau berbuat demikian kerana maksud dakwah. Beliau menyatakan, Pegawai Daerah Hulu Selangor memintanya. "Ustaz, pergilah masuk ke kampung-kampung sekitar dan bawalah bersama kain putih (telekong kerana penduduknya tidak mendirikan solat). Lalu ayahandaku masuk ke kampung-kampung itu dan pergi dari rumah ke rumah menjual kain di samping mengajar penduduk-penduduknya supaya mendirikan solat.

Dihujung-hujung usianya beliau banyak memenuhi hari-hari tuanya dengan membaca al-Quran dan berzikir. Sebelum tidur beliau akan membaca beberapa surah, berzikir dan kemudiannya tidur dalam keadaan bersuci. Beliau juga sentiasa diziarahi oleh orang-orang kampung untuk meminta nasihat dan pandangan. Malam sebelum beliau meninggal dunia, beliau sibuk menulis zikir-zikir dan doa-doa seperti yang diminta oleh seorang Imam muda di surau berhampiran.

Ketika aku pulang baru-baru ini, aku di datangi oleh seorang orang berpengaruh di kampungku. Beliau meminta kebenaranku untuk memperelokkan kubur ayahandaku, katanya "inilah yang dapat kami lakukan sebagai mengenang jasa ayahandaku". Aku menginzinkan tetapi tidak dibuat secara berlebihan, tidak membina binaan seumpama bangunan (sekadar untuk mengelakkan tanah mendap) dan tidak mengambil tapak kubur orang lain.

Sebenarnya, sewaktu kubur beliau dikambus, masih banyak tanah yang berlebihan dan tanah-tanah itu tidak mendap sehingga hari ini walaupun kuburnya terdedah kepada hujan dan panas. Hampir setiap kali aku pulang ke kampung, aku akan menziarahi kuburnya, dan semoga Allah mengangkat darjat ayahandaku di sisiNya sepertimana hamba-hambaNya yang dikasihi.

No comments: