Thursday, April 26, 2007

Pandangan Islam Terhadap Liberalisasi Perdagangan (Siri 3)

Liberalisme Adalah Way of Life

Sememangnya begitu keras apabila Sayyid Qutb mengumpamakan ideologi-ideologi moden termasuklah Liberalisme dan Sosialisme sebagai berhala-berhala bentuk baru. Namun begitu sekiranya diperhatikan sememangnya telahan Sayyid Qutb telah menjelaskan hakikat tersebut. Salah satu takrif yang selalu digunakan untuk merumuskan apakah itu ideologi, ialah gagasan pemikiran yang dipercayai oleh sesebuah masyarakat dalam menyelesaikan masalah kehidupan mereka. Meskipun takrif ideologi itu sememangnya luas, tetapi elemen kepercayaan terhadap sesuatu gagasan pemikiran itu adalah antara terasnya yang utama. Oleh sebab itu, sesuatu ideologi seperti Liberalisme tidak sekadar membicarakan tentang kaedah atau tatacara mengendalikan politik atau ekonomi, tetapi ia turut mengandungi tiga persoalan utama kehidupan iaitu kepercayaan, peraturan dan etika.

Sebagai sebuah manhaj kehidupan, Islam turut terbahagi kepada tiga kandungan utama seumpama ini iaitu Akidah (kepercayaan), Syariah (peraturan termasuk perundangan) dan Akhlak (etika). Berdasarkan perbandingan tersebut maka ideologi-ideologi moden seperti Liberalisme yang lahir dari cetusan pemikiran tokoh-tokoh Barat seolah-olah cuba mengambil kedudukan agama dalam mengatur urusan kehidupan manusia. Malah dalam sejarah perkembangan ideologi-ideologi tersebut jelas memaparkan bahawa ideologi berkembang bilamana pegangan agama asal sesebuah masyarakat itu diruntuhkan. Perkara ini pernah disentuh oleh Syed Naqib al-Attas ketika membincangkan tentang sekularisme yang pada pandangan beliau bukan sekadar bertentangan dengan Islam tetapi bertentangan dengan semua agama yang utama di dunia.

Mengaitkan ideologi-ideologi ini dengan isu-isu Akidah dan Syariah acapkali diperkatakan oleh para ulama semasa. Yang kurang disentuh ialah ideologi-ideologi ini turut mencampuri urusan satu lagi kandungan utama risalah Islam iaitu Akhlak. Liberalisme sebagai contoh bukan sekadar menentukan pegangan dan perundangan sesebuah negara, malah turut menjustifikasikan sistem nilai sehingga merumuskan manakah amalan yang terpuji dan manakah amalan yang tercela. Hari ini boleh dikatakan sistem nilai yang berteraskan Liberalisme lah yang telah mencorakkan moral dan etika masyarakat global. Prinsip-prinsip moral dan etika dalam Liberalisme antaranya seperti yang diasaskan oleh Frank H. Knight telah menjadi sistem nilai global sehingga mempengaruhi masyarakat dalam menentukan sesuatu tingkahlaku. Ringkasnya, Liberalisme telah menunjuki satu cara hidup baru yang meliputi tiga persoalan utama kehidupan manusia daripada persoalan kepercayaan dan peraturan sehinggalah persoalan etika.

Bagaimanapun saya tidak bersetuju sepenuhnya dengan telahan seperti ini iaitu melihat Liberalisme sebagai berhala atau agama bentuk baru pada zaman moden yang tiada kaitan dengan agama yang sedia ada. Sebaliknya kelahiran Liberalisme tidak dapat dipisahkan daripada pengaruh agama Kristian sebagaimana disebut oleh Max Weber dalam ‘The Protestant Ethics and the Spirit of Capitalism’. Pandangan Waber ini tidak begitu popular kerana rata-rata meyakini bahawa kelahiran Liberalisme sepertimana juga ideologi-ideologi yang lain adalah di atas semangat meruntuhkan dan meminggirkan agama. Sekiranya pandangan Waber dijadikan neraca, maka kemunculan Amerika Syarikat, United Kingdom dan lain-lain blok Liberalisme adalah di atas pengaruh Kristian Protestant dengan dukungan Zionisme yang mewakili pengaruh Yahudi.

Dalam konteks hari ini, mereka yang paling kuat seterunya dengan Islam bukanlah Vatican tetapi kuasa-kuasa besar tersebut khususnya Amerika Syarikat sehingga tidak ada satu wilayah yang bergolak dalam dunia Islam hari ini, melainkan wujud camputangan Amerika Syarikat. Maka golongan Yahudi dan Nasrani yang dimaksudkan dalam ayat 120 surah al-Baqarah dalam konteks hari ini adalah merujuk kepada kuasa-kuasa besar ini yang ideologi negara mereka adalah Liberalisme. Menyedari hakikat tersebut, Liberalisme dan Islam masing-masing mewakili cara hidup tersendiri, yang sedang dan akan bertembung pada dekad-dekad mendatang. Walaupun di sana wujud titik-titik pertemuan antara Liberalisme dan Islam, tetapi jurang perbezaan dan pertembungan antara keduanya adalah lebih ketara.

No comments: