Thursday, April 26, 2007

Pandangan Islam Terhadap Liberalisasi Perdagangan (Siri 4)

Dunia Islam Memerlukan Calvinisme?

Sepanjang sejarah wujud golongan Muslim yang mendukung Liberalisme dan juga Sosialisme berusaha untuk meng‘khatan’kan fahaman yang mereka dukung. Lalu timbullah konsep Liberalisme-Islam dan Sosialisme-Islam. Gelombang Sosialisme-Islam ini telah bangkit lebih dahulu malah lebih kuat seruannya khususnya semasa dekad 1960-an. Manakala gelombang Liberalisme-Islam pula lebih sepi suaranya, tetapi pengaruh mereka tetap kuat terhadap kuasa politik dunia Islam. Logik yang selalu digunakan ialah dalam Liberalisme atau Sosialisme ada prinsip-prinsip tertentu yang sesuai dan bertemu dengan titik-titik pertemuan Islam. Hakikatnya, titik-titik pertemuan tersebut hanyalah laksana mengkhatankan seseorang sedangkan beliau tidak pernah mempersaksikan Shahadatain. Oleh sebab itu, usaha membangkitkan Liberalisme-Islam dan Sosialisme-Islam ini hanyalah satu usaha untuk mengkhatankan ideologi-ideologi tersebut.

Pendekatan persis mengkhatankan inilah yang digunakan oleh Maxime Rodinson dalam bukunya Islam and Capitalism yang diterbitkan pada tahun 1966. Artikel Mustafa Akyol dalam laman sesawang Malaysia Think Tank London dilihat turut dipengaruhi oleh buku ini yang pada pengamatan saya cuba mengendurkan gelombang kebangkitan sosialisme di dunia Islam yang begitu ketara pada dekad 1960-an tersebut. Kebetulan saya memiliki naskah terjemahannya yang diterbitkan oleh Penerbit University of Texas disebabkan minat saya untuk membeli buku-buku lama. Saya mempunyai minat untuk membeli buku-buku lama kerana harganya telah turun dengan begitu rendah sekali. Pernah saya membeli buku bertajuk ‘The Limits to Growth’ yang dihasilkan oleh para penyelidik MIT pada akhir dekad 1960-an dengan harga kurang dari satu ringgit. Namun demikian ada juga buku-buku yang harganya tidak turun-turun disebabkan ideanya yang masih lestari. Kebanyakan buku-buku yang harganya turun dengan mendadak, teori dan idea yang dikemukakan sudah lapuk. Pada saya buku Maxime Rodinson ini termasuk dalam kategori buku yang boleh dibeli dengan harga yang murah pada hari ini.

Kita sering mendengar tanggapan bahawa gagasan golongan fundementalist Islam seperti Sayyid Qutb dan al-Maududi telah menyebabkan dunia Islam terus mundur dan tertinggal berbanding negara Barat. Artikel Mustafa Akyol dalam laman sesawang Malaysia Think Tank London sekali lagi memainkan ‘tali tape’ tersebut. Malah bukan sekadar gagasan harakah Islamiah, umat Islam juga dikatakan begitu dicengkami dengan budaya asetik sehingga ia dikatakan menjadi faktor keruntuhan tamadun Islam. Hujah simplistik seperti ini begitu mudah dilontarkan tetapi tidak mungkin mengaburkan kita semua daripada realiti yang sebenarnya. Sejarah pasca kemerdekaan negara-negara dunia Islam tidak pernah memberikan ruang kepada gagasan Sayyid Qutb dan al-Maududi diinstitusikan dalam mengatur tatacara berpolitik dan berekonomi. Gagasan itu hanya termaktub dalam lipatan buku-buku dan kalbu para pendukung harakah Islamiah. Demikian juga dengan budaya asetik, bukanlah budaya dominan di kalangan umat Islam hari ini, sebaliknya budaya materialistik lebih mencorakkan kehidupan mereka. Saya tidak tahu situasi di Turki, tetapi sekiranya di Malaysia budaya masyarakat hidup secara zuhud mungkin satu dari seribu.

Maka mengapa Mustafa Akyol menyalah Sayyid Qutb dan al-Maududi dan juga golongan yang mahu hidup secara zuhud sebagai punca kemunduran umat Islam. Mengapa tidak dipersalahkan Calvinist-calvinist yang lazimnya ditangan merekalah kuasa politik dunia Islam berada. Semenjak dunia Islam merdeka dari penjajahan, dunia Islam terbahagi dua sama ada mengamalkan Liberalisme atau Sosialisme. Dalam negara-negara yang mengamalkan liberalisme ini sudah ramai Calvanist-calvanist yang lahir, tetapi sampai sekarang dunia Islam termasuk Turki sendiri tidak pernah dihormati sebagai negara yang hebat pembangunannya. Pengaruh gagasan Sayyid Qutb dan al-Maududi serta asetik hanyalah secebis di kalangan umat Islam. Sebenarnya dalam dunia Islam bukan sekadar mereka seumpama John Calvin yang lahir tetapi mereka yang seumpama Martin Luther juga wujud menerajui politik dunia Islam, tetapi dunia Islam terus tertinggal.

No comments: