Saturday, September 15, 2007

Sekali Lagi Kuasa Besar Tersungkur di Afghanistan?

Sekiranya di suatu ketika seluruh dunia Islam lumpuh, hanyasanya tinggal nadi yang masih berdenyut, maka nadi itu adalah bumi Afghanistan. ....Amir Shakib Arsalan

Dengan mengungkap semula kata-kata Shakib Arsalan ini, seperti mengingati semula tersungkurnya Tentera Beruang Merah Kesatuan Soviet di bumi Afghanistan lebih kurang dua puluh tahun yang lalu. Malah sekiranya disorot sejarah kolonialisme, Afghanistan adalah satu daripada tiga negara di Asia yang bebas daripada penjajahan. Sejarah perjuangan bangsa Afghanistan ini telah mempelihatkan British sebagai kuasa besar dunia ketika itu gagal untuk mencengkam bumi Afghanistan, setelah berjaya menduduki sebegitu luas tanah-tanah jajahan lain di dunia. Demikianlah terus-menerus usaha dilakukan untuk menjajah bumi Afghanistan, tetapi akhirnya golongan penjajah ini dihalau dengan hina-dina.

Shakib Arsalan bukan berbangsa Afghanistan, tetapi beliau adalah seorang Arab Lubnan. Kalaupun boleh dikaitkan dengan Afghanistan ialah beliau banyak dipengaruhi oleh Jamaluddin al-Afghani. Namun Shakib Arsalan berbangga dengan kekuatan perjuangan bangsa Afghanistan dalam menghadapi musuh-musuh Islam. Sememangnya inilah kelebihan bangsa Afghanistan, iaitu dikenali dengan daya juang yang kental. Dalam konteks keilmuan selain daripada al-Afghani, sememangnya agak sukar untuk kita mengenali tokoh-tokoh ilmuan Islam lain dari bangsa Afghanistan. Mungkin inilah kurniaan Allah swt kepada bangsa tersebut yang jarang wujud pada bangsa-bangsa yang lain.

Membaca berita perkembangan Afghanistan dalam al-Jazeera seperti mengesahkan lagi ungkapan Shakib Arsalan. Al-Jazeera melaporkan bahawa sedikit demi sedikit bumi Afghanistan telah dikuasai semula oleh pejuang-pejuang Taleban. Malah dilaporkan di beberapa wilayah di utara Kabul telah jatuh sepenuhnya kepada mereka. Namun demikian, berita-berita kejayaan Taleban ini jarang dipaparkan berbanding dengan kejayaan-kejayaan Mujahidin semasa era penentangan terhadap penjajahan Kesatuan Soviet. Yang jelas, pada ketika itu agensi-agensi berita Barat khususnya yang mewakili kepentingan Amerika Syarikat begitu ghairah untuk melihat tersungkurnya Kesatuan Soviet.

Sebaliknya kali ini penentangan bangsa Afghanistan adalah terhadap Barat sendiri khususnya NATO yang mewakili gabungan kekuatan tentera daripada Barat. Ketika di ambang kejatuhan Taleban tahun 2002, gambaran yang diperlihatkan kepada umat Islam seolah-olah Taleban tidak akan mampu untuk bangkit semula. Sekali lagi berulang sejarah pimpinan boneka di Afghanistan. Cuma yang berbeza watak boneka dan dalangnya. Jika dahulu bonekanya Najibullah, sekarang bonekanya adalah Hamid Karzai dan jika dahulu dalangnya Kesatuan Soviet, sekarang dalangnya Amerika Syarikat dan sekutu Baratnya. Tetapi sekiranya kita mendengar berita-berita berkaitan dengan Hamid Karzai tidak pernah langsung disebut pimpinan boneka, berbanding dengan Najibullah dahulu gelaran ‘pimpinan boneka’ itu tidak pernah lekang.

Biar apapun silap mata yang dimainkan oleh kuasa-kuasa Barat, berdasarkan laporan al-Jazeera itu situasi yang sama seperti era penentangan terhadap Kesatuan Soviet telah berlaku pada hari ini. Sebagaimana semasa era penentangan terhadap Kesatuan Soviet, kejayaan perjuangan bangsa Afghanistan ini bukan berlaku sekelip mata. Mereka berjuang hampir satu dekad untuk menghalau tentera Kesatuan Soviet. Oleh sebab itu tempoh lima tahun penentangan terhadap Amerika Syarikat dan sekutu Baratnya di Afghanistan sebenarnya masih terlalu muda. Malangnya berita-berita tentang perjuangan bangsa Afghanistan ini jarang diperkatakan, sebaliknya perjuangan mereka dianggap sebagai paksi kejahatan berbanding dengan semasa era penentangan terhadap Kesatuan Soviet, mereka dianggap sebagai paksi kebaikan.

Biar apapun tipu-helah Amerika Syarikat dan sekutu Baratnya, dipercayai bangsa Afghanistan ini dengan izin Allah swt akan menghalau mereka sepertimana tentera Kesatuan Soviet dahulu. Malah bukan sahaja tentera Kesatuan Soviet dihalau, akhirnya ideologi Komunisme juga turut berkubur. Maka sekiranya sekali lagi ungkapan Shakib Arsalan ini berlaku apakah satu-satunya kutub (polar) yang masih wujud akan turut tumbang. Jika ini berlaku maka bersediakan para ilmuan Islam dari bangsa-bangsa yang lain untuk menampilkan kutub Islam, kerana kelebihan seperti ini tidak begitu terserlah pada bangsa Afghanistan. Atau mungkin bangsa Afghanistan tidak akan mengulangi kembali kegagalan mereka menampilkan kutub Islam setelah mereka menghalau tentera Kesatuan Soviet dua dekad yang lalu.

No comments: