Thursday, February 21, 2008

Ibarat Ikan Pulang Ke Lubuk

Saya tidaklah begitu mengenali Asyraf Wajdi Dusuki, tetapi sempat untuk bersua muka bersamanya ketika saya membimbing gerakan mahasiswa semasa era reformasi tahun 1998. Beliau pada ketika itu memimpin PKPIM yang lebih rapat kepada pembimbing mereka seperti Saudara Yusri Mohamad yang merupakan Presiden Abim hari ini. Manakala saya lebih rapat dengan GAMIS yang merupakan satu wadah yang pernah saya hidupkan semula setelah dipelopori kewujudannya oleh Ustaz Yusof Abdullah, Saudara Abdul Rahman Embong dan lain-lain. Sekali-sekala ketika diwujudkan forum-forum tertutup tentang pendirian mahasiswa terhadap kebangkitan rakyat semasa era reformasi ini, saya sempat mengenali perwatakan dan pendirian beliau.

Pada ketika itu beliau sememangnya cenderung bersama arus perdana kebangkitan rakyat khususnya dalam konteks pembelaan terhadap kezaliman yang ditimpakan ke atas Anwar Ibrahim. Sememangnya daripada raut wajahnya beliau seperti menghadapi dilema untuk mengambil pendirian seperti itu, ketika mana bapanya sendiri adalah Setiausaha Politik kepada Dr. Mahathir. Saya rasa bukan saya seorang tetapi rakan-rakan beliau dalam PKPIM dan GAMIS sendiri seperti ragu-ragu terhadap pendirian sebenar beliau. Situasi ini sehingga menyebabkan beliau satu ketika menyebut "saya ni boleh dipercayai ke, sebab bapa saya Setiausaha Politik Dr Mahathir". Kelihatan beliau cuba untuk menyembunyikan konflik kejiwaan kalaupun bukan konflik kepentingan yang sedang dihadapinya.

Pada ketika itu saya cuba meramal sejauh manakah langkah 'menongkah arus' terhadap pendirian politik bapanya boleh bertahan. Untuk melihat beliau terus berdiri seperti rakan-rakannya di pihak politik anti-establisment, saya merasakan kemungkinannya adalah tipis. Paling jauh beliau boleh menjadi seorang ahli akademik yang kritis setelah mendapat didikan daripada wadah ABIM semasa berkecimpung dengan PKPIM. Tetapi hari ini setelah diumumkan calon-calon BN di negeri Kelantan, nama beliau terselit untuk berhadapan dengan Kamaruddin Jaafar yang juga merupakan bekas Setiausaha Agung ABIM yang memilih wadah PAS. Maka terserlahlah natijah konflik kejiwaan yang beliau hadapi sehingga akhirnya beliau kembali juga kepada pendirian politik bapanya. Bak kata pepatah "Ibarat Ikan Pulang ke Lubuk".

1 comment:

Abulfatih said...

Ini catatan saya pd Harakahdaily sblm PRU12. rasanya x terbit pun.. ntah knapa? salah sent agaknya.

Semalam, 21 Februari adalah yang paling menyedihkan dalam musim pilihanraya kali ini, bagi saya. Siapa yang tidak kenal Dr Asyraf Wajdi, muka baru, bukan sebagai calon pilihanraya, tapi panelis Forum Perdana Ehwal Islam TV1. Sebuah forum agama yang sering menampikan tokoh-tokoh berwibawa dalam sejarah 20? tahunnya.

Ramai yang sedang memerhati tokoh berusia 32 tahun ini. Kepetahannya berbicara adalah hasil latar belakang keluarga dan pengalaman belajar di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (Labu). Bahkan bakat itu dimatangkan lagi dengan penglibatannya sebagai YDP Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, PKPIM, sebuah badan pelajar Islam yang sinonim dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Namun, detik menghampiri penamaan calon dan hari mengundi kian mendukacitakan kerana tokoh ini telah bersedia untuk bertanding di Parlimen Tumpat atas tiket Barisan Nasional. Beberapa persoalan bermain di benak saya. Tidak cukupkah tarbiyah yang telah beliau lalui pada zaman pelajarnya, mahupun zaman kepimpinannya? Atau, adakah selama ini penglibatannya dalam badan-badan Islam itu hanya satu kesempatan mengisi masa kosong? Justeru kerana kebetulan beliau bersahabat dengan rakan-rakan yang cenderung kepada dakwah Islam. Apakah proses pendidikan dan kematangan beliau tidak cukup untuk membezakan antara yang hak dan batil dalam senario politik tanah air? Mengapa beliau membiarkan diri dan kepopularannya dimanfaatkan oleh golongan yang, satu ketika dahulu, beliau tentang.

Seorang sahabat yang juga bekas pimpinan PKPIM dengan mudah menjawab: "Anak bapak.." Jawapan yang paling munasabah menggambarkan persekitaran yang beliau alami ketika ini, barangkali.

Atas nama sahabat, saya suka lontarkan sebuah nasihat buat Dr muda ini. Bukankah Allah telah mengajar kita bahawa berbuat baik kepada ibubapa tidak semestinya mengikut semua kata dan perintahnya. Firman-Nya yang bermaksud: "dan jika mereka berdua memaksa engkau supaya melakukan syirik kepada-Ku, pada perkara yng tidak engaku ketahui, maka janganlah engkau turuti keduanya, dan bergaullah dengan mereka secara baik di dunia."

Walaupun ibubapa Dr Asyraf tidak sampai mendorong kepada syirik. Namun, pencalonan atas tiket BN sudah cukup menjadikan kita bersekongkol dengan segala macam ketidakadilan dan kezaliman. Sudah lupakah Dr Asyraf kepada tindakan mereka terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim? Atau beliau sudah memaafkan kerajaan BN atas kesilapan itu, sedangkan tuan punya diri (DSAI) sendiri belum memaafkannya lagi. Bahkan, kerajaan itu pun belum pernah memohon maaf dan tidak pernah cuba memberi keadilan kepadanya dengan memperbaiki perbicaraan kes tersebut. Orang-orang yang bertanggungjawab dalam penganiayaan itu pun belum diapa-apakan oleh kerajaan pimpinan PM sekarang yang menggantikan PM dulu.

Soalnya, adakah Dr Asyraf sudah melupakan apa yang beliau perjuangkan dulu? Atau beliau sudah menganggap apa yang dipegangnya selama ini tidak benar? Mengapa terlalu mudah seorang pemegang ijazah kedoktoran ini mengubah prinsipnya.

Justeru, saya mengingatkan bahawa tindakan beliau hanya akan menjejaskan peribadi dan sahsiah beliau sendiri. Jangan nanti tokoh ini menyesali apa yang beliau telah lalui dalam zaman remajanya dahulu. Jangan-jangan pula nanti, beliau menyesali pula tindakan yang beliau ambil sekarang, bila Allah SWT telah "datang dengan urusan"nya, sama ada kemenangan golongan Islam atau kebangkitan akhirat kelak.

"Katakanlah (wahai Muhammad!) Bekerjalah kamu dan Allah akan melihat amalan kamu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang beriman. Dan kamu akan dikembalikan kepada Tuhan yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan nyata, lalu dia memberitahu kamu apa yang kamu kerjakan."

tamat. lepas PRU12, dpt mesej dari adik saya, juga ex exco PKPIM. Asyraf memang org BN. Dia pernah kata, kalau dia nk masuk politik, dia akan masuk BN. Gitu le..