Monday, July 10, 2006

Menunggu Giliran Najib (Siri 1)
Oleh: Prof

Pertembungan antara Dr Mahathir dan Pak Lah nampaknya semakin memuncak walaupun dimaklumkan kedua-duanya sedang bercuti di dua destinasi berbeza. Terbaru isu Tajuddin Ramli menyaman beberapa pihak termasuk Kerajaan Malaysia yang membabitkan nama baik Dr Mahathir dan Daim. Sukar untuk meramalkan bagaimanakah kesudahan pertembungan tersebut. Adakah Pak Lah akan terpelanting atau Dr Mahathir akan terus dibekukan peranannya selepas ini seperti bekas-bekas Perdana Menteri yang lain. Namun sekiranya melihat kepada sejarah politik Umno Dr Mahathir tidak pernah tewas dalam mana-mana konflik politik dengan tokoh-tokoh Umno yang lain termasuklah Tunku Abdul Rahman.

Selepas Perhimpunan Agung Umno yang melibatkan pemilihan kepimpinan baru yang lalu, desas-desus Pak Lah hanya mampu bertahan sehingga 2007 mula diperkatakan. Malah di Rompin dimaklumkan ada seorang anggota kebinet berkata kepada orang ramai dalam satu majlis yang dihadirinya, Malaysia akan memperolehi Perdana Menteri baru dalam tempoh masa yang terdekat. Lebih meyakinkan lagi apabila disorot pula sejarah politik Pak Lah dalam Umno, beliau telah beberapa kali kecundang dalam pertembungannya dengan tokoh-tokoh Umno yang lain. Persoalannya, siapakah yang bakal menerajui negara sekiranya Pak Lah kecundang sekali lagi dalam pertembungannya dengan Dr Mahathir.

Ramai pihak tidak meyakini Dr Mahathir akan melakukan 'political comeback' walaupun itu bukan mustahil. Dr Mahathir dilaporkan pernah menyebut semasa menyambut harijadinya yang ke-70, bila ditanya bila dia akan bersara? Beliau berkata, "kalau melihat kepada umur bapanya dan keturunannya, kebanyakan mereka meninggal dunia dalam lingkungan 100 tahun, jadi saya ada 30 tahun lagi". Bagaimanapun kemungkinan untuk dia kembali adalah tipis kecuali satu gelombang besar telah terbentuk untuk menjemputnya semula kembali ke kerusi nombor satu negara. Dalam Umno untuk menjana gelombang tersebut tidaklah sukar bagi seseorang tokoh yang bijak seperti Dr Mahathir.

Sekiranya tidak, pilihan yang berikutnya mungkin Najib seorang tokoh Umno yang telah berada di dalam kancah politik semenjak usianya yang begitu muda. Beliau merupakan anak kepada Perdana Menteri kedua, Tun Razak yang begitu berjasa besar kepada orang Melayu. Tidak dapat dinafikan reputasi Tun Razaklah yang telah mengangkat Najib kepada kedudukannya sehingga hari ini. Walaupun Tun Razak sempat memerintah hanya sekitar 6 tahun, tapi peranannya dalam pembangunan khususnya orang Melayu diakui oleh kawan dan lawan. Persoalannya, adakah Najib akan menuruti ketokohan bapanya atau Najib akan meneruskan lagi kebobrokan politik dalam Umno?

Bersambung

No comments: