Tsumawi Ditelan Tsunami Kapitalis Hedonisme
Oleh: Prof
Hiburan di Malaysia malah di dunia umumnya merupakan satu industri sepertimana juga industri-industri yang lain. Sesuatu industri tidak bebas melainkan dipengaruhi oleh fahaman Liberalisme yang diasaskan oleh Adam Smith yang didukung oleh para kapitalis (pemodal-pemodal). Dalam sesebuah negara yang mengamalkan Liberalisme ekonomi seperti Malaysia seluruh kegiatan yang berkaitan dengan kehidupan akan dikaitkan dengan keuntungan yang merupakan matlamat utama ekonomi. Mutakhir ini keperluan asas manusia seperti kesihatan, pendidikan dan tenaga juga mula dijadikan komoditi oleh golongan kapitalis untuk memperolehi keuntungan.
Hiburan merupakan sebahagian daripada keperluan manusia yang telahpun dijadikan komoditi industri. Bilamana ia memasuki sektor perindustrian maka bidang hiburan akan dimanipulasikan oleh golongan kapitalis untuk meraih keuntungan mereka secara maksima. Industri hiburan ini akan diorientasikan oleh pasaran bebas, persaingan, pemilikan individu atau kumpulan sebagaimana amalan dalam negara yang mengamalkan ekonomi Liberalisme. Golongan kapitalis selalunya tidak mengenal batas halal-haram melainkan untuk memaksimakan keuntungan yang diperolehi.
Industri hiburan yang berasaskan kepada sistem ekonomi golongan kapitalis seperti ini telah mendominasi dunia sejak Revolusi Perindustrian di Eropah akhir kurun ke-18. Hari ini sistem ekonomi tersebut semakin mencengkam khususnya selepas kejatuhan fahaman sosialisme Karl Marx pada akhir dekan 1980-an. Malah kebangkitan semula Liberalisme yang dikenali hari ini sebagai Neo-Liberalisme lebih dahsyat daripada awal kemunculannya. Hari ini segala keperluan yang berkaitan dengan manusia tdak terlepas daripada monopoli golongan kapitalis, malah harta yang menjadi milik umum (kerajaan) satu persatu telah dimiliki oleh individu ataupun berkumpulan atas nama penswastaan.
Demikianlah hebatnya cengkaman sistem ekonomi yang didominasi oleh golongan kapitalis dalam semua sektor kehidupan manusia termasuk hiburan. Beberapa orang manusia dalam sejarah dilihat cuba menongkah arus sistem ekonomi ini termasuklah yang paling menonjol di Barat ialah Karl Marx. Namun semua mereka berkubur bersama-sama fahaman yang mereka asaskan. Di negara-negara yang mengamalkan ekonomi Liberalisme inilah suburnya industri hiburan yang pada hakikatnya memanipulasikan keperluan naluri manusia untuk keuntungan mereka. Naluri manusia yang mahu keseronokan telah dimanipulasi dalam pelbagai bentuk antaranya melalui filem dan muzik yang kesemuanya akan memenuhi kantung golongan kapitalis.
Demikian juga dengan industri hiburan di Malaysia tidak terlepas daripada semua itu. Hiburan telah berjaya ditonjolkan melebihi bidang-bidang lain termasuklah pendidikan dan keilmuan. Golongan artis mejadi paling popular melebih golongan yang lain termasuklah para ulama. Budaya berhibur menjadi budaya utama dalam masyarakat mengatasi budaya ilmu termasuk di menara gading sendiri. Kesemua ini telah memenuhkan kantung golongan kapitalis dan hampasnya diperolehi oleh penggiat seni hiburan. Manakala masyarakat umum mendapat hiburan yang kemudiannya akan menjadi faktor kehancuran ummah. Situasi inilah yang menjadi pendorong penganjuran Akademi Fantasia.
Akademi Fantasia ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk memanipulasikan naluri keseronokan manusia demi keuntungan golongan kapitalis. Merekalah yang mendapat keuntungan daripada penganjuran, manakala artis memperolehi tempiasnya sedikit. Daripada pentas inilah lahirnya MAWI yang kemudiannya menghadirkan gelombang Tsumawi. Mawi seorang yang berlatarbelakangkan pegangan agama telah digunakan untuk mencalitkan imej baik pada Akademi Fantasia yang telah dihukumkan HARAM antaranya oleh Mufti Perak. Golongan kapitalis telah cuba menempelkan label 'halal' dengan menonjolkan Mawi. Akhirnya Mawi telah dinobatkan sama ada secara sengaja ataupun tidak.
Ramai pihak termasuk PAS mengharapkan Mawi akan membawa satu hiburan alternatif baru kepada masyarakat Malaysia sekurang-kurangnya hiburan yang lebih bersopan. PAS telah cuba memberi sokongan antaranya dengan menjemput Mawi memberi persembahan di Kelantan yang dianjurkan mengikut kehendak Islam. Tetapi Mawi hanyalah modal manusia dalam industri hiburan yang dimiliki dan dimanipulasikan oleh golongan kapitalis hedonisme. Siapalah sangat Mawi untuk menongkah gelombang kapitalis yang telah mencorakkan dunia hiburan sebagai sebuah industri dalam sistem ekonomi yang dikuasai oleh mereka. Kalau Karl Marx dan pendukung sosialisme pun akhirnya hilang ditelan badai tsunami kapitalis hedonisme, inikan hanya seorang manusia bernama Mawi yang hanya membawa riak kecil Tsumawi.
No comments:
Post a Comment