Memperkukuhkan Sistem Nilai Masyarakat Malaysia
Oleh:Muhammad Abu Zahra
Pendahuluan
Oleh:Muhammad Abu Zahra
Pendahuluan
Mutakhir ini ditimbulkan pelbagai isu yang berbau perkauman dan keagamaan oleh sesetengah golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai masyarakat sivil (civil society). Salah satu isu yang begitu digembar-gemburkan ialah berkaitan dengan perlakuan moral rakyat Malaysia sama ada yang melibatkan masyarakat muslim seperti isu ‘The Zouk’ atau yang terbaru melibatkan masyarakat bukan Islam yang berlakuan tidak senonoh di tengah khalayak ramai. Sama ada disedari atau tidak, isu-isu seumpama ini sebenarnya mempunyai kaitan yang rapat dengan persoalan jati diri masyarakat Malaysia khususnya sistem nilai yang dipegang dan diamalkan.
Penting Nilai-nilai Sepunya
Setelah hampir 50 tahun mencapai kemerdekaan, adalah sesuatu yang amat malang apabila kita masih tercari-cari jati diri sebenar rakyat Malaysia. Tidak perlu kita membuka lembaran lebih jauh untuk berbicara tentang rupa-bentuk bangsa Malaysia sebagai asas pembinaan negara bangsa, sekiranya persoalan yang lebih kecil berkaitan dengan jati diri yang sepatutnya dimiliki secara sepunya oleh rakyat masih belum selesai. Rakyat Malaysia seperti dibiarkan untuk memiliki jati diri mengikut cita rasa masing-masing tanpa ditunjuki oleh pihak yang berkuasa. Situasi seperti ini sekiranya tidak dikawal akan mewujudkan konflik yang serius di dalam masyarakat.
Lazimnya sistem nilai dikaitkan dengan kepercayaan yang dipegang oleh seseorang atau sesebuah masyarakat. Bagaimanapun bagi mereka yang tidak menerima sistem nilai sebagai sesuatu yang bersifat supernatural seperti golongan naturalisme atau realisme, sistem nilai seseorang atau sesebuah masyarakat diasaskan kepada banyak faktor termasuk pemikiran, dan budaya sesebuah masyarakat. Maka lahirlah berbagai sistem nilai yang tidak berasaskan agama seperti utilitarianisme, hedonisme dan sebagainya. Biar apapun sistem nilai yang dipegang, perlu ada nilai-nilai sepunya sehingga sesuatu yang baik diterima bersama sebagai baik dan sesuatu yang buruk diterima bersama sebagai buruk.
Betapa celaru sesebuah masyarakat bila tiada nilai-nilai sepunya yang diterima secara bersama oleh mereka. Dengan erti kata lain setiap individu atau kelompok kecil dalam sesebuah masyarakat itu mempunyai sistem nilai yang pelbagai sehingga sesuatu yang baik dianggap buruk oleh kelompok yang lain dan sesuatu yang buruk dianggap baik oleh kelompok yang lain. Konflik nilai yang seperti ini akan menyebabkan sesebuah masyarakat menjadi kacau-bilau malah boleh membawa kepada pertelingkahan. Lebih daripada itu, sekiranya situasi ini wujud maka perundangan dan peraturan dalam sesebuah negara tidak lagi bermakna.
Menyedari hakikat tersebut, sangatlah membimbangkan apabila wujud kumpulan-kumpulan yang menggelarkan diri mereka masyarakat sivil cuba mempertikaikan nilai-nilai sepunya masyarakat Malaysia yang sudah berdiri sekian lama sehingga menjadi faktor terpenting pembinaan jatidiri. Kumpulan-kumpulan ini mempertikaikan tindakan pihak berkuasa terhadap perlakuan tidak bermoral yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu hanya dengan beralasankan hak asasi. Gagasan untuk mempertikai sesuatu yang baik itu baik dan sesuatu yang buruk itu buruk sebagaimana yang telah diterima oleh masyarakat Malaysia secara turun temurun hanyalah mencetuskan konflik nilai seperti yang telah dinyatakan.
Masyarakat Malaysia yang menganut agama masing-masing sudah mewarisi nilai-nilai sepunya yang telah membina jati diri rakyat Malaysia. Sebagai contoh perlakuan tidak senonoh seperti berkelakuan lucah di khalayak ramai merupakan sesuatu buruk di sisi semua agama lebih-lebih lagi agama Islam. Begitu juga bersekedudukan dan perzinaan merupakan sesuatu yang keji di sisi setiap agama yang dianuti oleh masyarakat Malaysia. Boleh dikatakan perkara-perkara seumpama ini diterima sebagai suatu prinsip nilai yang sejagat walaupun diamalkan secara berbeza bagi setiap kaum. Warisan seperti inilah yang telah membina jati diri masyarakat Malaysia selaras dengan hakikat ‘sejarah yang membina bangsa dan negara’.
Pandangan Islam Terhadap Nilai-nilai Sejagat
Sebagai sebuah agama yang bersifat sejagat, Islam menerima kewujudan nilai-nilai sejagat yang dikongsi bersama oleh semua manusia. Malah Islam tidak hanya membataskan kesejagatan dalam persoalan nilai semata-mata, sebaliknya sehingga ke peringkat kesejagatan akidah tauhid. Menurut al-Quran fitrah atau naluri untuk memperakui keesaan Allah swt diterima secara sejagat oleh manusia, Cuma ada di kalangan manusia yang tidak menurutinya sehingga mempersekutukan Allah swt dengan sesuatu yang lain. Firman Allah swt yang bermaksud:
Dan demi sesungguhnya jika engkau wahai Muhammad bertanya kepada mereka siapakah yang menciptakan langit dan bumi nescaya mereka menjawab yang menciptakannya ialah Allah yang maha berkuasa lagi maha mengetahui. (Az-Zukhruf: 9)
Dan demi sesungguhnya jika engkau wahai Muhammad bertanya kepada mereka siapakah yang menjadikan mereka nescaya mereka menjawab Allah. Maka bagaimana mereka rela dipesongkan daripada menyembah dan mengesakan Allah. (Az-Zukhruf: 87)
Dan demi sesungguhnya jika engkau wahai Muhammad bertanya kepada mereka siapakah yang menciptakan langit dan bumi nescaya mereka menjawab yang menciptakannya ialah Allah yang maha berkuasa lagi maha mengetahui. (Az-Zukhruf: 9)
Dan demi sesungguhnya jika engkau wahai Muhammad bertanya kepada mereka siapakah yang menjadikan mereka nescaya mereka menjawab Allah. Maka bagaimana mereka rela dipesongkan daripada menyembah dan mengesakan Allah. (Az-Zukhruf: 87)
Sekiranya dalam persoalan akidah Islam mengemukakan akidah tauhid yang sejagat sifatnya, apalagi dalam persoalan akhlak yang lebih banyak titik-titik pertemuan dengan penganut-penganut agama lain. Islam mempunyai prinsip-prinsip yang tersendiri berkaitan dengan baik dan buruk yang berasaskan kepada akidah tauhid. Bagaimanapun terdapat prinsip-prinsip tentang baik dan buruk yang dikongsi bersama oleh masyarakat manusia sejagat. Sebagai contoh persoalan berbuat baik kepada ibu-bapa telah disebut berulang-ulang kali dalam al-Quran dalam bentuk nilai manusia yang sejagat sebagaimana Firman Allah swt yang bermaksud:
Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu-bapanya, ibu yang telah mengandungkannya dengan segala susah payah dan melahirkan dengan segala susah payah… (al-Ahqaf: 15)
Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-ibu-bapanya, ibunya telah mengandungkannya dengan kelemahan demi kelemahan dan tempoh menyusukannya dalam masa dua tahun, dengan demikian bersyukurlah kepadaku dan kepada kedua ibu-bapamu dan ingatlah aku jua tempat kembali. (Luqman: 14)
Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu-bapanya, ibu yang telah mengandungkannya dengan segala susah payah dan melahirkan dengan segala susah payah… (al-Ahqaf: 15)
Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-ibu-bapanya, ibunya telah mengandungkannya dengan kelemahan demi kelemahan dan tempoh menyusukannya dalam masa dua tahun, dengan demikian bersyukurlah kepadaku dan kepada kedua ibu-bapamu dan ingatlah aku jua tempat kembali. (Luqman: 14)
Dalam surah al-An’aam ayat ke-15 dan ke-16, Allah mengajar Rasulullah saw supaya mengajak golongan yang tidak beriman kepada prinsip-prinsip sejagat bermula dengan tidak mempersekutukan Allah, berbuat baik kepada ibu-bapa, tidak membunuh anak-anak kerana takut kepapaan, tidak menghampiran zina, tidak melakukan pembunuhan, tidak memakan harta anak yatim, tidak menipu dalam perniagaan dan berlaku adil. Sebahagian ayat-ayat al-Quran di atas memadai untuk menunjukkan betapa Islam sebagai agama sejagat mengajak manusia kepada menghayati nilai-nilai sejagat bermula dengan menerima akidah tauhid. Bagi mereka yang tidak menerima seruan akidah tauhid tersebut, mereka diajak pula supaya mengamalkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat yang turut diajar oleh agama mereka masing-masing.
Selain daripada itu, terlalu banyak hadith-hadith Rasulullah SAW menyentuh tentang nilai-nilai baik yang bersifat sejagat antaranya sebuah hadith yang menjelaskan tentang dosa-dosa besar yang bermaksud:
Daripada Anas bin Malik, Rasulullah telah menyebut tentang dosa-dosa besar atau ditanya tentang perkara tersebut, Sabdanya: “Menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain, membunuh diri seseorang yang diharamkan oleh Allah, menderhakai dan tidak berlaku baik kepada kedua ibu-bapa”, Kemudian Rasulullah SAW menambah: “Mahukah kamu dikhabarkan salah satu dosa yang besar antara dosa-dosa yang besar? Iaitu kenyataan palsu dan kesaksian palsu” (Bukhari)
Daripada Anas bin Malik, Rasulullah telah menyebut tentang dosa-dosa besar atau ditanya tentang perkara tersebut, Sabdanya: “Menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain, membunuh diri seseorang yang diharamkan oleh Allah, menderhakai dan tidak berlaku baik kepada kedua ibu-bapa”, Kemudian Rasulullah SAW menambah: “Mahukah kamu dikhabarkan salah satu dosa yang besar antara dosa-dosa yang besar? Iaitu kenyataan palsu dan kesaksian palsu” (Bukhari)
Hadith di atas merupakan salah daripada hadith yang menjelaskan tentang nilai-nilai baik yang sejagat sifatnya sebagai menjelaskan penyataan-penyataan yang terdapat dalam al-Quran. Oleh kerana itu, suruhan-suruhan dalam Islam terutama yang berkaitan dengan persoalan moral adalah merupakan nilai-nilai sejagat yang tidak bertentangan dengan naluri semulajadi manusia.
Peranan Pemerintah Terhadap Moral
Golongan yang mendukung fahaman bahawa nilai baik dan buruk ditentukan oleh diri seseorang, selalunya berpegang kepada pepatah Protagoras “a man is the measure of all things” yang meletakkan seseorang individu sebagai neraca segala-galanya. Dasar moral seperti ini telah disanggah oleh ramai ahli falsafah sama ada pada zaman klasik ataupun zaman moden. Seorang ahli falsafah moden Thomas Hobbes menyatakan bahawa sekiranya nilai moral bergantung kepada kepentingan peribadi, maka kepentingan keperibadi boleh mendorong kepada konflik dan kemuncaknya peperangan. Oleh sebab itu beliau menegaskan betapa perlunya kawalan moral oleh pemerintah yang berwibawa.
Dalam bidang kajian etika, terdapat golongan yang menyatakan bahawa nilai baik dan buruk tidak sejagat sifatnya sebaliknya tertakluk kepada budaya dan situasi sosial sesebuah komuniti. Fahaman ini disebut sebagai cultural relativism atau boleh juga disebut moral ethnocentrism. Walaupun golongan ini dilihat tidak menerima kesejagatan nilai, tetapi mereka masih memperakui betapa komuniti atau masyarakatlah yang menjadi neraca dalam menentukan sesuatu itu baik atau buruk. Bagi golongan berfahaman seperti ini, perlakuan seseorang tertakluk kepada nilai-nilai baik dan buruk yang diterima secara bersama oleh sesebuah komuniti atau masyarakat.
Menyedari hakikat tersebut, sistem nilai dalam sesebuah masyarakat bukanlah berasaskan kepada kehendak individu sebagaimana tuntutan golongan egoism sebaliknya keperluan bersama (common needs) dalam masyarakat. Menurut Jacques Rousseau, keperluan bersama dalam sesebuah masyarakat inilah yang akan akhirnya mewujudkan kontrak sosial. Sesebuah negara yang harmoni tertegak di atas perkongsian nilai-nilai sepunya bagi memenuhi keperluan bersama, bukannya nilai-nilai yang diasaskan atas kepentingan individu. Oleh sebab itu, kawalan moral oleh pemerintah tidak dapat dielakkan demi mempertahankan nilai-nilai sepunya masyarakat daripada terhakis.
Mempertahankan nilai-nilai sepunya dalam masyarakat juga begitu penting untuk menegakkan kedaulatan undang-undang. Sebenarnya moral atau nilai tidak boleh dipisahkan daripada perundangan. Dengan pengertian lain perundangan bukan sekadar berkaitan dengan fakta sosial yang berdasarkan pengalaman empirikal tetapi turut berkaitan dengan sesuatu yang dipercayai baik atau buruk dalam sesebuah masyarakat. Meskipun golongan positivism cuba memisahkan nilai dan perundangan, namun mereka tetap memperakui perkara yang salah disisi perundangan merupakan perkara yang terbukti tidak baik menurut fakta empirikal. Hakikatnya, mereka bukanlah memisahkan nilai dan perundangan, tetapi menentukan nilai yang bagaimana seharusnya dikaitkan dengan perundangan.
Bagaimanakah gambaran sesebuah masyarakat apabila sesuatu yang salah di sisi perundangan negara dilihat secara berbeza dari segi nilainya oleh setiap individu masyarakat. Sebagai contoh penyalahgunaan dadah, merupakan sesuatu yang salah di sisi perundangan, tetapi masyarakat mempunyai persepsi nilai yang berbeza terhadapnya. Sebahagian masyarakat melihatnya buruk sama sekali, mungkin sebahagian yang lain melihatnya buruk sekiranya ia mencabul hak orang lain dan selebihnya menganggapnya baik. Dalam situasi seperti ini bagaimanakah akan tertegaknya undang-undang?
Kawalan Moral Di Dalam Islam
Menurut ajaran Islam, kawalan moral adalah tanggungjawab semua lapisan masyarakat bermula daripada individu, keluarga, masyarakat dan pemerintah dalam sesebuah negara. Dengan sebab itu konsep pertanggungjawaban dalam Islam begitu holistik meliputi kesemua lapisan masyarakat. Dalam konteks kawalan moral semua pihak bertanggungjawab terhadap perlakuan seseorang melalui peranan masing-masing yang berbeza. Hakikat inilah yang digambarkan oleh hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:
Daripada Abdullah bin Umar (ra), Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipertanggungjawabkan kepadanya, pemerintah (dalam sesebuah negara) adalah penjaga dan bertanggungjawab terhadap apa yang dipertanggungjawabkan, seorang lelaki (suami) adalah penjaga bagi rumahtangganya dan bertanggungjawab terhadap apa yang dipertanggungjawabkan kepadanya, Seorang wanita (isteri) adalah penjaga kepada rumah suaminya serta anak-anak, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipertanggungjwabkan. Seorang hamba adalah penjaga kepada harta tuannya dan dia dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Maka setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap tanggungjawabnya. (Bukhari)
Daripada Abdullah bin Umar (ra), Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipertanggungjawabkan kepadanya, pemerintah (dalam sesebuah negara) adalah penjaga dan bertanggungjawab terhadap apa yang dipertanggungjawabkan, seorang lelaki (suami) adalah penjaga bagi rumahtangganya dan bertanggungjawab terhadap apa yang dipertanggungjawabkan kepadanya, Seorang wanita (isteri) adalah penjaga kepada rumah suaminya serta anak-anak, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipertanggungjwabkan. Seorang hamba adalah penjaga kepada harta tuannya dan dia dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Maka setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap tanggungjawabnya. (Bukhari)
Setiap lapisan masyarakat menurut Islam mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam mengawal moral. Tanggungjawab tersebut bergantung kepada keupayaan yang ada pada diri seseorang. Sekiranya seseorang itu diberi kuasa mentadbir sebuah negara, maka salah satu tanggungjawabnya ialah memelihara perlakuan moral rakyatnya. Bagi seorang bapa yang berkuasa ke atas ahli keluarganya, maka mengawal moral ahli keluarganya adalah merupakan salah satu tanggungjawabnya. Sekiranya seseorang itu tiada mempunyai kuasa terhadap seseorang, tanggungjawab untuk mengawal moral masih tidak terlepas. Dia masih bertanggungjawab menegur salah laku moral yang berlaku paling kurang tidak merestui di dalam hatinya.
Konsep amar maaruf dan nahi munkar merupakan satu mekanisme yang holistik dianjurkan oleh Islam dalam mengawal moral manusia. Peranan melaksanakan tugas tersebut erpikul kepada setiap orang. Mekanisme amar maaruf dan nahi munkar kelihatan seperti satu bentuk kawalan moral masyarakat ke atas individu kerana melibatkan suruhan dan cegahan. Namun konsep ini sebenarnya turut berkaitan dengan kawalan moral terhadap diri sendiri kerana suruhan melakukan maaruf dan cegahan melakukan munkar turut boleh dilakukan terhadap diri masing-masing. Di dalam surah al-Baqarah ayat 44, Allah berfirman maksudnya:
Patutkah kamu menyuruh manusia melakukan maaruf sedangkan kamu lupa diri kamu sendiri, padahal kamu membaca kitab Allah, tidak kamu berakal.
Demikianlah juga dalam mencegah munkar, Rasulullah SAW menyuruh kita paling tidak menanam kebencian terhadap munkar di dalam hati masing-masing, sekiranya kita tidak berupaya mencegahnya secara perbuatan dan perkataan.
Patutkah kamu menyuruh manusia melakukan maaruf sedangkan kamu lupa diri kamu sendiri, padahal kamu membaca kitab Allah, tidak kamu berakal.
Demikianlah juga dalam mencegah munkar, Rasulullah SAW menyuruh kita paling tidak menanam kebencian terhadap munkar di dalam hati masing-masing, sekiranya kita tidak berupaya mencegahnya secara perbuatan dan perkataan.
Kesimpulan
Pembinaan sebuah masyarakat yang mempunyai jati diri mulia tidak mungkin tercapai sekiranya tiada wujud prinsip-prinsip nilai yang boleh diterima secara bersama. Sistem nilai yang berasaskan kepentingan diri individu tidak mungkin berupaya membina sebuah masyarakat yang hidup harmoni. Bagaimanapun penerimaan prinsip-prinsip nilai secara bersama perlu diperkukuhkan dengan mekanisme kawalan moral bermula dari individu sehinggalah tanggungjawab pemerintah. Malangnya perkara seumpama ini semakin tidak diberi perhatian dalam masyarakat kita, malah wujud pula tangan-tangan kotor yang berusaha meruntuhkannya.
No comments:
Post a Comment