Oleh:Abu Nasr
Hampir seluruh kita terkejut bila Reader's Digest menyebut Kuala Lumpur antara bandaraya paling biadap di dunia. Majalah tersebut telah membuat kajian rawak terhadap satu sampel yang begitu kecil iaitu 60 orang jika dibandingkan dengan penduduk Kuala Lumpur. Sememangnya kita boleh mempersoalkan kesahihan kajian tersebut. Bagaimanapun benarkah penduduk Kuala Lumpur dan masyarakat Malaysia masih mengamalkan warisan adab sopan yang tinggi seperti sebelum ini?
Secara terus terang kita perlu mengakui bahawa adab sopan yang diwarisi tersebut semakin hilang dari amalan masyarakat Malaysia. Tiga kategori yang digunakan oleh Reader's Digest iaitu membantu membuka pintu, mengucapkan terima kasih dan menolong mengambil kertas yang tercicir merupakan ciri-ciri signifikan untuk kita melakukan pemerhatian terhadap penduduk Kuala Lumpur. Kita boleh memperolehi jawapan yang mudah iaitu adab sopan yang selama ini sinonim dengan masyarakat kita semakin tidak lagi diamalkan.
Amalan menolong dan menghargai seseorang sememangnya merupakan sifat yang telah diwarisi oleh masyarakat Malaysia secara turun temurun daripada peradaban masing-masing. Bagi masyarakat Melayu yang adab sopannya berteraskan kepada agama Islam, amalan tersebut sememangnya disuruh oleh al-Quran dan as-Sunnah. Di dalam al-Quran surah al-Qasas ayat 77 contohnya, Allah menyuruh berbuat kebaikan kepada manusia sebagaimana Allah telah melimpah ruahkan kebaikan kepada kita. Malah Rasulullah SAW menyebut amalan sekecil membuang duri di jalan merupakan pahala yang besar di sisi Allah SWT.
Kelunturan adab sopan dan yang lebih besarnya keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat Malaysia bukanlah sesuatu yang pelik. Kesemuanya berlaku disebabkan pegangan agama di kalangan masyarakat Malaysia telah semakin longgar. Keruntuhan akhlak di dalam Islam mempunyai kaitan yang rapat dengan kelunturan iman. Imanlah merupakan pendorong yang tiada tolok bandingnya kepada manusia untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan. Bila iman merosot, maka dorongan melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan akan merosot.
Namun begitu pasti ada yang mempersoalkan, bagaimana pula dengan bandaraya-bandaraya lain yang dikatogerikan sebagai beradab, sedangkan masyarakat mereka diketahui semakin longgar pegangan agamanya. Jawapannya mudah sepertimana kata Muhammad Abduh "Aku melihat Islam tetapi tiada orang Islam dan aku melihat orang Islam tetapi tiada Islam. Tetapi percayalah sesuatu yang dilakukan tanpa diasaskan kepada iman tidak akan berkekalan untuk jangka masa yang panjang, apalagi amalan seumpama itu di negara-negara maju hanya dikaitkan dengan kepentingan ekonomi. Sebagai contoh, amalan mengucap terima kasih oleh jurujual di kaunter sudah menjadi satu kemestian di negara-negara maju, tetapi ia didorong oleh kepentingan ekonomi.
Semasa Muhammad Abduh menyebut perumpaan di atas, beliau kagum dengan masyarakat Eropah yang mencintai ilmu dan tidak membuang masa percuma. Hari ini amalan mencintai ilmu dan tidak membuang masa percuma di kalangan generasi baru Eropah hampir pupus di telan zaman. Lihat sahaja di hospital-hospital di UK umpamanya, jumlah doktor dan pakar perubatan di kalangan orang kulit putih semakin banyak berkurangan. Yang ramainya membanjiri stadium sepertimana di Jerman sekarang. Demikianlah sesuatu amalan yang tidak diasaskan kepada pegangan keimanan.
Pemerhatian Reader's Digest juga merupakan sesuatu yang dikaitkan dengan kepentingan ekonomi. Untuk apa mereka membuat ranking bandaraya paling sopan melainkan untuk kepentingan ekonomi. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang sukar menerima laporan majalah tersebut juga mempunyai unsur-unsur kepentingan ekonomi. Adab sopan yang didorong oleh kepentingan ekonomi seperti ini tidak kekal lama sebaliknya hanya diamalkan sekiranya memberi keuntungan. Dari segi ekonomi seorang pelacur mengucap terima kasih bila pelanggannya membayar wang adalah suatu amalan yang baik dan mungkin perkara ini juga turut termasuk dalam perhatian Reader's Digest.
No comments:
Post a Comment