Tuesday, June 20, 2006

Ke Mana Halatuju Institut Pemikiran Dr Mahathir?
Oleh: Muhammad Abu Zahra

Belumpun sampai setengah dekad Dr Mahathir melepaskan segala kepentingannya dalam kerajaan dan UMNO, segala 'bangkai gajah' yang cuba ditutupi semasa pemerintahannya mulai terbongkar satu demi satu. Pendedahan oleh akhbar tentang surat bekas hakim Syed Ahmad Aidid dan juga bekas Pengerusi TNB Ani Arope mungkin hanyalah merupakan permulaan kepada pendedahan yang lebih berani selepas daripada ini. Semua rakyat mungkin ingin mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku terhadap tribunal yang ditubuhkan ke atas Ketua Hakim Negara Salleh Abas, pendedahan oleh bekas Pengarah BPR Shafie Yahya terhadap Ali Abul Hassan dan lain-lain 'bangkai gajah' tersebut.

Semasa beliau melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri pada Oktober 2003, boleh dikatakan tiada lagi anugerah yang tinggal yang boleh diberikan kepadanya. Sebagai mengenang jasanya terhadap negara, hampir seluruh universiti dalam negara ini telah memberikan anugerah Doktor Kehormat kepada beliau dalam pelbagai bidang. Sebuah universiti di utara semenanjung telah menubuh sebuah institut khusus mengkaji pemikiran beliau. Manakala sebuah lagi universiti yang dinaiktarafkan oleh Dr Mahathir pula telah menaja kursus Pemikiran Dr Mahathir. Maka berlumba-lumbalah setiap universiti untuk menganugerahkan ijazah demi ijazah kepada Dr Mahathir sehingga beliau tidak menang tangan.

Dengan tidak menafikan jasa Dr Mahathir terhadap negara, penganugerahan dan perkembangan institusi dalam bidang akademik seharusnya dijauhi oleh emosi yang berbau politik. Namun demikian dalam tempoh beberapa bulan selepas perletakan jawatan Dr Mahathir setiap universiti di negara ini seolah-olah 'meracau' sehingga hilang pertimbangan akademik bagi mengenang jasa Dr Mahathir. Mungkin penganugerahan dan penubuhan institusi akademik yang dikaitkan dengan Dr Mahathir itu telah dipertimbangkan secara akademik, tetapi kita juga tidak menolak kemungkinan sebahagian besarnya dibuat atas dasar 'emosi' politik oleh pengampu-pengampu politik dari kalangan ahli akademik.

Pada ketika itu hanya tulisan seorang wartawan vateran Subki Latiff yang menyarankan supaya tidak ghairah mengkaji warisan dan pemikiran Dr Mahathir, kerana bilamana dibuat atas nama akademik maka kajiannya mestilah objektif. Sekiranya kajian dibuat secara objektif terhadap warisan dan pemikiran Dr Mahathir, maka akan terdedah aspek positif dan aspek negatif. Yang sangat dibimbangi ialah apabila aspek negatif atau 'bangkai gajah' akan turut terbongkar kalaupun tidak lebih banyak. Terbongkarnya 'bangkai gajah' itu akan sekali lagi memalit reputasi negarawan besar seperti Dr Mahathir sebagaimana yang pernah berlaku kepada negarawan negara komunis Lenin dan Stalin.

Sebagai seorang bekas Perdana Menteri, sememangnya Dr Mahathir harus dikenang. Bagaimanapun sebagai sebuah institusi akademik, universiti-universiti tempatan perlu membuat pertimbangan akademik dalam mengenang jasanya. Mengapa tiada satu institusi khusus mengkaji warisan dan pemikiran Perdana Menteri yang kedua Tun Abdul Razak, sedangkan jasanya terhadap orang Melayu dan rakyat Malaysia umumnya dilihat lebih cemerlang. Dari segi pemikiran ekonomi, Tun Razak telah memperkenalkan kesepaduan antara dasar liberalisme dan sosialisme yang seharusnya menarik ramai ahli akademik mengkajinya. Malangnya tiada sebuahpun institusi seumpamanya ditubuhkan kecuali institut-institut atau kursi atas nama beliau.

Sekali lagi dilihat pertimbangan akademik diketepikan kerana suasana Tun Razak semasa kematian beliau tidaklah seperti suasana Dr Mahathir semasa beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana menteri. Suasana semasa Dr Mahathir meletakkan jawatan telah menimbulkan 'racauan' sehingga pertimbangan akademik itu hilang. Tidaklah diketahui sama ada suasana itu dirancang dengan tujuan supaya Dr Mahathir tidak melakukan 'political comeback' atau berlaku secara kebetulan. Biar apapun suasananya, sebagai sebuah universiti pertimbangan akademik mestilah didahului bukannya 'emosi' politik yang dipengaruhi oleh suasana yang wujud pada ketika itu.

Hari ini belumpun sampai setengah dekad, persoalan ke manakah halatuju institusi dan kursus yang berkaitan dengan warisan dan pemikiran Dr Mahathir mula timbul. Konflik antara Dr Mahathir dan Pak Lah belumpun sampai kemuncaknya, tetapi beberapa legasi Dr Mahathir seperti kereta nasional Proton, program penswastaan, keutamaan perindustrian berbanding pertanian dan lain-lain mulai terdedah. Sekarang mula dipersoalkan wajar dilaksanakan projek kereta nasional Proton? Mengapa aset-aset kerajaan diswastakan? Mengapa perlu ditukar nama Universiti Pertanian kepada Universiti Putra? dan pelbagai persoalan kecil dan besar mulai bersarang diminda rakyat. Maka kemanakah pula halatuju perbagai pengiktirafan akademik yang telah diberikan kepada Tun Dr Mahathir?

No comments: