Tuesday, July 11, 2006

Menunggu Giliran Najib (Siri 2)
Oleh: Prof

Najib Tun Razak telah dilahirkan pada tahun 1953, putera sulung Tun Razak dan Toh Puan Rahah. Beliau mendapat pendidikan aliran Inggeris bermula di St. John Institution sehinggalah melanjutkan pelajaran di University of Nottingham dalam bidang ekonomi. Keluarga Najib boleh dikatakan keluarga politik, kerana kebanyakan daripada kerabatnya memegang jawatan penting dalam Umno. Datuknya Tan Sri Noah dari sebelah ibu Toh Puan Rahah adalah Speaker Dewan Rakyat yang pertama dan bersama-sama dengan Lim Goh Tong membangunkan Genting Highland. Begitu juga datuk sebelah bapanya Dato' Hussien juga merupakan tokoh politik yang disegani di negeri Pahang. Oleh sebab itu tidaklah menghairankan Najib memilih untuk terjun dalam politik Umno seawal usia mudanya.

Beliau mula bertanding dalam pilihanraya pada tahun 1976 bagi menggantikan kerusi bapanya di Parlimen Pekan. Ketika itu usianya baru mencecah 23 tahun sehingga ada khabar-khabar angin yang tidak diketahui kesahihannya menyatakan beliau tidak sempat menamatkan pengajiannya ketika itu. Menurut sumber yang lebih rasmi Najib dikatakan telah menamatkan pengajiannya di University of Nottingham pada tahun 1974 iaitu ketika berusia 21 tahun. Kemunculan Najib dalam politik negara berlaku ketika rakyat khususnya orang Melayu murung dengan pemergian Tun Razak yang begitu mengejutkan.

Selepas itu nama Najib terus naik dalam politik Umno bermula dengan dilantik oleh bapa saudaranya Tun Hussin Onn sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos pada tahun 1978. Kemudian Dr Mahathir pula telah melantiknya sebagai Menteri Besar Pahang pada tahun 1982 iaitu ketika umurnya belumpun mencecah 30 tahun. Beliau merupakan antara Menteri Besar termuda dalam sejarah politik negara. Di dalam Umno beliau pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda Umno selepas Anwar Ibrahim melepaskannya untuk bertanding jawatan Naib Presiden. Sekarang beliau hanya tinggal setingkat sahaja lagi untuk menjadi orang nombor satu Umno.

Biarpun latar belakang politiknya yang menyinar, keraguan terhadap kemampuan Najib menerajui negara sememangnya wujud di kalangan rakyat termasuk dalam Umno sendiri. Beliau dilihat bukanlah seorang pemimpin yang mempunyai wawasan politik sehingga boleh membawa halatuju negara kepada sesuatu yang baik dan murni. Dalam Umno sendiri, beliau lebih dikenali sebagai seorang ‘play safe’ yang selalu memihak kepada golongan establish demi menjamin kepentingan politiknya. Watak seperti ini merupakan petunjuk bahawa beliau bukanlah seorang ahli politik yang berkaliber apatah untuk digelar sebagai pejuang bangsa.

Bersambung

No comments: