Saturday, July 15, 2006

Menunggu Giliran Najib (Siri 3)
Oleh: Prof

Pengaruh Najib di kalangan akar umbi Umno memang lebih kukuh daripada Pak Lah sendiri. Sukar untuk ditentukan apakah faktor yang menyebabkan Najib diterima ramai di peringkat akar umbi. Sekiranya dikatakan disebabkan oleh politik wang, boleh dikatakan semua pemimpin Umno menggunakan wahana itu untuk naik dalam parti. Mungkin pengaruh Tun Razak yang dikenali sebagai pembela orang Melayu berperanan dalam memperkukuhkan kedudukan Najib. Namun demikian, kebanyak pimpinan akar-umbi Umno hari ini tidak begitu mengenali Tun Razak apatah lagi untuk terhutang budi kepadanya. Kemungkinan yang kuat ialah Najib sendiri mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin akar-umbi Umno khususnya semasa beliau mengetuai Pergerakan Pemuda Umno.

Walaupun Najib mempunyai pengaruh yang kuat di peringkat akar-umbi, ini tidak menjadikan beliau berani untuk menongkah arus. Ketika perpecahan Umno pada tahun 1987, Najib dilihat berpihak kepada Team A. Beliau tidak berani bersama-sama dengan kumpulan Ku Li, Musa Hitam, Pak Lah dan lain-lain pimpinan Team B. Najib telah mempergunakan pengaruhnya dalam Pergerakan Pemuda Umno untuk membantu kemenangan tipis Dr Mahathir menewaskan Ku Li. Kalaulah Najib berpihak kepada Team B pada ketika itu dipercayai Dr Mahathir akan tumbang. Hubungan Ku Li dan Tun Razak sememangnya rapat, sehingga dalam hal ehwal ekonomi Tun Razak begitu mempecayai Ku Li. Namun Najib memilih untuk bersama golongan establish dalam Umno semasa peristiwa 1987 itu.

Sememangnya tidak dinafikan, apa perlu Najib berpihak kepada Team B kerana beliau tiada hubungan peribadi yang erat dengan pemipinan-pimpinan Team B. Namun demikian, semasa Anwar Ibrahim dipecat daripada Umno dan Timbalan Perdana Menteri, beliau sekali lagi mengambil sikap ‘play-safe’ walaupun hubungannya dengan Anwar memanglah rapat. Anwarlah yang menyerahkan teraju kepimpinan Pergerakan Pemuda Umno kepadanya. Kemudian dia bersama-sama dengan Anwar dalam Team Wawasan untuk menumbangkan Tun Ghafar, Pak Lah dan Sanusi Junid. Anwar sendiri sehingga hari ini tidak begitu menyentuh batang tubuh Najib dalam membicarakan persoalan rasuah dan penyelewengan dalam Kerajaan dan Umno. Hubungan tersebut juga tidak menjadikan Najib tampil membela Anwar ketika dipecat pada tahun 1998.

Mungkin Najib boleh memberi alasan bahawa hubungannya dengan Dr Mahathirpun baik juga kerana Dr Mahathir sendiri diselamatkan kerjaya politiknya oleh Tun Razak. Najib juga banyak terhutang budi dengan Dr Mahathir ketika menaikkan namanya dalam politik daripada Menteri Besar Pahang sehinggalah beberapa jawatan menteri kanan dalam Kerajaan. Hari ini Dr Mahathir pula mengalami nasib yang sama seperti yang pernah dihadapi oleh tokoh-tokoh Umno yang terpinggir. Dr Mahathir sendiri menyebut bahawa Najiblah menjadi pilihan pertamanya untuk jawatan Perdana Menteri bukan Pak Lah. Dalam keadaan ‘bola tanggung’ seperti itupun, Najib masih mengamalkan pendekatan politik pro-establishment dan mengambil sikap tidak membela Dr Mahathir.

Maka jelaslah bahawa Najib bukanlah seorang pejuang politik, sebaliknya mengambil pendekatan yang boleh menyelamatkan masa depan politiknya. Sedangkan kebanyakan tokoh-tokoh politik dunia yang disegani tidak berpewatakan seperti itu. Terdapat sesetengah penganalisis politik menyatakan Tun Razak juga mengamalkan pendekatan politik ‘play-safe’. Sekiranya diteliti secara mendalam beberapa pendirian Tun Razak semenjak zaman Dato Onn lagi, menunjukkan beliau bukanlah seorang ahli politik ‘play safe’ dalam semua keadaan. Malah semasa Tun Razak menjadi Perdana Menteri beliau mengambil langkah berbaik-baik dengan Negara Komunis China yang merupakan satu tindakan menongkah arus dalam politik antarabangsa ketika itu.

Sebaliknya Najib tidak seperti Tun Razak yang berani melakukan politik menongkah arus. Watak politik ‘play safe’ seperti ini tidak memungkinkan Najib boleh menyinar sekiranya diberi amanah untuk menerajui negara selepas ini. Malaysia memerlukan seorang Perdana Menteri yang berani dalam menyuarakan kepentingan rakyat Malaysia dan umat Islam sejagat umumnya. Selemah-lemah Tunku, beliaulah antara yang menggesa pimpinan-pimpinan Dunia Islam berhimpun ketika Masjid Aqsa dibakar sehingga akhirnya membawa kepada penubuhan OIC dan beliau dilantik menjadi Setiausaha Agungnya. Sepincang-pincang Dr Mahathir, beliau masih berani menyanggah Singapura dalam menjaga kepentingan Malaysia. Bagaimana pula Najib seorang yang berpewatakan politik ‘play safe’, mampukah beliau menjadi pemimpin yang menongkah arus ketika dunia hari menyaksikan berlakunya Islamophobia dan pertembungan peradaban?

No comments: