Mengapa Nama Allah yang maha Mulia Dijadikan Isu?
Benarkah isu kalimah Allah swt ini, merupakan satu konspirasi untuk melakukan ‘sentiment abusement’ atau ‘diversion’ (untuk mengalih perhatian daripada isu lain). Saya membangkitkan perkara ini kerana saya sayangkan Allah swt dari digunakan sebagai cara melakukan 'sentiment abusement' sedangkan perkara yang telah panjang lebar diperdebatkan hanyalah isu yang diada-adakan. Saya teringat pandangan sahabat saya Nik Abduh, yang menyatakan "hanya Allah yang mengetahui mengapa isu ini timbul maka seharusnya kita cepat-cepat menutup isu ini sebagai menjaga kehormatan terhadap Dia yang maha tinggi". Jika benar isu ini ditimbulkan kerana mengalihkan perhatian daripada isu-isu yang sedang melanda negara seperti isu ekonomi, maka nilaikanlah dosa golongan yang berkonspirasi menghangatkan isu ini dengan menjadikan Allah sebagai cara melakukan 'sentiment abusement' dan 'diversion'.
Mengapa nama Allah swt ini menjadi isu? Persoalan ini yang seharusnya dijawab terlebih dahulu oleh kita sebagai ahli akademik supaya tidak terikut-ikut dengan rentak public seperti yang dikehendaki oleh media main stream. Memahami latar belakang isu dan masalah merupakan perkara terpenting untuk kita membuat analisis sebagaimana yang menjadi budaya kita. Para ahli akademik hidup dengan argument, dan argument itu sepatutnya menepati apa yang sedang berlaku. Permit penerbitan the Herald telah luput setahun yang lalu, dan sekarang ini the Herald telahpun diterbitkan secara online. Cuma mereka masih tidak menggunakan nama Allah dalam terbitan online itu, tetapi menggunakan istilah-istilah yang turut digunakan oleh orang Islam seperti Yusuf, Malaikat, Zina dan lain-lain. Dan bukan sekadar the Herald, sebaliknya banyak lagi penerbitan seumpamanya dalam bahasa Melayu atau Indonesia yang turut menggunakan nama Allah. Dengan pengertian lain kalaupun seperti yang dijangkakan ramai orang, pihak gereja akan kalah bila dibawa ke Mahkamah Rayuan atau Persekutuan, mereka masih ada alternatif menggunakan internet atau menghantar kepada para penganut mereka secara tertutup melalui email.
Tuntutan mereka ialah; mereka mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk mengamalkan agama mereka secara bebas termasuk penggunaan nama 'Allah". Dan secara spesifik mereka menyatakan nama itu digunakan untuk mereka bukannya untuk penganut lain terutama masyarakat Islam. Perkara ini jelas seperti dalam tuntutan kelima "Bahawa pemohon mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan nama Allah dalam the Herald dengan melaksanakan haknya berkaitan pendidikan penganut Katolik dalam agama Kristian". Saya tidak berhasrat menyentuh persoalan hukum untuk kali ini, tetapi jelas sekali mereka mahu menggunakan dalam agama mereka seperti yang terkandung dalam penghujahan mereka untuk memudahkan kefahaman penganut katholik. Tuntutan mereka ialah untuk menggunakan dalam agama mereka lebih khusus untuk penerbitan the Herald, bukannya diletakkan dipapan tanda dan lain-lain seperti yang berlaku di Indonesia sebagaimana yang dipaparkan. Keenam-enam tuntutan itu menyebut penggunaan nama Allah dalam the Herald, bukannya tuntutan penggunaan nama Allah secara umum dalam agama mereka. Demikian juga pihak Kementerian Dalam Negeri boleh mengeluarkan permit terhad kepada the Herald, iaitu bukan untuk sebaran umum. Bagaimana boleh timbul tuduhan bahawa mereka cuba mengelirukan masyarakat Islam jika tidak daripada manipulasi media dan provokasi.
Melainkan empat buah negeri, kebanyakan negeri telah mewartakan enakmen kawalan dan sekatan pengembangan agama-agama bukan Islam, iaitu untuk menghalang sebaran agama-agama ini ke atas orang Islam. Salah satu peruntukannya ialah:
Seksyen 9. Kesalahan berhubung dengan penggunaan perkataan-perkataan dan perbahasaan-perbahasaan tertentu yang berunsur Islam
(1) Seseorang melakukan kesalahan jika ia, dalam apa-apa tulisan yang diterbitkan, atau dalam apa-apa ucapan atau pernyataan awam, atau dalam apa-apa ucapan atau pernyataan yang ditujukan kepada suatu perhimpunan atau dalam apa-apa ucapan atau pernyataan itu yang diterbitkan atau disiarkan dan yang pada masa ucapan atau pernyataan itu dibuat ia tahu atau, pada munasabahnya, patut tahu akan diterbitkan atau disiarkan, menggunakan mana-mana perkataan yang berunsur Islam atau apa-apa terbitan atau variasinya, untuk menyatakan atau memperihalkan apa-apa fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara, atau hal yang mengenai atau berkaitan dengan mana-mana agama bukan Islam.
(2) Seseorang yang bukan seorang Islam melakukan suatu kesalahan jika ia, dalam keadaan yang dinyatakan dalam seksyenkecil (1), menggunakan mana-mana ungkapan yang berunsur Islam, kecuali sebagai petikan atau rujukan.
(3) Mana-mana orang yang melakukan suatu kesalahan di bawah seksyenkecil (1) atau (2) boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak lebih daripada lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-dua denda dan penjara itu.
Dengan pengertian lain, sejak 1980an lagi telah ada sekatan terhadap agama lain menyebarkan agama mereka ke atas masyarakat Islam, termasuklah tidak boleh menggunakan perkataan yang sinonim dengan Islam. Oleh sebab itu, bagaimana boleh timbul dakwaan tuntutan mereka itu untuk mengelirukan umat Islam, sedangkan dari segi perundangan mereka telah sedia dihalang melakukan sedemikian.
Jadi perkara ini bukan suatu isu kalau hendak dikaitkan dengan kebimbangan ia menyebabkan kelemahan akidah umat Islam. Yang menjadi isu besar ialah Akidah sebahagian besar umat islam kini telah sedia lemah. Indikator yang terpenting menunjukkan kelemahan Akidah itu ialah kerosakan akhlak di kalangan masyarakat Islam di negara ini. Mengapa isu besar ini tidak diprovok oleh media. Penyumbang terbesar tehadap kelemahan Akidah itu ialah sistem bernegara kita sendiri tidak bertunjangkan tawhid. Di mana kedudukan kitab Allah dan sunnah nabinya dalam berhukum? Mengapa perkara menegakkan maaruf yang terbesar ini tidak diisukan? Mengapa para ulama yang ikhlas dibisukan dan kedudukan mereka lebih hina dari artis? Mengapa usaha membasmi kejahilan umat tentang kesyumulan Islam diremehkan, sehingga sebahagian besar mereka masih tidak memahami Islam yang shumul? Kesemua inilah merupakan isu-isu yang hakiki, tetapi tidak pernah ada satu usaha untuk membugarkan isu-isu seumpama ini.
Yang lebih penting lagi, perkara ini masih di mahkamah dan keputusan tempohari masih belum muktamad. Proses memperolehi keputusan masih panjang, tetapi provokasi-provokasi telah dilakukan termasuk membakar gereja. Cara pihak media memainkan isu ini seperti ada 'buaya' di sebalik batu. Dalam perkara berkaitan dengan nama Allah ini, saya bersetuju dengan pendirian kolektif yang telah dibuat oleh PAS iaitu seperti berikut:
"PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi. Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini...".
No comments:
Post a Comment