Sunday, December 31, 2006

Ajaran Sesat Pasca Modern

Saya baru membaca artikel Raja Petra Kamarudin 'Does an Islamic State Really Exist' (http://malaysia-today.net/blog2006/holds.php?itemid=1360#c) dan turut membaca komen-komen yang berkaitan dengannya. Daripada artikel tersebut beliau cuba menafikan wujudnya perundangan Islam sekaligus menolak kewujudan negara Islam. Artikel tersebut mengingatkan saya kembali terhadap satu forum yang saya sertai bersama Eddin Khoo (anak Khoo Kay Kim) dan Jazilus Sakhok (Muslim Liberal Indonesia) anjuran Institut Kajian Dasar (IKD) pada 5 Mei 2005 bagi mengupas buku Ali Abd Raziq al-Islam wa al-Usul al-Hukm. Forum tersebut turut dihadiri oleh Zainah Anwar (Sister in Islam) dan Lee Ban Chen (kolumnis).

Sebagai seorang muslim, saya mempertahankan kedudukan hukum Islam dan sistem politik yang terkandung dalamnya. Tetapi bukan mudah untuk mengemukakan pendirian di tengah-tengah kepungan golongan progresif dan liberal seperti ini. Dalam forum itu, saya tidak mahu mengulas perbahasan tentang kedudukan perundangan dan siasah dalam Islam kerana saya pasti akan diserang dari segenap penjuru, sebaliknya saya mengalih perbincangan bertapa perlunya autoriti dan methodologi dalam disiplin ilmu. Saya mengambil contoh Ali Abd Raziq sendiri dalam menulis buku tersebut masih cuba mematuhi autoriti dan methodologi dalam disiplin ilmu-ilmu Islam, sedangkan ramai pihak yang cuba mengulas tentang kandungan Islam tidak mematuhi kehendak tersebut.

Seterusnya saya mencadangkan mereka yang tidak memenuhi kelayakan autoriti dan methodologi ilmu-ilmu Islam tidak membahaskan kandungan Islam (Islamic Studies) sebaliknya mengkaji tentang anthropologi dan sosiologi masyarakat Muslim (Muslim Studies). Eddin Khoo ternyata terasa dengan cadangan saya dan menganggap itu hanyalah isu-isu semantik. Setelah selesai forum ada beberapa peserta dari pimpinan PKPIM (ABIM) bertemu dengan saya bagi melahirkan betapa terkejutnya mereka dengan penganjuran program IKD (Program Islam Tanwiri) tersebut dan mencadangkan wujudnya satu usaha bersama untuk menangkis serangan terbaru terhadap umat Islam di Malaysia.

Baru-baru ini saya membaca sebuah buku yang bertajuk 'Muslim Progressive' yang disusun oleh Omid Safi yang menjelaskan aliran pemikiran mereka dan pendirian mereka terhadap kandungan ajaran Islam. Di Malaysia sendiri kita telah melihat beberapa individu yang dahulunya komited dengan fikrah Gerakan Islam telah menukar haluan mereka kepada Muslim Progressive seperti Khalid Jaafar dan Fathi Aris Omar. Malah kadang-kadang mereka bangga dikatakan sesat kerana beraliran dengan pemikiran tersebut. Malangnya tidak ramai dari kalangan kita anggota Gerakan Islam bertindak berhadapan dengan golongan-golongan seperti ini.

Yang terbaru seruan Mufti Perlis supaya dihentikan pencegahan mungkar demi menjaga nama baik Islam, jelas menunjukkan bahawa kita semakin tertekan untuk menerima pengaruh pemikiran Muslim Progressive ini. Sepanjang yang saya kenali Dr Asri ini tidak pernah mahu mengalah bila bertembung dengan mana-mana pihak yang bertentangan dengannya. Tetapi agak menghairankan bila dalam isu seperti ini yang menuntut ketegasannya, beliau kelihatan lunak. Kenyataan beliau paling menggembirakan golongan yang melakukan mungkar dalam isu The Zouk beberapa tahun dahulu serta golongan yang cuba menghapuskan polisi moral di bawah kuatkuasaan jabatan agama.

Serangan pemikiran terhadap Islam telah mula menyelinap dalam bentuk yang baru walaupun dengan topik yang lama. Serangan tersebut masih lagi dalam bentuk putar-belit fakta dan melakukan tafsiran bebas terhadap fakta tersebut. Usaha golongan orientalis sejak sekian lama masih berterusan, tetapi dalam bentuk baru iaitu melalui badan-badan NGOs yang mereka gelar sebagai civil society. Sekiranya kita membaca buku-buku sains politik mutakhir ada tanggapan bahawa halatuju dunia pasca moden ini akan ditentukan oleh polar golongan ini. Golongan civil society ini sudah tumbuh di mana-mana sahaja yang mempunyai dana yang besar tidak diketahui daripada mana sumbernya.

Ramai dari kalangan kita yang meremehkan pengaruh golongan ini memandangkan keahlian mereka bukanlah seramai mana. Tetapi kita boleh lihat sendiri bagaimana lobi-lobi yang mereka lakukan telah banyak mempengaruhi keputusan-keputusan politik yang dibuat. Golongan ini berdiri di atas landasan hak asasi dan kebebasan (freedom) untuk mengembangkan ideologi mereka. Dengan erti kata lain, gerakan penyebaran pemikiran orientalis bukan lagi melalui saluran akademik seperti pengajaran di Universiti dan penerbitan buku-buku sebagaimana yang berlaku sebelum daripada ini. Hari ini gerakan tersebut telah sampai ke akar-umbi masyarakat melalui golongan yang menggelarkan diri mereka civil society.

Di Malaysia gerakan civil society seperti ini sudah mula muncul dan mendapat tempat dalam posisi-posisi yang strategik. Mereka berperanan bersama-sama dengan parti pemerintah dan parti pembangkang. Individu-individu seperti Raja Petra Kamarudin, Khalid Jaafar dan Fathi Aris Omar sememangnya dikenali sebagai mereka yang rapat dengan golongan reformasi semasa era tersebut pada akhir 1990-an. Hari ini, mereka semakin rakus menghala muncung senjatanya kepada Gerakan Islam. Jurang golongan civil society seperti ini dengan Gerakan Islam semakin hari semakin melebar, mungkin sudah sampainya masanya kita tidak lagi bersekongkol dengan mereka.

Bagi menghadapi golongan seperti ini, mahu tidak mahu Gerakan Islam perlu bertindak sebagai satu polar berlawanan iaitu mewujudkan barisan civil society yang pro-Islam. Perkara ini telah diusahakan oleh Gerakan Islam di Malaysia seperti penubuhan FORKAD, BADAI dan ACCIN. Mereka telah bergerak dengan sedaya-upaya mereka tetapi lebih dalam bentuk mendesak tidak dalam bentuk berdebat. Kita perlu menerima hakikat bahawa Gerakan Islam di Malaysia masih kekurangan golongan yang boleh berhadapan dengan golongan ini secara debat intelektual seperti tokoh-tokoh Zakir Naik, Azzam Tamimi dan lain-lain. Siapakah yang boleh mengisi vakum ini, kalau bukan kita?

1 comment:

Syafiq said...
This comment has been removed by the author.