Perlis Bakal Menjadi Hadyai Malaysia?
Boleh dikatakan mengejutkan juga bila Mufti Perlis bersuara menggesa supaya penguatkuasa Jabatan Agama Islam menghentikan serbuan bagi mencegah kemungkaran, sedangkan beliau sebelum ini begitu dikenali sebagai seorang yang tidak mahu beralah khususnya dalam perbezaan furu'. Dan lebih menghairankan bilamana seorang mufti tidak menyokong usaha-usaha yang dilakukan oleh pegawai-pegawai di bawahnya bagi menguatkuasakan undang-undang yang sudah termaktub di bawah pihak berkuasa agama. Apakah gesaannya ini bermaksud supaya undang-undang yang mengawal akhlak atau disebut oleh golongan Muslim Liberal sebagai 'polisi moral' itu tidak lagi diperlukan.
Sememangnya undang-undang yang termaktub di bawah pihak berkuasa agama jauh dari menepati hukum-hukum yang termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah kerana terpinggir hukum jenayah Islam yang sebenar. Tetapi dalam persoalan mencegah kemungkaran sekurang-kurangnya ada kuasa yang diberi kepada pihak penguatkuasa untuk melaksanakan kewajipan tersebut. Dalam fiqh Islam golongan penguatkuasa ini bolehlah digolongan sebagai Muhtasib iaitu mereka yang menegakkan Hisbah. Persoalan Hisbah dan Muhtasib ini telah dibahaskan panjang lebar oleh para ulama antaranya al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah.
Persoalannya mengapa Mufti Perlis dan mereka yang membelakanginya tidak merujuk kepada penjelasan-penjelasan ini supaya boleh memberi pandangan yang lebih menepati maksud syariah. Kuasa yang diberi kepada pihak penguatkuasa agama (muhtasib) ini sudah tentu telah dibahaskan panjang lebar oleh para mufti sebelum ini termasuk dalam persoalan yang berkaitan dengan serbuan (Iqtiham). Kita yakin mufti-mufti yang ada tidak terlepas pandang terhadap larangan al-Quran dalam surah al-Hujurat ayat 12 supaya tidak melakukan pengintipan bagi mendedahkan keaiban orang lain (la tajassasu). Demikian juga dengan para ulama silam dalam menetapkan bidang kuasa muhtasib pasti tidak terlepas pandang terhadap ayat tersebut.
Dalam Fiqh Islam antaranya dalam kitab al-Mawardi tersebut menyatakan bahawa hisbah ialah menyuruh kepada maaruf apabila nyata (zhohara) ia diabaikan, dan mencegah kemungkaran apabila nyata ia dilakukan. Para ulama menyatakan bahawa tugas ini adalah tugas yang amat mulia dan sebenarnya menjadi tanggungjawab semua muslim. Apakah yang dimaksudkan dengan zhohara atau nyata dalam Fiqh Islam? Adakah ia bermaksud sesuatu yang kelihatan boleh dilihat dengan mata? Kalau begitu bagaimana mereka boleh menafsirkan ayat al-Quran surah al-Nur ayat 31 yang melarang dizahirkan perhiasan dan dihujung ayat tersebut melarang wanita menghentak-hentak kaki untuk memberi tahu apa yang disembunyikan dari perhiasannya. Bukankah bermaksus sesuatu yang boleh didengar dengan telinga juga termasuk dalam kategori menzahirkan perhiasan?
Islam memang melarang umatnya mengintip untuk mendedahkan keaiban atau aurat orang lain seperti ayat surah al-Hujurat tersebut, sebagaimana juga dalam ayat tersebut melarang mengumpat. Akan tetapi larangan tersebut perlu dilihat beradasarkan konteksnya. Mengapa dalam Ilmu Jarh wa al-Taadil dibenarkan menerangkan keburukan seseorang perawi? Perkara berkaitan dengan tajassus dalam konteks melaksanakan hisbah ini telah dijelaskan oleh al-Mawardi di mana ia dibenarkan dalam konteks tertentu. Malah al-Nawawi mengambil pandangan ini dalam mensyarahkan hadith yang berkaitan mencegah kemungkaran dalam kitab Syarah Sahih Muslim.
Hadith tentang mencegah kemungkaran ini turut diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya. Dalam mensyarahkan hadith ini, Abu Thayyib pengarang Aunul Ma'bud (syarah Abu Dawud) menyatakan bahawa yang dimaksudkan 'Man Roaa Munkaran' ialah sesiapa yang mengetahui kemungkaran. Mengetahui kemungkaran itu tidak semestinya hanya dengan melihat tetapi melalui deria-deria yang lain. Seorang ulama mutakhir, Abd Karim Zaidan dalam kitab Usul al-Daawah menyatakan bahawa yang dimaksudkan zahirnya kemungkaran itu ialah yang diketahui padanya tanpa perlu pengintipan iaitu melalui pendengaran, penglihatan, bau, sentuh dan rasa kerana kelima-lima deria tersebut adalah cara untuk mengetahui sesuatu.
Oleh kerana itu, kata Abd Karim Zaidan sekiranya kemungkaran dalam sesebuah rumah itu nyata melalui jalan mendengar tangisan atau jeritan (seperti meminta pertolongan) maka muhtasib boleh menyerbu atau mencerobohnya. Dan katanya lagi termasuk juga dalam pengertian zahirnya kemungkaran itu ialah apabila telah melampaui keraguan berlakunya kemungkaran dalam sesebuah tempat, maka wajib muhtasib memasukinya untuk mencegah kemungkaran tersebut. Sebagai contoh sekiranya jiran mendengar anak perempuan sebelah rumahnya menjerit kerana dirogol oleh bapanya (sumbang mahram), mereka wajib mereka menceroboh untuk mencegahnya.
Kemungkaran sebenarnya lebih luas daripada maksiat. Kemungkaran adalah sesuatu perlakuan yang boleh menyebabkan kafasadan (kerosakan) umum dan mencemar syi'ar Islam walaupun mungkin pelakunya tidak berdosa. Sebagai contoh sekiranya seorang gila berbogel dalam masjid atau seorang budak yang belum baligh minum arak, mereka tidak berdosa kerana tiada akal dan bebanan mukallaf padanya. Tetapi perkara yang mereka lakukan adalah mungkar yang wajib dicegah. Sesuatu perbuatan maksiat meskipun yang dilakukan secara sembunyi tetapi sehingga mencetuskan kefasadan umum dan mencemar syi'ar Islam, maka ia juga termasuk dalam zahirnya kemungkaran.
Hari ini perlakuan zina atau bersekedudukan telah berlaku secara berleluasa sehingga disebut dalam parlimen beberapa tahun yang lalu, jumlah kelahiran anak luar nikah sangat mengejutkan. Bilangan bayi yang dibuang di tempat sampah dan tandas telah menjadi peristiwa yang ketara. Pemuda dan remaja Islam yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan arak sangat membimbangkan. Golongan bohsia dan bohjan yang pernah digembar-gemburkan dahulu sebenarnya masih bertambah. Kesemua ini merupakan pentunjuk tentang kefasadan umum dan pencemaran syi'ar Islam yang sedang berlaku di negara kita. Dalam Fiqh, jalan-jalan yang menuju kepada kefasadan umum ini mesti dicegah.
Kaedah Sadduz al-Dzara'i iaitu menutup jalan-jalan yang menuju kepada perbuatan terlarang adalah termasuk sebahagian daripada kaedah memutuskan hukum. Hari ini kebanjiran anak-anak luar nikah yang kemudiannya dibuang dan dibunuh secara kejam, saya percaya bukan dilakukan oleh mereka yang berzina di taman-taman bunga atau tepi jalanraya sahaja, tetapi mereka yang melakukannya di hotel dan di rumah. Kalau demikian jalan-jalan yang menuju kepadanya harus ditutup antaranya dengan memberi kuasa kepada muhtasib untuk memasuki premis persendirian bilamana maklumat yang diterima melampaui keraguan yang munasabah.
Kita percaya bahawa pihak penguatkuasa agama dilatih dengan adab-adab yang telah digariskan oleh para ulama terhadap seseorang muhtasib. Para ulama Islam telah menulis panjang lebar tentang adab-adab muhtasib termasuk dalam soal yang berkaitan dengan penyerbuan dan pengintipan. Antaranya Abd Karim Zaidan sendiri menulis dalam kitab Usul al-Daawah tentang perkara itu. Sebab itu Mufti Perlis sepatutnya mencadangkan supaya dipastikan para penguatkuasa agama ini menuruti adab-adab seorang muhtasib bukannya menyuruh supaya dihentikan operasi pencegahan mungkar di hotel dan rumah persendirian.
Sekiranya benarlah laporan akhbar tentang saranan Mufti Perlis itu, maka apa bezanya Malaysia dengan kota-kota dunia yang dikenali dengan industri perdagangan seksnya seperti Hadyai dan Bangkok. Di sana kegiatan pelacuran bukan dilakukan secara terbuka di taman bunga, tepi jalan atau tempat-tempat terbuka yang lain. Kegiatan itu berlaku di hotel-hotel, rumah-rumah tumpangan dan rumah-rumah persendirian. Apakah kita sanggup melihat Perlis bakal menjadi Hadyai Malaysia sekiranya undang-undang yang memberi kuasa kepada para penguatkuasa ini ditarik balik?

1 comment:
Lama tunggu perlis perlis nak jadi Hatyai...
Post a Comment