Sendiwara Di Sebalik Isu Utusan-NSTP
Oleh: Abu Nasr
Saya sedikitpun tidak bimbang sekiranya penggabungan itu benar-benar berlaku kerana tiada apa lagi yang boleh diharapkan terhadap kedua-dua syarikat dari segi kebebasan media di negara ini. Kedua-dua syarikat sama ada bergabung atau tidak adalah milik Umno dan merekalah yang menentukan perjalanannya. Demikian juga saya tidak bimbang sekiranya penggabungan itu akan menenggelamkan suara Melayu khususnya berkaitan dengan peranan yang dimainkan oleh Utusan Malaysia. Kalau saya diberi hak untuk menilai peranan Utusan Malaysia pada hari ini dalam menyambung suara Melayu, saya akan memberikan markah paling tinggipun 5 daripada 100.
Masih terngiang-ngiang di telinga, bila mendengar rintihan pejuang-pejuang Melayu dalam Kongres Kepentingan Bangsa di UTM Jalan Semarak hujung tahun lalu bahawa komentar-komentar mereka tidak mendapat tempat termasuk di Utusan Malaysia. Bila Koh Tsu Koon dari Gerakan menyatakan bahawa mereka tetap mempertahankan pengajaran Sains dan matematik dalam bahasa ibunda, tiba-tiba sahaja komentar ini mendapat tempat dalam akhbar-akhbar perdana berbahasa Melayu. Tetapi bila pejuang-pejuang bahasa Melayu berbuih-buih mulut memberi komentar tentang pendirian yang sama sebelumnya, langsung tidak keluar di dada akhbar-akhbar tersebut.
Pendirian saya untuk tidak membimbangi gabungan tersebut semakin kelihatan kewajarannya bilamana Khairi Jamaluddin bersuara bahawa beliau mahu isu tersebut dipertimbangkan sehingga ke akar-umbi. Kenyataan Khairi menggambarkan besar kemungkinan gabungan tersebut tidak berlaku. Kalau demikian betapa kita telah membuang masa untuk membimbangi penggabungan tersebut, sehingga media-media alternatif sama ada versi elektronik atau versi cetak saban hari memainkan isu ini. Sedangkan kalaulah penggabungan itu sama ada jadi ataupun tidak, orang Melayu tidak rugi apa-apa bak kata pepatah 'datangpun tidak membawa untung, pergipun tidak membawa rugi'.
Kalau demikian mengapa isu-isu penggabungan ini menjadi sensasi? Mungkinkah ada isu-isu lain yang lebih memerlukan perhatian rakyat yang disembunyikan? Sememangnya inilah mainan peneraju media iaitu memperkotak-katikkan isu untuk mengelirukan rakyat. Pada pandangan saya, isu Penggabungan tiga syarikat perladangan yang mempunyai kaitan dengan kepentingan rakyat khususnya orang-orang Melayu adalah lebih menuntut perhatian media-media alternatif. Penggabungan ini adalah merupakan monopoli terhadap sejumlah tanah pertanian yang luas khususnya dalam negara ini. Sehingga kini masih tidak diketahui hujung-pangkalnya isu penggabungan tersebut.
Berbeza dengan isu penggabungan Utusan-NSTP, sehingga ke kelambu Mesyuarat MT Umnopun diketahui oleh media alternatif siapa yang sokong penggabungan, siapa yang tentang. Sebaliknya dalam isu penggabungan syarikat perladangan tersebut masih-masing hilang sumber maklumat, apa sebenarnya yang berlaku? Media-media alternatif hanya menyiarkan beberapa ketika isu tersebut, manakala para pemimpin pembangkang dan NGOs sekadar tunggu dan lihat ataupun memantau perkembangan. Sehingga hari ini masih wujud 1001 persoalan tentang Penggabungan Syarikat Perladangan tersebut yang kesemuanya hampir ditenggelamkan oleh isu penggabungan Utusan-NSTP.
No comments:
Post a Comment