Odysseus Moden Di Kampung Berembang
Saya baru selesai membaca tulisan Aldo Leopold bertajuk The Land Ethics dalam A Sand County Almanac yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1949. Dalam tulisannya, Leopold memulakan tulisannya dengan mengambil iktibar daripada tindakan Odysseus yang baru kembali dari peperangan di Troy, menggantung beberapa hamba perempuannya yang disyaki membuat salahlaku semasa ketiadaannya. Menurut Leopold, bagi Odysseus tindakannya tidak dikira salah malah tidak melanggar tatasusila kemanusiaan kerana hamba perempuan pada perkiraannya hanyalah harta bukan manusia. Sekiranya peristiwa Yunani purba itu berlaku pada masa kini, maka pertimbangan kemanusiaannya akan jauh berbeza. Oleh sebab itu Leopold menyarankan supaya pertimbangan kemanusiaan pada masa kini diperkembangkan supaya turut melibatkan komponen alam dan kehidupan yang lain seperti tanah, haiwan dan tumbuhan. Dengan ertikata yang lain manusia seharusnya melayan kesemuanya seumpama manusia bukannya harta yang boleh dipergunakan sesuka hati.
Malangnya usia Leopold tidak menjangkau ke zaman ini, sekiranya beliau masih hidup pasti boleh menyaksikan bagaimana manusia melayan manusia yang lain seperti hamba perempuan Odysseus kalaupun tidak seperti haiwan. Odysseus moden itu muncul lagi di Kampung Berembang, yang telah bertindak di luar pertimbangan kemanusiaan terhadap golongan marhain yang menuntut keperluan asasi kehidupan mereka. Menuntut keperluan asasi kehidupan merupakan satu perjuangan yang bukan sahaja diiktiraf oleh PBB tetapi juga dituntut oleh Islam. Antara keperluan asasi kehidupan itu ialah tempat tinggal (settlement) yang sewajarnya menjadi keutamaan lebih daripada pembangunan hartanah yang lain. Apa ertinya gedung perniagaan mewah, bangunan pentadbiran megah dan kota pelancongan indah, kalau rakyat sendiri merempat di bawah khemah-khemah. Namun pertimbangan seperti ini tidak mungkin singgah di hati mereka yang seumpama Odysseus.
Pendudukan Kampung Berembang bukannya mengharapkan penempatan mewah seperti istana Zakaria Deros atau seperti kompleks kediaman Exco Kerajaan Selangor di Seksyen 7 Shah Alam, tetapi mengharapkan hanya penempatan sementara yang sesuai seperti yang dijanjikan. Mereka bukannya menghalang pembangunan di kawasan tersebut tetapi sekadar meminta penangguhan sehingga segala urusan perbincangan dan diplomasi selesai. Terdesak sangatkah Kerajaan Negeri Selangor dan pemaju kesayangannya sehingga penangguhan itu tidak boleh dilakukan sekurang-kurangnya sehingga bulan April 2007? Sebelum ini mereka telah dijanjikan dengan flat kos rendah di kawasan tersebut dengan sejumlah pampasan. Malangnya flat yang dijanjikan tidak dapat didirikan kerana faktor kesesuaian tanah yang tidak memungkinkan didirikan bangunan tinggi bagi flat kos rendah sepertimana yang selalu disuapkan kepada rakyat marhain.
Di sinilah timbul seribu satu persoalan tentang perancangan pembangunan di kawasan tersebut. Wujudkan satu perancangan yang saksama dengan mengambil kira keperluan rakyat dalam membangunkan kawasan tersebut atau sekadar menerima cadangan satu pihak daripada pemaju? Mengapa tiada satu kajian mendalam dalam semua aspek sehingga masalah penempatan selepas pengambilalihan tanah tersebut tidak seharusnya timbul. Mengapa sehingga hari ini, rakyat tidak mengetahui apakah rancangan sebenar pembangunan di kawasan tersebut selain daripada projek Storm Water Management dan Road Tunnel (Smart)? Rangkuman daripada persoalan-persoalan tersebut, menyerlahkan hasrat sebenar Kerajaan Negeri sama ada mereka menyokong rakyat atau menyokong pemaju. Slogan 'Kami Menyokong Rakyat' seperti yang diwarwarkan oleh Pak Lah semasa kempen Pilihanraya Umum yang lalu hanyalah seperti 'menanam tebu di bibir mulut'.
Begitu menyedihkan bilamana Menteri Besar Selangor langsung tiada pertimbangan kemanusiaan terhadap penduduk Kampung Berembang tersebut. Khir Toyo seharusnya menyedari bahawa dia sendiri berasal daripada kampung, di kalangan keluarga yang bukan berada sangat. Beliau selalu mendakwa beliau dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan pendidikan agama. Mengapa selepas berada di puncak kuasa dia melupai derita yang dirasai oleh rakyat yang senasib sepertinya dahulu? Mengapa pendidikan agama yang dititik beratkan oleh keluarganya tidak mendorong tersentuh kalbunya melihat nasib rakyat marhain atau setidak-tidaknya surau yang dirobohkan. Beliau sepatut mencontohi Khalifah Umar yang turun melihat rintihan rakyat dan menjengok permasalahan mereka, bukannya meniru lagak Odysseus yang tiada langsung pertimbangan kemanusiaan.
No comments:
Post a Comment