Antara Gerakan Tajdid, Salafiyyah dan Reformis Agama (Siri2)
Kemunculan Zaman Pencerahan (Age of Enlightenment) di Eropah seharusnya juga dilihat latarbelakangnya daripada zaman pertengahan (medieval) dan sifat-sifat golongan eklesiastik pada ketika itu. Tradisi kristian sebenarnya telah bercampur dengan falsafah yunani khususnya Neo-Platonisme dan Scholastic sehingga sukar dibezakan dengan sumber kitab mereka. Sebagai contoh doktrin Geocentric serta doktrin Mikrocosmic dan Makrocosmic adalah hasil pemikiran Yunani yang telah dibaptiskan sehingga dianggap sebagai doktrin suci kristian. Dalam sejarah Islam percampuran itu hampir tidak berlaku, malah telah ditapis antaranya oleh tokoh-tokoh seperti al-Ghazali. Kemasukan anasir-anasir Falsafah Yunani yang dibawa oleh tokoh-tokoh Masyaiyyun (peripetetik) dan Muktazilah telah ditentang secara berterusan oleh tokoh-tokoh Islah Muslim di zaman masing-masing.

Sebahagian ahli falsafah Barat menyebut sebelum berlakunya pencerahan berlaku terlebih dahulu Revolusi Saintifik yang merupakan titik tolak perubahan epistemologi Barat. Peristiwa ini ditunjangi oleh beberapa pemikiran revolusioner seperti kemunculan doktrin Heleocentric oleh Coppernicus dan doktrin Mechanistic Newton. Pencerahan juga adalah hasil daripada semangat Humanisme yang meletakkan fungsi rasional (akal) mengatasi wahyu sehingga mempengaruhi Descartes dengan kata-katanya 'I Think therefore I am'. Sekiranya faktor inilah yang dijadikan bandingan untuk mensabitkan golongan Islah dalam masyarakat Islam, maka golongan yang sebanding dengannya ialah seperti al-Farabi, Ibn Sina dan Ibn Rushd yang disebut sebagai masyaiyun dan golongan mu'tazilah, bukannya Ibn Taimiyah dan Ibn Qayyim yang dikenali sebagai salafiyyah.
Golongan salafiyyah yang selalu dikaitkan dengan gerakan Islah ini jauh sekali dibandingkan dengan gerakan Humanisme kerana pandangan mereka yang keras terhadap peranan akal antaranya pendirian mereka terhadap Tafsir Bi al-Ra'yi. Adapun golongan pertengahan seperti al-Ghazali agak lebih toleran dalam konteks penerimaan peranan akal. Bagaimanapun al-Ghazali selalu dianggap golongan mutakallimin atau dalam bahasa ilmu Barat disebut golongan ortodoks. Malah al-Ghazali juga selalu dikenali sebagai tokoh yang menghancurkan rasional sehingga menyebabkan kebekuan pemikiran dunia Islam. Mungkin beliau seperti Galen yang mengasaskan falsafah teleologi yang selalu dianggap sebagai doktrin yang melumpuhkan kecerahan zaman Yunani.
Sepertimana al-Ghazali diserang oleh golongan filosof seumpama Ibn Rushd selepas kematiannya, beliau juga turut diserang oleh golongan salafiyyah selepas kematiannya. Sedangkan al-Ghazali mempunyai pendirian yang tersendiri tentang falsafah sehingga mekarnya falsafah Islam daripadanya dan mempunyai pendirian tersendiri tentang salafi sehingga mempunyai pengaruh yang besar dalam perbahasan tauhid. Boleh jadi jalan pertengahan yang ditempuhinya lebih menepati Islah sekiranya bersandarkan kepada konsep Islah seperti yang selalu disebut, iaitu kembali berpegang kepada sumber yang asal lalu memperkukuhkannya sebagai landasan untuk membangunkan semula umat dan pada masa yang sama Islah juga selalu dikaitkan dengan pembebasan dari kebekuan iaitu mengiktiraf peranan akal. Maka jalan yang dirintis oleh al-Ghazali lebih menepati kedua-duanya.
Bagaimanapun untuk menafikan peranan Ibn Taimiyah dan Ibn Qayyim serta mereka yang hadir lewat selepasnya seperti Muhammad bin Abdul Wahab dan al-Shawkani sebagai golongan Islah adalah tidak wajar sama sekali. Mereka dikenali sebagai golongan yang menyeru kembali kepada sumber yang asal di samping meletakkan kedudukan akal pada peranannya yang sebenar di sisi Islam. Yang jelas mereka tidak boleh disamakan seperti Descartes, Locke, Hume, Voltaire dan lain-lain tokoh reformis Barat yang memimpin Zaman Pencerahan di Eropah. Malah lebih tegas lagi gerakan Islah dalam masyarakat Islam sama sekali tidak boleh disebandingkan dengan gerakan Reformasi dalam masyarakat Kristian. Kalau gerakan Refomasi hendak dilabelkan terhadap mana-mana golongan dalam masyarakat Islam, yang sesuai dengannya ialah Masyaiyyun dan Muktazilah, bukannya Salafiyyah.
No comments:
Post a Comment